PERJALANAN menuju ke Stesen Bukit Timah di Singapura dari Geylang dicabar dengan beberapa ujian. Pertama, rata-rata pemandu teksi agak kabur dengan destinasi tersebut. Bahkan penulis hampir bertegang leher dengan seorang pemandu kerana enggan mengakui kewujudan Stesen Bukit Timah.
Jika ada yang mahu menghantar pun, penulis dibawa ke destinasi yang salah iaitu pusat beli-belah Railway Mall Bukit Timah. Enggan berputus asa, dari Railway Mall perjalanan ke stesen tersebut diteruskan dengan menaiki bas berdasarkan kedudukannya dalam peta. Meskipun cuaca tidak mengizinkan, namun semua itu tidak mematahkan semangat penulis bersama jurufoto Abdul Nazir Mohamed untuk menjejak stesen kereta api yang berusia 108 tahun itu.
Setelah berjalan kaki menaiki dan menuruni kawasan berbukit di kediaman elit King Albert Park selama 30 minit dalam hujan lebat akhirnya destinasi yang dicari ditemui.
Papan tanda di tepi jalan dengan tulisan berwarna putih kecil yang bertulis Malayan Railway Bukit Timah Railway Station dengan sedikit contengan vandalisme itu menyebabkan penulis menjerit kecil akibat terlalu teruja.
Jalan kecil berturap tar yang diapit semak pada kiri dan kanan lorong itu memberi jawapan kepada penulis mengapa rata-rata pemandu teksi tidak ambil peduli destinasi tersebut. Meskipun mendiami bumi yang sama, Temasik, namun nama Bukit Timah tidak segah Stesen Keretapi Tanjong Pagar.
Jalan kecil sejauh 400 kilometer dari jalan besar itu akhirnya menemukan penulis dengan pejabat stesen itu. Benar, wajah Stesen Bukit Timah terlalu sunyi dan sepi serta terpinggir daripada hikuk-pikuk kota. Namun, pejabat stesen berwarna merah bata itu tidaklah terlalu usang jika dibandingkan dengan usia stesen tersebut.
Ketika melangkah masuk ke dalam pejabat stesen tersebut, penulis seolah-olah kembali ke zaman kolonial apabila mata dijamu dengan peralatan kereta api lama yang masih utuh.
Kurang diikenali
Lelah berjalan mencari stesen tersebut hilang apabila Ketua Stesen Bukit Timah, Master Atan Ahmad menyambut kehadiran kami dengan senyuman meskipun terlewat daripada masa yang dijadualkan.
“Saya faham ramai tak tahu ada sebuah stesen kereta api yang beroperasi di sini, ia tak dikenali sebab stesen ini tak turunkan penumpang, tiada kaunter tiket dan tak angkut barang-barang lagi,” ujar Ketua Stesen Bukit Timah, Master Atan Ahmad yang memahami punca kelewatan kami.
Atan sudah berkhidmat dengan KTMB sejak dua dekad lalu. Dia mula ditugaskan di Singapura pada tahun 1998 di Tanjong Pagar sebelum berpindah ke Bukit Timah dua tahun lalu.
Tanpa banyak bicara, Atan terus menukar pakaian kepada seragam lama berwarna putih lengkap dengan songkok, khas untuk sesi wawancara dan fotografi eksklusif bersama dengan Kosmo!.
Menurut Atan, stesen yang sebelum ini sunyi sepi itu bagaimanapun mendapat perhatian luar biasa daripada orang ramai sejak penutupannya diuar-uarkan enam bulan lalu.
“Sebelum stesen ini diumumkan nak tutup, tidak ada orang datang, kalau ada pun orang lama-lama yang kerja di pejabat pos atau anggota polis yang datang untuk berehat.
“Di sini dulu ada warung tapi sejak pemiliknya pulang ke India pada tahun 1996, kawasan ini sepi, ” luah Atan.
Kenyataan Atan itu turut disokong bekas Ketua Stesen Bukit Timah, Hashim Muji, 47, yang sudah 10 tahun berkhidmat di situ.
“Memang benar, sesetengah orang Singapura tak sedar tentang kewujudan stesen ini,” ujarnya sambil menggelengkan kepala.
Jika sebelum ini orang ramai tidak dibenarkan berada atau mengambil foto di kawasan stesen, tetapi dalam tempoh enam bulan sehingga semalam orang awam dari Malaysia dan Singapura bertali arus semata-mata mahu melihat stesen itu lebih dekat. Ketika kunjungan Kosmo! ke stesen itu, penulis dan jurufoto terpaksa bersaing dengan orang awam yang berebut-rebut mahu merakamkan setiap sudut yang ada di situ.
Hartanah berprestij
Stesen Bukit Timah atau sebelum ini dikenali sebagai Kranji Railway Station menerima nasib yang sama dengan Tanjong Pagar apabila ia ditutup secara rasmi mulai hari ini.
Selepas tarikh tersebut, semua perkhidmatan kereta api yang tiba dan berlepas dari stesen Tanjong Pagar sebelum ini akan beroperasi sepenuhnya di Pusat Pemeriksaan Kereta Api Woodlands (WTCP).
Umur stesen itu lebih tua daripada Stesen Tanjong Pagar. Stesen Bukit Timah dibuka pada tahun 1903 dan kemudian dibina semula pada 3 Mei 1932.
Menurut Atan, stesen yang terletak di kawasan hartanah paling berprestij dan dikelilingi kediaman mewah menyebabkan penghuni di sekelilingnya tidak selesa dengan bunyi roda gerabak, semboyan dan wisel kereta api yang bergema mengikut masa.
“Orang yang duduk di sekitar landasan ini tak suka, dia datang jumpa saya tanya berapa kali kereta api lalu dan tanya kenapa wisel ditiup.
“Dia mungkin nak tidur atau terjaga daripada tidur dek bunyi wisel itu. Tapi tak apalah, lepas ni mereka pasti gembira dan tak marah-marah lagi sebab stesen ini akan ditutup,” katanya.
Namun sebagai individu yang bertanggungjawab mengawasi kawasan itu Atan tidak pernah menghalang warga Singapura daripada berjoging di sepanjang landasan.
Stesen tunggal
Selama 108 tahun beroperasi, bangunan setingkat yang diperbuat daripada batu-bata berwarna merah (sebelum ini kayu) hanya sekali diubah suai iaitu pada 16 Julai 1960.
Namun, fungsinya daripada menghubungkan, membawa dan menurunkan penumpang ke kawasan luar bandar Singapura telah bertukar. Selepas 2 Mei 1932, ia menjadi lokasi perselisihan tren dan mengawal laluan menerusi semboyan dan lampu isyarat.
“Walau stesen ini kecil, ia berfungsi membantu mengurangkan kelewatan tren,” jelas Atan sambil memberitahu stesen itu juga merupakan stesen tunggal yang melakukan pertukaran kunci token yang dipraktikkan sejak zaman kolonial British.
Kunci token adalah kuasa yang diberikan oleh master stesen untuk sesebuah kereta api bertolak ke stesen lain.
Pelbagai peralatan separa mekanikal wujud di situ. Dengan penuh semangat, Atan membawa kami ke Stesen Berkunci Kait Penuh yang merupakan sebuah kabin yang mempunyai lebih 27 poin untuk mengawal signal landasan.
“Untuk menarik poin ini perlu kekuatan, kalau tak, ia boleh beri kesan buruk pada badan kita,” kata Atan sambil menunjukkan demonstrasi menarik poin.
Ketika kereta api mewah Orient Express Train (Singapura-Bangkok) melewati dan berhenti seketika di landasan Bukit Timah, Atan berkata: “Kemungkinan ini yang pertama dan terakhir awak melihat proses pertukaran token di sini, kita tunggu kereta api pukul 1.15 tengah hari nanti.”
Kelajuan kereta api yang bergerak kira-kira 80 kilometer (km) sejam membuatkan individu yang berhasrat untuk merakam gambar dari tepi platform membatalkan niat mereka.
Namun, Atan tidak berganjak. Dia sudah bersedia mengangkat bendera hijau dan menghulurkan token kepada pembantu pemandu kereta api. Kepada yang pertama kali melihat, gerak kerja itu disifatkan satu proses yang mendebarkan dan berisiko tinggi.
“Setiap kali tren datang, saya akan rasa berdebar sehingga sekarang, nyawa boleh melayang bila-bila masa,” akuinya yang tidak pernah cedera tetapi cuma mengalami sengal-sengal tulang.
Atan memberitahu, pada asalnya, dia rasa berat untuk bertugas di Stesen Kereta api Bukit Timah kerana tanggungjawab itu memerlukan kekuatan fizikal dan mental yang kuat.
Sangka penulis, tugas bapa kepada lapan orang anak sudah selesai pada hari itu tetapi sebenarnya tidak. Atan membawa penulis dan Abdul Nazir ke bilik operasi. Dia memperkenalkan kami dengan kunci token, radas token dan telefon radas.
Dia memasukkan kunci token ke dalam radas token yang berwarna merah. “Tadi kita dah dapat kunci token, bila masuk dalam radas, itu bermakna landasan sudah bebas, lepas tu barulah kita beri laluan kepada kereta api Orient Express Train untuk bergerak,” terangnya yang mengamalkan surah-surah tertentu dalam al-Quranketika proses penyerahan dan penerimaan token kerana tugas itu tinggi risikonya.
Pujuk hati
Tuas pada telefon radas bentuk klasik itu kemudiannya dipusing-pusingnya beberapa kali. Rupa-rupanya lelaki itu membuat panggilan ke Pintu Pagar Bukit Gombak.
“Bila tren dah lepas dari Bukit Timah, saya akan telefon Bukit Gombak, signal diterima, petugas akan tutup jalan raya untuk kenderaan,” jelasnya.
Namun, mulai semalam, rutin Atan sudah berakhir. Dia juga tidak perlu lagi menaiki bas bernombor 61 untuk ke tempat kerja. Selepas ini juga, dia tidak akan diherdik kerana bunyi wisel di wilayah termahal di Singapura dan tiada lagi proses pertukaran token yang membahayakan.
Atan dan Hashim jujur memberitahu, mereka tidak mempunyai sebarang pengalaman pahit sepanjang bekerja di Bukit Timah. Cuma kemalangan akibat kereta api tergelincir pada November tahun lalu dianggap Atan sebagai satu cabaran dalam kerjayanya.
Atan sempat membayangkan, dialah orang terakhir yang akan menutup signal, suis dan lampu di stesen warisan negara itu. Ketika berbicara tentang soal perpisahan, dia seolah-olah meminta diberi ruang untuk menghela nafas.
“Saya pasti akan mengalirkan air mata. Lambang perkembangan sistem pengangkutan darat antara pulau ini dan Malaysia sudah bernoktah.
“Nostalgia Stesen Bukit Timah tidak akan hilang begitu saja,” ujar Atan seolah-olah sedang memujuk hatinya. Dia kini bertugas di Stesen Pontian, Johor.
Seperti Atan dan Hashim, seluruh rakyat Malaysia juga masih menaruh harapan agar bendera Singapura dan Malaysia di Stesen Bukit Timah akan terus berkibar megah.
Dengan tamatnya perkhidmatan stesen itu, maka berakhirlah mimpi ngeri penduduk kondominium mewah berhampiran yang selama ini mengharapkan tidur mereka bebas daripada gangguan bunyi kereta api.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: