Tuesday, July 5, 2011

Sasar perolehan RM2 bilion


RAMLY (dari kanan) bersama Jumat dan Chef Liza Zainol pada majlis pelancaran rancangan masakan di Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR – Ramly Food Processing Sdn. Bhd. (Ramly Food Processing) yang terkenal dengan jenama Ramly Burger menyasarkan perolehannya bertambah kepada RM2 bilion menjelang tahun 2012 berbanding RM1 bilion pada tahun ini.

Statistik itu mampu dicapainya ekoran kompleks pengeluaran terbaharunya di Taman Halal Selangor di Pulau Indah mula beroperasi pada tempoh tersebut.

Pengarah Urusannya, Datuk Ramly Mokni berkata, kompleks pengeluaran seluas 8.8 hektar itu menelan kos sebanyak RM250 juta.

“Operasi pengeluaran sedia ada kami di kawasan perindustrian Mukim Batu di sini tidak dapat menampung permintaan pasaran yang semakin bertambah dari semasa ke semasa meskipun kilang kami beroperasi selama 24 jam sehari,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas majlis pelancaran rancangan masakan Enak Bersama Ramly Daripada Chef Liza di sini semalam.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Pengarah Berita Ehwal Semasa RTM, Datuk Jumat Engson.

Menurut Ramly, kapasiti pengeluaran produk hariannya adalah kira-kira 150 tan metrik.

Syarikat yang telah beroperasi selama 30 tahun itu kini mengeluarkan 30 jenis produk dan antaranya ialah burger, nugget, ayam, makanan laut, daging kisar dan juga produk baharunya iaitu burger oblong klasik, burger rasa panggang, bebola sotong, Tasty Chili dan Tasty Black Pepper.

Selain itu, mengulas lanjut, beliau berkata, 30 peratus daripada perolehannya disumbangkan oleh pasaran eksport khususnya dari rantau Asia Tenggara seperti Indonesia, Thailand dan Filipina.

“Melalui kompleks pengeluaran tersebut, kami berharap dapat menembusi pasaran Eropah dan ia dijangka dapat meningkatkan penguasaan pasaran eksport kami kepada 50 peratus dalam tempoh berkenaan.

“Lebih menarik lagi, kami akan dapat memperkenalkan lebih banyak produk terbaharu bagi memenuhi permintaan pasaran,” ujarnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: