ATAS semangat patriotik dan ingin memberi kesedaran buat golongan muda, Nadirasa Budaya (M) Sdn Bhd dengan kerjasama Tentera Darat menerbitkan sebuah drama, Platun Harimau.
Drama yang diadaptasi daripada sebuah novel perang karya Leftenan Kolonel Mohd Radzi Abd Hamid, berdasarkan kisah benar kegigihan perajurit Tentera Darat khususnya Rejimen Askar Melayu Diraja ketika menggempur kubu-kubu kuat pengganas komunis sekitar tahun 1980an.
Menjanjikan kisah perang luar biasa, Platun Harimau membariskan ramai pelakon hebat antaranya Norman Hakim, Safura Ya’cob, Yatt, Zamarul Hisham, Zul Zuhaimi, Watie Elite, Zaidi Omar, Wendy Wong, Rosnah Mat Aris, Zarina Akademi Fantasia dan Afzan Anak Wayang.
Drama 13 episod itu menjalani penggambaran di Kem Tapah, Pusat Latihan Peperangan Khas (kem latihan komando), Markas Taktikal Kem Banding, Markas Taktikal Kem Gubir, Kem Klian Intan, Kem Erskin, Tanah Perkuburan Kuala Woh, Kampung Changkat, Pekan Chenderiang dan kawasan hutan di Perak.
Platun Harimau menemui penonton setiap Khamis, jam 9 malam di TV2, bermula 21 Julai lalu.
Menurut penerbit drama bersiri itu Razali Mohd Yussof, siarannya ini juga dilihat menyumbang kepada menyemarakkan semangat rakyat negara ini menyambut Hari Kemerdekaan yang bakal diraikan 31 Ogos depan.
Selain itu, Razali mengakui, pihaknya bertuah kerana mendapat kerjasama daripada 250 anggota tentera yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam pembikinan drama ini.
“Kita mengambil masa penyelidikan selama dua tahun dan penggambaran selama 40 hari untuk memberi kesedaran kepada generasi muda tentang pahit jerih menentang komunis,” katanya yang ditemui selepas majlis pratonton drama itu di Dewan Bunga Tanjung, Wisma Transit, baru-baru ini.
Tambah Razali, ini drama ini adalah cerita sebenar yang dilalui Tentera Darat yang menerima tentangan hebat pengganas komunis yang dikenali sebagai Black Jacket.
“Kami memaparkan realiti sebenar kesusahan askar Melayu menggadaikan nyawa demi negara tercinta. Malah, pahit jerih yang terpaksa dilalui keluarga apabila ada di antara wira-wira negara ini tumpas di medan perang,” katanya
Sementara itu, Pengarah drama ini, Nurhalim Ismail berkata, pihak produksi Nadirasa Budaya mendapat kerjasama serta sokongan padu dari pihak tentera, namun terpaksa akur kerana sukar mendapatkan peralatan berkaitanketenteraan untuk zaman 1980-an, saperti baju celoreng, jip dan helikopter nuri yang digunakan pada waktu itu.
“ecara keseluruhannya, saya berpuas hati dengan penggambaran drama ini dan berharap penonton dapat membuka minda, melihat pahit jerih yang dilalui anggota tentera dalam mempertahankan keamanan negara,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: