
INDUSTRI perfileman Melayu memperlihatkan peningkatan bukan sahaja daripada segi jumlah kutipan tiket tetapi juga bilangan penonton yang menyaksikan filem-filem Melayu di pawagam.
Dalam perkembangan itu, Skop Productions dan MIG Production antara syarikat produksi terpenting yang menyumbang ke arah itu.
Terbaru, filem KL Gangster yang mengutip kutipan tiket RM11.6 juta sehingga 30 Jun lalu berjaya menarik 1.2 juta penonton ke pawagam.
Menurut Pengarah Urusan dan penerbit Skop Productions Datuk Yusof Haslam, perkembangan sihat itu berdasarkan kepercayaan para penonton terhadap filem-filem Melayu yang diterbitkan sejak lima tahun kebelakangan ini.
"Perkembangan itu kerana adanya dominasi daripada kalangan penerbit filem tempatan seperti saya dan David Teo melalui syarikatnya, MIG Production. Walaupun dia bukan bumiputra tetapi bilangan penerbitan filemnya yang mencecah 10 filem setahun menambahkan lagi jumlah filem-filem Melayu.
"Saya lihat hampir 70 peratus dominasi itu dikuasai penerbit bukan Melayu termasuklah David.
"Tetapi saya yakin sekarang semakin ramai penerbit bumiputra yang serius dan berjaya menerbitkan banyak filem berkualiti terutamanya KRU Studios. Saya harap dominasi itu akan seimbang dalam masa dua atau tiga tahun lagi," katanya.
David Teo yang ditanya tentang isu itu tidak tersinggung dengan kenyataan Yusof sebaliknya, dia berfikiran positif.
Pada pandangannya, pembabitannya dalam bidang perfileman bukan setakat memenuhi poketnya semata-mata tetapi demi kebaikan semua pihak.
Justeru, dia berharap semua pihak berfikiran terbuka dalam membawa persaingan dalam bidang yang menguntungkan ini.
Isu paling kerap ditimbulkan ialah pembabitan David yang pernah menjadi Ahli Lembaga Pengarah Finas sehingga mencetuskan pertikaian banyak pihak.
Namun, itu cerita lama kerana dia kini bukan lagi berada di kerusi panas tersebut. Sebagai rekod, David pernah menjadi Ahli Lembaga Pengarah Finas dari tahun 2008 sehingga 2010.
"Saya berada dalam Ahli Lembaga Pengarah Finas atas pelantikan dan ia dipersetujui oleh Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim.
"Saya masuk bukan kerana mahu mendominasi industri ini tetapi kerana mahu menyumbang pengalaman dan kepakaran saya dalam bidang ini. Saya mahu kongsi dengan semua orang termasuklah penerbit Melayu.
"Saya pun bukannya hebat sangat. Saya pernah gagal dalam beberapa filem, contohnya filem Syukur 21 pada tahun 2001.
"Kos penerbitan filem itu mencecah RM3.8 juta tetapi akhirnya saya hanya dapat pulangan RM1 juta sahaja.
"Itu adalah pengalaman pahit bagi saya kerana saya kerugian waktu itu. Jadi, saya tidak mahu ia berlaku kepada penerbit lain. Kalau boleh saya mahu kita semua untung," ujarnya.
Namun, pendirian David itu berlainan dengan prinsip yang dipegang oleh Yusof.
Ini kerana Yusof lebih banyak menumpukan perhatian kepada bidang pengarahan dan penerbitan berbanding pesaingnya itu yang 100 peratus berpaksikan kepada urusan untung rugi perniagaan.
Bukan lokek berkongsi pengalaman tetapi Yusof tidak mahu ia dipersoalkan oleh pihak lain.
Ini kerana, jika diukur dari segi pengalaman Yusof dalam dunia perfileman bukan kepalang, malah beliau juga sudah layak untuk memberi buah fikiran mahupun duduk dalam Ahli Lembaga Pengarah Finas sama seperti peluang yang telah dikecapi oleh ramai pembikin mahupun pemain-pemain dalam bidang itu.
Apa pun bekas pelakon yang pernah membintangi filem popular tahun 1970-an, Melati Putih ini lebih senang duduk di kerusi pengarahan dan di syarikat produksi miliknya itu.
"Kalau boleh saya cuba elakkan daripada duduk atas kerusi yang ada kepentingan di Finas. Nanti orang akan mengata macam-macam termasuklah untuk menggunakan kedudukan itu bagi kepentingan diri sendiri.
"Biarlah saya dengan kedudukan sekarang. Kalau saya mahu mendominasi penerbitan filem di negara ini pun biarlah dengan usaha saya sendiri. Saya bukan cemburu atau menafikan rezeki orang lain tetapi para penerbit filem Melayu harus buka mata seluas-luasnya.
"Sekarang semakin ramai pembikin filem bukan Melayu yang tertarik untuk menerbitkan filem Melayu kerana pasaran dan sambutannya yang semakin luas. Saya cakap macam ini untuk membakar semangat para penerbit Melayu," jelasnya.
Selain dominasi dua penerbit terkenal tanah air itu, penerbitan filem di Malaysia juga memperlihatkan peningkatan apabila setiap tahun lebih 50 buah filem cereka diterbitkan.
Ia dikatakan mengatasi bilangan filem yang diterbitkan di negara pesaing di rantau ini iaitu Thailand yang sebelum ini cuma menerbitkan sekitar 40 filem setahun.
Statistik peningkatan itu adalah yang terbaik dalam industri perfileman tempatan setakat ini jika dibandingkan dengan Thailand yang sebelum ini merupakan negara pengeluar filem paling aktif di rantau Asia Tenggara.
Pada masa sama, menurut sumber Finas, sehingga Jun tahun ini sahaja lebih 20 filem Melayu telah ditayangkan di pawagam-pawagam seluruh negara dengan kutipan tiket melebihi RM50 juta.
Malah, perbadanan itu mensasarkan tiket kutipan keseluruhan filem-filem Melayu yang akan ditayangkan di pawagam menjelang hujung tahun ini mampu mencecah RM100 juta.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: