PERNAHKAH anda menderma darah? Jika tidak jawapannya, apa kata, hari ini anda menyemai azam berbuat demikian bagi membantu mereka yang memerlukan kerana setitik darah anda mampu menyelamatkan nyawa.
Bagi memastikan bekalan darah yang mencukupi, setiap individu dalam masyarakat harus memahami kepentingan menderma darah.
Kebanyakan orang awam seringkali memberikan pelbagai alasan apabila disuruh tampil menderma darah. Antara alasan yang popular ialah menyebabkan kegemukan dan lemah, walhal ia tidak benar sama sekali.
Mereka yang layak menderma darah tetapi, belum lagi menderma darah perlu mengubah sikap. Persepsi negatif bahawa menderma darah boleh menimbulkan pelbagai kesan sampingan seperti kegemukan, rasa tidak selesa dan lemah perlu dikikis sama sekali.
Ia seharusnya dilihat sebagai suatu proses yang memberi manfaat bukan sahaja kepada masyarakat malah, kepada penderma itu sendiri.
Sempena dengan sambutan Hari Penderma Darah Sedunia yang disambut pada tanggal 14 Jun setiap tahun yang diisytiharkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia, Kementerian Kesihatan Malaysia dan Pusat Darah Negara dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur menyambut Karnival Hari Penderma Darah Sedunia 2011 baru-baru ini.
Dengan membawa tema Lebih Banyak Darah, Lebih Banyak Nyawa, penganjurannya kali ini bertujuan memberi penghargaan dan mengenang jasa baik penderma-penderma darah selain meningkatkan kesedaran orang ramai untuk menderma darah.
Di samping itu, ia secara tidak langsung memberi kesedaran kepada masyarakat umum tentang kepentingan menderma darah serta menggalakkan mereka menderma darah secara berulang.
Karnival tersebut yang mengambil tempat di Tasik Titiwangsa dirasmikan oleh Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Rosnah Shirlin Abdul Rashid Shirlin.
Kebanyakan hadirin yang hadir seawal pukul 8 pagi membuka acara dengan aktiviti senaman ringan yang disertai oleh orang awam yang rata-ratanya memakai kemeja T berona merah yang sememangnya sinonim dengan darah.
Pada karnival tersebut juga, Pusat Darah Negara mengambil kesempatan memberi anugerah serta meraikan para penderma darah di samping meningkatkan kesedaran orang ramai tentang kepentingan menderma darah.
"Sambutan ini diadakan bagi menghargai dan memperingati sumbangan penderma darah yang telah banyak berkorban bukan sahaja dari segi mendermakan darah tetapi, tanpa jemu membelanjakan wang dan meluangkan masa mereka untuk menderma darah.
"Diharapkan lebih ramai golongan yang sihat akan tampil untuk menjadi penderma darah bagi menjamin bekalan yang berterusan untuk jangka masa panjang," kata Pengarah Pusat Darah Negara, Dr. Roshida Hassan.
Seorang pesara tentera laut, Donald Charles Pereira, 60, telah menderma darah sebanyak 420 kali sejak tahun 1968 lagi terpanggil untuk menderma darah ketika salah seorang rakannya terlibat dalam kemalangan.
"Sejak pertama kali menderma darah di Hospital Assunta petaling Jaya, saya seringkali menderma darah sehingga ke hari ini.
"Kebanyakan orang kata menderma darah boleh menyebabkan gemuk tetapi, ia sekadar alasan semata-mata kerana tidak mahu menderma darah.
"Sebenarnya menderma darah menjadikan anda seorang yang lebih sihat kerana ia digantikan dengan darah yang baru," katanya yang aktif bermain badminton dan berjoging.
Dalam pada itu, seorang lagi penderma darah yang menderma sebanyak 344 kali, Chin Jeck Leng, 50, menyifatkan membantu orang dengan memberikan wang sangat mudah berbanding menderma darah.
"Kebanyakan orang kini lebih suka menerima daripada memberi. Saya mula bertekad menderma darah apabila sesuatu berlaku kepada ibu saya yang perlu menjalani pembedahan ketika usia saya 12 tahun.
"Kesukaran mendapatkan penderma darah membuatkan saya berazam menderma darah sebaik sahaja umur 18 tahun iaitu umur yang dibenarkan untuk menderma darah bagi membantu mereka yang memerlukan walaupun tidak kenal siapa pun mereka," ujarnya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: