![]() |
| TIDAK lokek membantu anggota menjalankan tugas di pejabat. |
PADA 28 Mei 2009, akhbar Utusan Malaysia menyiarkan gambar muka hadapan dua lelaki dengan leher dan kaki masing-masing dirantai seperti anjing.
Kedua-dua lelaki itu merupakan mangsa ceti haram atau ah long yang dikurung dalam sebuah lokap buatan sendiri oleh kumpulan dikenali sebagai 'Geng Kristal 9' di sebuah bangunan rumah kedai lima tingkat di Taman Perindustrian Bukit Serdang, Seri Kembangan, Selangor.
Bukan sahaja Utusan Malaysia, hampir semua akhbar tempatan menyiarkan gambar dua lelaki berantai di leher dan kaki ini di muka depan, sekali gus menjadikan ia berita paling hangat dan mendapat perhatian pada hari tersebut dan beberapa minggu yang seterusnya.
Insiden kekejaman itu juga menyebabkan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussien mengarahkan kementeriannya menghidupkan semula jawatankuasa yang pernah dibentuk bersama Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Kementerian Kewangan dan Kementerian Penerangan bagi menangani isu ah long secara menyeluruh.
Setelah lebih dua tahun berlalu, ramai sudah melupakannya peristiwa tersebut kecuali Asisten Supritendan Supari Muhammad kerana beliau adalah pegawai penyiasat bagi kes terbabit dan seterusnya menyelamatkan mangsa.
Supari, 38, kini merupakan Pegawai Penyiasat Jenayah Kanan di Zon Sungai Buloh, Petaling Jaya memberitahu, beliau bertugas sebagai Pegawai Penyiasat Jenayah Bersindiket di Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Selangor ketika berjaya membongkarkan kegiatan Geng Kristal 9.
"Kewujudan lokap khas untuk mengurung mangsa ah long ini terbongkar apabila saya dan anggota memberkas dua lelaki dipercayai ah long hasil maklumat orang awam di sebuah bank di Desa Jaya, Kepong, Selangor pada 27 Mei 2009.
"Hasil siasatan lanjut terhadap dua lelaki terbabit, kita mendapat maklumat bahawa ada mangsa dikurung di sebuah rumah kedai di Seri Kembangan tetapi suspek sendiri tidak pasti alamat sebenar tempat tersebut," kata Supari menceritakan antara pengalaman menarik ditimba sepanjang 17 tahun berkhidmat dalam pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Anak kelahiran Masjid Tanah, Melaka ini memberitahu, berbekalkan maklumat tersebut, beliau menjalankan siasatan sehingga membawa kepada penemuan lokasi mangsa dikurung iaitu satu unit kedai di tingkat bawah yang sudah diubah suai dengan lantainya boleh dinaik dan diturunkan dengan menggunakan alat kawalan jauh.
Supari berkata, tujuan lantai kedai itu diubah suai adalah bagi membolehkan kereta yang membawa mangsa masuk terus ke dalam premis supaya tiada siapa nampak mereka dibawa ke situ.
Tambahnya lagi, beliau yang mengintip melalui lubang kecil pada pintu masuk semakin pasti bahawa rumah kedai terbabit adalah tempat mengurung mangsa setelah ternampak penutup hidung beroksigen di dalamnya.
"Apabila benar-benar sudah pasti ada mangsa dikurung di situ, saya bersama anggota mengambil keputusan menyerbu masuk dan menemui ada pintu jeriji dibina di satu sudut dalam premis tersebut.
"Setelah berjaya memecah jeriji, kami temui pula dua bilik berkunci yang gelap di dalam sudut yang tersorok itu dan alangkah terkejutnya kami apabila menemui tiga lelaki dikurung dengan leher dan kaki dirantai," ujarnya sambil memberitahu dua mangsa ditempatkan dalam satu bilik, manakala seorang di bilik berasingan.
Supari berkata, kehadiran mereka tanpa memakai uniform menyebabkan mangsa menggigil ketakutan kerana menyangka mereka adalah anggota kumpulan ah long berkenaan, meskipun sudah dimaklumkan mereka polis dan ditunjukkan kad kuasa.
Polis mengambil masa kira-kira tiga minit untuk menyakinkan mangsa dan sebaik sahaja menyedari mereka sudah selamat, dua lelaki yang dikurung dalam bilik sama terus 'menyembah' Supari sambil mengucapkan terima kasih kerana menyelamatkan mereka.
Kata Supari, beliau berasa amat hiba apabila melihat keadaan mangsa yang diperlakukan seperti haiwan dan geram dengan perbuatan kumpulan ah long yang tidak berperikemanusiaan itu.
"Keadaan mangsa sewaktu ditemui memang menyedihkan. Kulit mereka pucat lesi kerana mengalami hidrasi dan sudah lama tinggal dalam keadaan gelap serta tidak terkena cahaya matahari.
"Mangsa juga kelaparan kerana tidak diberi makan dan hanya kelihatan beberapa botol air mineral kosong, tandas untuk membuang air kecil dan besar serta kepala paip di dalam bilik tersebut," katanya sambil memberitahu mangsa dikurung antara 17 hari hingga dua bulan.
Dalam serbuan itu, polis terpaksa meminta bantuan pasukan Bomba dan Penyelamat dari Seri Kembangan untuk memecahkan mangga 'lokap' dan rantai dipasang pada mangsa.
Supari berkata, tugasnya tidak selesai selepas berjaya menyelamatkan mangsa kerana beliau seterusnya perlu bekerja keras menyiapkan kertas siasatan untuk mendakwa tujuh suspek yang ditangkap dalam kes tersebut agar mereka mendapat hukuman setimpal dengan perbuatan kejam yang dilakukan terhadap mangsa.
Ujar Supari, beliau berpuas hati apabila hasil penat lelahnya membuat siasatan dan penyelidikan terhadap kes fail, enam tertuduh akhirnya dikenakan tindakan di bawah Ordinan Darurat (EO) manakala seorang lagi Akta Kediaman Terhad.
Mengenai kerjaya dalam PDRM, bapa kepada Nurul Wahidatul Syazwa, 12, dan Muhammad Sharul Safaraz, 8, ini memberitahu, beliau memulakan perkhidmatan sebagai Inspektor Percubaan pada 1994 di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Jalan Semarak, Kuala Lumpur.
"Tamat tingkatan enam, saya diterima menjalani latihan perguruan di Maktab Perguruan Persekutuan Pulau Pinang di Gelugor tetapi tidak menamatkan latihan kerana memilih menyertai PDRM yang dirasakan lebih sesuai dengan minat saya yang gemar aktiviti lasak," katanya.
Tamat latihan, Supari dihantar bertugas sebagai Pegawai Penyiasat Jenayah di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Papar di Sabah sebelum berpindah ke IPD Kota Kinabalu di Karamunsing juga di Sabah mulai 1996 hingga 2003.
Selepas IPD Kota Kinabalu, beliau dipindahkan pula ke IPD Petaling Jaya Selatan sekarang dikenali IPD Serdang sebagai Pegawai Penyiasat Komersial selama lebih setahun sebelum dilantik menjadi Ketua Balai Polis Sunway yang pertama.
Supari kembali menjalankan tugas penyiasatan apabila ditukar ke D7, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor selama lebih dua tahun dan dinaikkan pangkat ASP dengan jawatan sekarang.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: