Sunday, July 10, 2011

Reformasi hak intelek anak seni


Hari Himpunan Bintang Kosmo!-MyIPO 2011 disertai lebih 500 jemputan, 300 daripadanya terdiri daripada karyawan seni.


POLEMIK mengenai hak dan harta intelek khususnya yang membabitkan penggiat seni Malaysia semakin mendapat pembelaan susulan satu perlindungan undang-undang yang akan diperkemaskan.

Secara rumusannya, Akta Hak Cipta 1987 akan dipinda supaya hak artis lebih terjamin. Pindaan itu akan dibentangkan di Parlimen pada Oktober depan dan dijangka digazetkan pada Jun 2012.

Itu janji Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Hari Himpunan Bintang Kosmo!-MyIPO 2011 di Kuala Lumpur, Selasa lalu.

Biarpun masih samar tetapi pertemuan membabitkan hampir 300 karyawan seni termasuk pelakon, pemuzik, pelawak serta karyawan filem dan drama itu telah menyuntik kesedaran baharu supaya artis bangun mempertahankan hak ke atas karya mereka.

Ia susulan daripada forum bertajuk Pertahankan Hak, Perkukuhkan Seni Melalui Perlindungan Hak Harta Intelek yang menampilkan tiga artis sebagai ahli panel iaitu Amy Search, Diana Danielle, Aizat Amdan dan Ziana Zain.

AIZAT

Bertindak sebagai ahli panel pada forum tersebut, Aizat yang mewakili angkatan anak muda seni berkata perkara pertama yang patut ada dalam minda penggiat seni ialah bagaimana untuk melindungi hak intelek supaya mereka dapat menikmati hasilnya.

“Ramai artis yang serius untuk menceburi industri ini tetapi kurang memahami hak mereka sebaliknya membiarkan pihak ketiga menguruskannya,” ujar Aizat.

Untuk tujuan kesedaran, penyanyi lagu Sungai Lui ini mencadangkan supaya pihak berkenaan menghasilkan risalah mengenai hak intelek artis yang lebih ringkas dan senang difahami.

“Saya percaya forum ini turut membantu menyebarkan kesedaran mengenai kepentingan hak intelek artis.

“Saya juga cadangkan agar satu sistem online tentang syarat-syarat kontrak yang melindungi hak cipta penggiat seni diwujudkan,” kata Aizat lagi.

ANA RAFFALI

Menyokong forum yang membincangkan masalah hak intelek artis, Ana berkata, forum itu wajar diadakan lagi.

“Saya mengesyaki ada yang tidak kena dengan industri hiburan tempatan terutamanya berkaitan ganjaran yang setimpal dengan usaha artis.

“Jadi perlu ada kata sepakat untuk menyelesaikan isu ini,” ujar Ana yang menganggap pihak Perlindungan Hak Cipta Penulis Muzik (MACP) telah menjalankan tugas dengan baik dalam mengutip royalti anak seni dalam bidang muzik.

NABIL

Dalam turun naik ekonomi serta keadaan kewangan pelakon yang tidak menentu, royalti atau hak saraan kepada pelakon mesti dipandang serius.

“Mungkin boleh diwujudkan akta yang menetapkan pelakon menerima sekurang-kurangnya satu peratus bayaran apabila produk lakonannya diulang siar.

“Satu peratus itu boleh dimasukkan ke dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) atau dibayar dalam bentuk lain yang lebih terjamin.

“Setidak-tidaknya pelakon juga ada simpanan untuk hari tua. Janganlah apa yang berlaku kepada Allahyarham Tan Sri P. Ramlee berulang lagi kepada anak seni tempatan yang lain,” tegas Nabil.

Nabil pernah berdepan kes saman membabitkan nilai sebanyak RM2 juta tetapi kemudian ditarik balik oleh syarikat produksi SDAF Picture.

Ia gara-gara Nabil didakwa mengeluarkan kenyataan yang dianggap tidak sesuai dengan promosi filem lakonannya, Lu Fikirlah Sendiri The Movie.

“Semua perkara yang dipersetujui perlu berdasarkan kontrak hitam putih dan bukan cakap mulut sahaja. Kena ada bukti bertulis,” katanya.

AZNAN ALIAS (PEMUZIK)

Buat Aznan yang merupakan pemuzik profesional tempatan, forum yang dihadirinya ini merupakan forum yang terbaik dalam sejarah muzik dan hiburan tempatan. Ujar Aznan, forum ini diadakan pada masa yang tepat.

“Forum perihal hak intelek anak seni tempatan telah pun dilaksanakan dan sudah ramai yang faham mengenainya.

“Sebenarnya sebelum ini ramai yang keliru dengan terma persembahan dan hak individu yang melakukan persembahan iaitu pemuzik, penyanyi latar dan penyanyi.

“Sebab itu golongan ini mendapat bahagian paling sedikit dalam hak mereka,” tegas Aznan.

Aznan sangat berharap agar forum sebegini dilaksanakan lagi.

“Malah bagus kalau diadakan sebulan sekali dengan disertai oleh anak seni serta wakil-wakil jabatan yang bertanggungjawab.

“Ini adalah untuk sebuah reformasi hak intelek artis.

“Penglibatan menteri dalam forum sebegini sangat dihargai dan saya harap khalayak faham bahawa industri muzik datangnya daripada tenaga kerja di sebalik sesebuah karya.

“Mereka perlu dijaga supaya dapat menghasilkan karya tempatan yang berkualiti,” ujar Aznan.

SHARIFAH SHAHIRAH

Pelawak, pelakon dan pengacara popular, Sharifah Shahirah turut menyatakan ketidakpuasannya berhubung soal hak saraan atau royalti yang melibatkan ulang siar drama atau filem di stesen televisyen.

“Tidak seperti komposer yang akan menerima royalti tahunan apabila lagu diputarkan berkali-kali di corong radio, pelakon sebaliknya tidak pernah dapat bayaran tambahan walaupun satu sen.

“Kalau bayaran terhadap lakonan agak mahal, boleh dimaafkan lagi.

“Saya harap pihak persatuan harus lebih prihatin dalam soal berkenaan, jangan tunggu sehingga artis jatuh sakit atau uzur sakit tua barulah hendak datang melawat,” ujar Shahirah.

HARUN SALIM BACHIK

Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Harun Salim Bachik menyokong pindaan berkenaan dan mahu ia diperluaskan kepada golongan pelakon.

“Kita selalu bercerita tentang nasib P. Ramlee.

“Beliau layak menerima royalti yang sepatutnya dan disalurkan kepada warisnya.

“Tetapi apa pula usaha kita untuk mereka yang masih hidup seperti Datuk Sarimah dan Tan Sri Jins Shamsuddin?” katanya mahukan satu pertemuan eksklusif bersama Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) serta pimpinan tertinggi kementerian terbabit berhubung hak pelaku mewakili golongan pelakon pula.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: