Friday, July 1, 2011

Akhiri dominasi Thai

KAGUM...Chua (kiri) melihat produk durian sejuk beku keluaran Fama sambil diperhatikan Ahmad (tengah), semalam.
KAGUM...Chua (kiri) melihat produk durian sejuk beku keluaran Fama sambil diperhatikan Ahmad (tengah), semalam.

MONOPOLI sekian lama pasaran durian Thailand di China berakhir apabila durian klon terkenal Malaysia gred D24 dan D197 (Musang King) bakal dieksport secara besar-besaran ke pasaran negara itu selewat-lewatnya penghujung Ogos depan.

Kejayaan memecah tembok pasaran China itu diumumkan selepas durian tempatan mendapat kelulusan akses pasaran daripada General Administration of Quality Supervision, Inspection dan Quarantine in China (AQSIQ) yang memberi kebenaran Malaysia mengeksport durian sejuk beku ke negara itu berkuat kuasa 11 Mei 2011.


Perkara itu diumumkan Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Malaysia, Chua Tee Yong pada majlis seminar persediaan pengeksportan durian sejuk beku ke China kepada kira-kira 150 pengeksport, peladang dan pengilang di Kompleks Terminal Agribisnes Negara (Teman), Gopeng, Perak.

Menurutnya, kejayaan itu adalah hasil kerja keras Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) dalam mempromosikan buah-buahan tempatan Malaysia ke China melalui pendekatan menarik selepas betik, rambutan, kelapa muda, tembikai dan nanas berjaya memasuki negara itu.


“Saya difahamkan, Jabatan Pertanian, Fama, Mardi dengan kerjasama Kedutaan Malaysia berjaya menawan media China dengan menjamu wakil media terlebih dulu kelazatan durian Malaysia.


“Kebanyakan media China mengakui durian klon D24 dan Musang King Malaysia berkali ganda lebih sedap berbanding durian Thailand,” katanya. Menurutnya, susulan itu pihak kementerian menerima banyak pertanyaan berkaitan prosedur pengeksportan durian Malaysia ke China sebelum pihak AQSIQ meluluskan eksport durian beku ke China bulan lalu.

“Buat masa ini hanya durian jenis klon seperti D24 dan Musang King sesuai untuk disejuk beku bagi tujuan dieksport ke China. Peladang berminat boleh menggunakan pusat pemprosesan durian sejuk beku yang diluluskan AQSIQ di Pusat Memproses Fama di Batu Kurau, Perak,” katanya sambil menambah negara mampu mengeluarkan 300,470 tan durian setahun.


“Tahun lalu saja, Malaysia mampu memperoleh keuntungan RM17.05 juta hasil eksport durian ke Singapura, Taiwan, Hong Kong, Australia dan beberapa negara Eropah lain,” katanya.Sementara itu Ketua Pengarah Fama, Ahmad Ishak berkata, keperluan mengeksport durian sejuk beku ke China mampu menyumbang pendapatan besar kepada negara melalui nilai eksport menjangkau RM1.5 bilion setahun.


Menurutnya, peladang dan pengeksport yang berminat bagaimanapun perlu mematuhi dua syarat utama iaitu durian mestilah datang dari ladang yang mendapat Sijil Skim Amalan Baik Ladang Malaysia (SALM) selain diproses di pusat Fama, Batu Kurau, Perak.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: