Kapal layar dipukul arus
Terus belayar ikut pedoman
Pantun Melayu hidup terus
Tidak kalah dilambung zaman
DARI jejak sejarah, pantun sudah wujud dan diguna pakai secara meluas sejak bermulanya zaman kegemilangan Melayu Melaka yang berusia beratus tahun dahulu.
Malah warisan asli ini telah wujud lebih lama daripada hasil-hasil sastera dari William Shakespeare yang diagung-agungkan.
Bibit-bibit rangkap pantun yang dialunkan mempunyai gambaran kehidupan seharian yang disampaikan dalam satu cara yang penuh ringkas namun cukup indah dan mempunyai maksud yang mendalam untuk pemikiran.
Kekayaan nilai budaya dan bahasa yang terdapat dalam pantunlah yang membuatkan tokoh ilmuwan negara, Profesor Diraja Ungku Abdul Aziz atau dikenali sebagai Pak Ungku jatuh cinta terhadap warisan unggul bangsa Melayu ini.
Tidak mahu kesusasteraan indah ini jatuh tersungkur lalu diletakkan di belakang benak minda seperti yang terjadi kepada kegemilangan kerajaan Melayu Melaka, Pak Ungku membukukan puitis rakyat ini melalui satu naskah dalam penyampaian terkini.
Melalui Pantun dan Kebijaksanaan Akal Budi Melayu, Ungku Aziz membawa semula tradisi ini yang diangkat oleh saterawan terdahulu iaitu Raja Ali Haji dan berkongsi ilmu yang diperolehinya sejak lebih 20 tahun lalu dengan bahasa yang mudah difahami.
Rangkaian pantun pertama yang dipersembahkan dalam naskhah ini membawa pembaca ke zaman perdagangan Melayu dahulu kala melalui beberapa pantun yang menceritakan kehidupan orang dagang dan perantau yang punya semangat tinggi.
Pantun kanak-kanak juga mendapat tempat di hati cendiakawan ini, di mana beliau juga mengulas beberapa pantun yang relevan untuk dikenali oleh golongan muda mahupun yang lebih dewasa.
Walaupun bahasa yang digunakan dalam pantun kanak-kanak adalah ringkas dan mudah difahami, maksud yang disampaikan merangkumi pengajaran bermakna untuk diaplikasikan sepanjang hayat seseorang itu dan kerana inilah beliau membawa dan mengulasnya dalam buku ini mengikut peringkat umur tertentu.
Ilmu pantun yang ingin dikongsi Pak Ungku dalam naskhah ini tidak berhenti di situ sahaja, beliau memberi analisis tentang kriteria, tema dan sifat sesebuah pantun itu secara ringkas di dalam lembaran terakhir buku ini iaitu variasi dalam pantun.
Dalam bab ini, beliau telah membuktikan bahawa ritma dan tema sesebuah pantun Melayu itu membolehkan kita menjadi lebih kreatif dengan menggunakan kiteria yang sama untuk membentuk pantun yang pelbagai namun mempunyai nuansa dan tekstur yang sama.
“Orang Melayu patut memberi nilai yang tinggi kepada pantun kerana ia merupakan satu warisan yang hebat dari segi sejarahnya malah pantun juga mengambarkan semangat Melayu.
“Kita tidak sepatutnya hanyut dengan arus kemodenan dan tidak membiarkan ia menentukan nasib bangsa sendiri,” katanya.
Pantun dan Kebijaksanaan Akal Budi Melayu boleh didapati di kedai-kedai buku terpilih di seluruh negara.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: