Friday, July 1, 2011

Siapa lebih hebat?

Carlos Tevez
Carlos Tevez

TROFI Copa America bukan satu-satunya ganjaran yang direbut pasukan yang bertanding apabila kejuaraan itu bermula pagi esok.

Satu di antaranya adalah tiket untuk menyertai Piala Konfederasi 2013. Begitupun, apa yang lebih penting adalah Copa America kembali ke bumi Argentina buat kali pertama sejak 1987.

Seperti biasa, Brazil menjadi pasukan pilihan untuk meraih gelaran itu biarpun tidak bimbang mengenai kedudukan mereka dalam Piala Konfederasi apabila menempah tempat secara automatik sebaik bergelar tuan rumah Piala Dunia 2014.

Sebaliknya, mereka berhasrat untuk mempertahankan trofi itu yang dimenangi dengan penuh bergaya pada 2007, apabila menumpaskan Argentina, 3-0 di perlawanan akhir.


Pada tahun itu, skuad Selecao mencapai kemuncak prestasi mereka dengan Robinho menjaringkan enam gol buat pasukan itu dan kali ini, pasukan yang berwajah baru itu turut kelihatan cukup berbahaya.Julio Cesar mempertahankan gawang dengan penuh wibawa manakala pertahanan yang lebih dikenali dengan keupayaan mencetuskan serangan dengan kehadiran Thiago Silva, Maicon, David Luiz dan Dani Alves.


Di bahagian tengah, Lucas Leiva dijangka diberi tugas untuk bertahan, membuka ruang buat Ramires dan Elano mengkucar-kacirkan lawan.

Jentera serangan pula diperkuatkan dua pemain AC Milan, Alexandre Pato dan Robinho yang mampu merobek pertahanan lawan tetapi mungkin dua pemain Santos, Ganso dan Neymar bakal mencuri perhatian.

Kedua-duanya mengukuh�kan kedudukan mereka selaku pemain terhebat di liga Brazil dan sering dikaitkan dengan perpindahan ke Eropah.

Argentina pula dianggap sebagai pasukan yang hebat seperti Brazil dan tidak sukar untuk menafikannya dengan sokongan padu penyokong tuan rumah.

Sudah pasti, mereka juga membariskan pemain terbaik. Lionel Messi adalah bintang utama kejohanan ini manakala Angel Di Maria, Javier Pastore, Carlos Tevez dan Sergio Aguero turut mempunyai kehebatan tersendiri.

Jurulatih Argentina, Sergio Batista turut memilih pemain berpengalaman di bahagian pertahanan apabila Javier Zanetti, Gabriel Milito, Nicolas Burdisso dan Pablo Zabaleta dijangka memainkan peranan masing-masing.

Dua pasukan yang bakal memberi kejutan dalam kejuaraan itu adalah Uruguay dan Chile, yang berpeluang bertarung sesama sendiri lebih awal dalam Kumpulan C.

Uruguay yang dibantu trio pe�nyerang hebat iaitu Diego Forlan, Luis Suarez and Edinson Cavani, sementara ayam tambatan Chile, Alexis Sanchez juga mampu membantu pasukannya meraih kemenangan.

Sementara itu, Ecuador turut dikatakan mampu menghasil�kan kejutan tetapi semua itu bergantung kepada keupayaan Antonio Valencia dan Christian Benitez.

Colombia pula secara tradisinya menjadi antara pasukan yang kompetitif di Amerika Selatan tetapi mereka perlu memastikan penyerang Wigan, Hugo Rodallega berada dalam prestasi terbaik jika ingin pergi lebih jauh.

Pemain tengah, Fredy Guarin menarik perhatian pasukan juara Portugal, Porto dan berhasrat memperbaiki prestasi�nya di Argentina.

Bolivia dan Venezuela pula dianggap sebagai pasukan belasahan di rantau itu tetapi masih berharap mampu mendapatkan penghormatan daripada permainan mereka manakala dua pasukan jemputan, Costa Rica dan Mexico turut berhasrat melakukan perkara yang sama.

Tidak mustahil, Mexico juga mampu memberikan cabaran untuk bergelar juara. Bagaimanapun selepas menjuarai Piala Emas Concacaf, mereka memilih untuk menghantar pasukan simpanan dan sukar bagi mereka untuk melakar sebarang kejutan.

Copa America bukan saja satu pesta bola sepak Amerika Selatan tetapi juga membuktikan ia pentas terbaik untuk pemain muda yang berharap dapat berpindah ke kelab lebih besar.

Ketika Messi, Pato, Suarez dan Sanchez dijangka mendominasi tajuk berita, tentunya lebih menarik jika dapat menyaksikan pemain kurang ternama mencetuskan kejutan di Argentina dan meletakkan diri mereka sebagai pemain terhebat Amerika Selatan selepas ini.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: