Sunday, July 3, 2011

Seorang Raja dan harmoni bahtera


SULTAN Ahmad Shah bertitah mesra dengan rakyat jelata di bera, pahang.


RABU lalu, saya melalui satu pengalaman yang sangat berharga dalam hidup. Pengalaman yang datang tanpa dirancang, tanpa diundang.

Sementelah berada di daerah Bera, Pahang bagi menyelaraskan program artis sempena Fiesta Bera 2011 minggu depan,

saya turut dipelawa untuk mengikuti rombongan bersama Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah untuk melawat ke beberapa kawasan jajahan baginda di Temerloh, Pahang.

Baginda yang mencemar duli ke Bera sekitar pukul 10 pagi, tiba dengan helikopter yang mendarat di Padang Majlis Daerah Bera sebelum kemudian memilih untuk memandu sendiri dengan pacuan empat roda untuk bertemu dengan rakyat jelata.

Sungguh, saya melihat dengan mata dan kepala sendiri, betapa pada usia awal 80-an, baginda masih segar bugar, menjelajah dari satu kawasan jajahan ke jajahan lainnya dengan penuh gagah.

Kelihatannya, baginda begitu bersemangat dalam menyampaikan mesej-mesej harmonis kepada pacal-pacal rakyat di Pahang dan tetamu lain yang hadir.

Memandu sendiri selama beberapa jam, bertitah ramah dengan rakyat dan mendengar adu nasib mereka, baginda begitu prihatin akan soal harmoni dan perpaduan di kalangan rakyat Pahang khususnya dan seluruh negara Malaysia amnya.

Sepertinya pepatah ‘Raja dan Rakyat Berpisah Tiada’ begitu sebati dalam setiap denyut nafas dan rentak langkah baginda.

Melihat kegigihan dan jiwa besar Sultan Ahmad Shah, tercetus di fikiran saya, kalaulah baginda dalam usianya begitu bersemangat sekali menyampaikan mesej berteraskan harmoni, bagaimana dengan kita?

Pernahkah kita bertanya apakah sumbangan kita dalam sama-sama menyokong kepimpinan negara untuk menghantar mesej tentang perpaduan dan keamanan sejagat?

Justeru, perlukah kita sebagai warga negara yang masih muda belia mengkhianati perpaduan negara yang sedang kita nikmati hari ini?

Selama 36 tahun kehidupan, saya membesar dan menyaksikan tanah tumpah darah ini dengan harmoni yang mendamaikan, tanpa sebarang anarki buruk yang membiak.

Justeru, ada sebab untuk saya turut berasa bimbang dengan pelbagai anasir negatif yang semakin bebas membelenggu golongan muda kita akhir-akhir ini.

Sebahagian orang muda kita menganggap, kalau tidak demonstrasi di jalanan, ‘tidak rock’. Kalau tidak mencipta anarki, bukan darah muda, kononnya.

Realitinya, kita menuntut sesuatu yang membahayakan untuk masa depan sendiri, untuk masa depan anak-anak dan cucu kita.

Wahai orang muda, jangan cepat terperosok dalam dakyah songsang yang disebarkan oleh pihak tidak bertanggung jawab.

Usahlah menjadi ‘kambing hitam’ yang akhirnya memakan diri sendiri, jauhkan diri daripada terlibat dengan hal-hal yang boleh menganggu gugat perpaduan bangsa. Tidak selamat sesebuah negara, maka akan kucar kacirlah kehidupan warganya.

Di kesempatan ini, saya petik sebuah puisi buat pencetus semangat.

Puisi pemenang Hadiah Puisi Kebangsaan Esso-Gapena 1989 ini mengingatkan kita bahawa negara ini adalah segala-galanya. Kita tidak punya lain, selain tanah tumpah darah yang diwarisi daripada generasi lampau. Maka, usah sama sekali dipersia-siakan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: