Saturday, July 9, 2011

Shanty letih jadi ibu

pix_gal0
BELUM terlintas di fikiran Shanty untuk kembali menekuni dunia yang pernah memperkenalkan namanya, sementelah kini dia memilih untuk berada di sisi suaminya, Sebastian Paredes dan menetap di Hong Kong.

Selepas menikahi Paredes pada 24 Julai 2010, Shanty yang pernah popular di Malaysia dengan lagu duet, Hanya Memuji bersama Marcell nekad meninggalkan dunia yang digelutinya sejak 14 tahun lalu.
Ketika pulang bercuti ke Jakarta, akhir Jun lalu, Shanty, 33, saat ditanya kemungkinan untuk kembali aktif menjadi anak seni, pantas menggelengkan kepala. Akui pemilik nama lengkap, Annissa Nurul Shanty Kusuma Wardhani Heryadie ini, niat itu terpaksa dipendamkan selepas kelahiran anak sulungnya, Arjuna Lucio Paredes, 4 bulan lalu.
“Saya sudah lapan bulan menetap di Hong Kong, justeru harus realistik untuk meneruskan pekerjaan ini. Apatah lagi jika memerlukan saya berulang alik antara Jakarta dan Hong Kong.

“Mungkin saya bebas di sana, tetapi itu tidak bermakna saya cuma duduk memeluk tubuh di rumah. Menguruskan anak itu ternyata jauh lebih berat berbanding menjadi anak seni,” kata Shanty yang berhijrah ke Hong Kong ketika hamil empat bulan.

Bintang Berbagi Suami ini berkata, membesarkan Arjuna menyita sebahagian besar masanya kerana peranan sebagai ibu dijalaninya tanpa henti selama 24 jam. Namun, wanita berkulit hitam manis itu mengakui segala lelahnya hilang tatkala menatap wajah anak tertawa girang dan lincah menyusun gerak.

“Jika dibandingkan penggambaran filem dan menjayakan persembahan bergerak di luar Jakarta, menjadi ibu menuntut kekuatan luar biasa. Ini pekerjaan paling meletihkan pernah saya alami. Selagi waktu berputar, ia tidak akan pernah selesai. Tetapi sebaik menatap wajah dan mendengar suaranya, semua perasaan itu hilang.
“Arjuna itu syurga buat saya dan suami. Senang melihat dia membesar di depan mata, malah kelahirannya melengkapi hidup kami berdua,” kata Shanty mengenai anaknya yang dilahirkan di Hong Kong pada 25 Februari lalu.

Meskipun mikrofon dan pentas tidak lagi menjadi mainannya, namun keghairahan Shanty untuk bernyanyi masih belum pudar.

Sesekali suaranya akan terus berkumandang. Namun itu cuma terbatas sekadar menghiburkan hati anaknya yang menurut Shanty ialah penggemar setia nyanyiannya.

“Dia akan segera memberi tindak balas apabila saya melontarkan suara.
Mungkin saya tidak lagi menyanyi di depan orang ramai tetapi saya masih punya penonton setia. Bila pun saya menyanyi, Arjuna setia mendengar dan itu cukup membahagiakan saya,” kata wanita periang yang mengucapkan selamat tinggal kepada dunia hiburan Indonesia sejak 12 September lalu.

Shanty yang kali terakhir muncul dengan filem komedi, Madame X berkata, dia berfikir panjang sebelum mengambil keputusan untuk meninggalkan industri hiburan. Perkara itu katanya, sering bermain di fikirannya malah akur keputusannya menikahi Paredes akan memberi kesan besar kepada perkembangan kariernya.

“Saya wanita yang memikirkan sesuatu perkara untuk jangka masa panjang. Sejak awal 2010, sebelum menyatakan kesediaan untuk bergelar isteri, perkara itu sudah saya fikirkan semasak-masaknya. Menutup fasa hidup saya sebagai anak seni yang dijalani selama 14 tahun bukan sesuatu yang mudah. Bayangkan awal pagi saja sudah padat pelbagai acara, selepas itu terbang ke sana sini untuk menghiburkan peminat.

“Jelasnya bukan semudah itu untuk saya menutup sesuatu yang pernah sebati dalam hidup ini. Malah, saya mengambil masa untuk mempersiapkan fizikal dan mental supaya benar-benar bersedia meninggalkan lapangan yang saya cintai ini,” katanya.

Pasangan lucu

TATKALA diaju pertanyaan mengenai perkahwinan beza budaya, Shanty menjelaskan, segala yang dijalaninya genap setahun bersama lelaki kelahiran Equador meninggalkan pelbagai momen indah. Akuinya, perbezaan mengeratkan cinta mereka malah ada saja hal yang mengundang tawa yang dilalui bersama lantas menyuntik keserasian kepada pasangan itu.

“Perbezaan budaya juga membuatkan kami saling melengkapi, malah tidak pernah menjadi masalah besar kerana ia memperindahkan suasana rumah tangga kami,” katanya.

Tiga tahun menjalin cinta sebelum melanjutkan keindahan perasaan itu ke alam rumah tangga, Shanty menerima segala kelebihan dan kekurangan suaminya. Bahkan sejak mula menjalin cinta, Shanty sudah belajar menyesuaikan diri untuk menjadi isteri kepada pengurus bank berkenaan.

“Saya ingin belajar bahasa Sepanyol tetapi terlalu susah. Jauh berbeza daripada belajar bahasa Inggeris. Sekarang pun saya cuma boleh sedikit-sedikit berbahasa Sepanyol,” kata Shanty yang pernah menghasilkan empat album.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: