SEBAGAI pegawai nombor 1 Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Solah Mat Hassan amat sibuk dengan tugasan.
Ketika Mingguan MStar berkunjung ke pejabatnya di Putrajaya, beliau sibuk melayan stafnya dan orang luar.
Beliau sesekali dicelah dengan deringan telefon bimbit serta siri khidmat pesanan ringkas (SMS). Lumrah bagi seorang pemimpin.
Dalam keadaan sibuk itu, Solah meminta wartawan ini tunggu sebentar agar dapat membereskan kerja-kerja satu persatu.
Walaupun sibuk, Ketua Pengarah JPJ itu tidak pernah menghampakan wartawan serta sesiapa sahaja yang ingin menemuinya.
Sifat-sifat mesra beliau begitu mendekatkan diri dengan orang ramai termasuk wartawan ini.
Apabila peluang tiba untuk menemuramah Solah, soalan pertama terpacul dari mulut: “Adakah ini merupakan cita-cita Datuk sejak kecil lagi?
Solah menidakkannya. “Saya ingin menjadi askar kerana saya suka berlawan, semangat mahu berlawan dan suka berjuang,” katanya secara spontan sehingga wartawan ini tergamam mendengar jawapan itu.
Lantas ditanya kenapa beliau tidak merealisasikan cita-citanya itu. Solah terdiam seketika.
Jawapan awalnya amat ringkas iaitu “Amat menyentuh perasaan”. Agaknya beliau tengah menyusun butiran penjelasannya.
Bila penjelasan lanjut diberikan, segala misteri di sebalik cita-citanya yang tidak tertunai itu beransur-ansur terungkai satu persatu.
Titik peralihan, jelas Solah, ialah apabila beliau lulus dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dengan gred satu. Malah beliau merupakan pelajar terbaik di daerah Pasir Puteh ketika itu.
“Saya cuba masuk ke Universiti Pertanian Malaysia kerana ingin menjadi petani moden. Namun, saya kena sahkan sijil-sijil (peperiksaan) dulu dan hanya Pegawai Daerah (DO) yang boleh lakukan,” katanya.
Solah dibesarkan dalam sebuah keluarga petani yang miskin di Kampung Gaal, Pasir Puteh, Kelantan. Beliau ialah anak kampung sejati yang menanam tembakau, menanam padi serta menjala, menjual ikan dan menjual buah-buahan tempatan.
Beliau bijak orangnya dan menunjukkan pencapaian cemerlang dalam bidang akademik sejak sekolah rendah lagi.
Untuk mendapatkan pengesahan sijil-sijil tersebut, Solah berkata, dia menyediakan telur ayam, kelapa yang dibersihkan dengan daun mempelas, beras pulut yang dituai dari bendang sebagai buah tangan kepada pegawai terbabit nanti.
“Selepas solat Maghrib, saya bersama ibu bapa saya menaiki beca roda tiga dari Kampung Gaal ke pusat bandar di Pasir Puteh.
“Perjalanan sehala adalah kira-kira dua batu dan memakan masa sejam. Saya berdiri sepanjang perjalanan sementara ibu bapa duduk kerana ruang terhad,” katanya sambil menambah bapa saudaranya yang bekerja sebagai tukang kebun di rumah Pegawai Daerah itu membuat temu janji tersebut.
Pertemuan itu bagaimanapun meninggalkan kesan yang amat mendalam terhadap jiwanya.
Memori lampau itu amat mengusik hati Solah sehingga beliau yang tabah serta bengis bagi mereka yang tidak mengenalinya “tewas” apabila mengimbaunya.
Air mata yang berlinangan turun membasahi pipinya. Tangannya menyeluk poket untuk mendapatkan sapu tangan cepat-cepat bagi menyeka air mata yang berguguran.
“Terdapat dua perkara yang mengganggu emosi saya. Pertama, Pegawai Daerah terbabit tidak menghargai kejayaan saya memperolehi Gred 1 kerana dia langsung tidak mengucapkan tahniah.
“Keduanya, dia tidak usik pun buah tangan tersebut sebaliknya menyuruh saya meletakkannya di anak tangga,” ujarnya dengan suara yang terketar-ketar kerana kesedihan yang teramat sangat.
Apa tidak sedihnya, Solah membuat persiapan buah tangan itu sejak seminggu. Perjalanan sejam pergi, dan sejam balik.
Tetapi perjumpaan hanya kurang daripada lima minit. Lebih mengaibkan, Pegawai Daerah itu tidak menjemput mereka masuk ke rumah.
Semasa dalam perjalanan pulang, Solah masih ingat ibu bapa dan dirinya diam membatu sepanjang perjalanan kerana terpukul dengan layanan tersebut.
“Dalam benak saya, okey, anda tidak menghormati ibu dan bapa saya kerana saya orang kampung."
Bermula dari detik itu, beliau berjanji tidak akan jadi askar.
“Pertamanya, saya berikrar akan melanjutkan pelajaran ke universiti. Keduanya, bila saya bekerja, saya akan berada di kerusi pegawai daerah itu atau lebih tinggi dan akan buka pintu kepada sesiapa sahaja,” tegas Solah.
Justeru, mulai hari pertama bekerja, Solah mengakui beliau tidak pernah menolak sesiapa yang ingin berjumpa dengannya.
Patutlah pintu pejabatnya di Putrajaya sentiasa terbuka luas kepada pengunjung!
Jika diselak zaman persekolahan menengah lagi, semangat berkobar-kobar untuk melawan situasi sudah terbit.
Solah berkata, beliau tidak dapat memohon biasiswa persekutuan kerana borang permohonan hanya diberikan kepada anak-anak cikgu, polis dan kerani.
Katanya, dia mengetahui perkara itu selepas kawan-kawan serta kenalannya yang berjaya mendapat biasiswa itu merupakan anak-anak inspektor polis, kerani dan guru.
Ini menguatkan lagi azamnya untuk ‘menewaskan’ mereka dalam bidang pendidikan. Biasiswa tersebut bernilai RM15 sebulan yang dimasukkan dalam buku akaun.
“Kawan yang mendapat biasiswa pernah belanja tengok wayang 25 sen untuk filem kelas ketiga ketika itu,” katanya.
Akhirnya, Solah mendapat gred pertama manakala kawan-kawannya mendapat gred dua.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: