KPJ Healthcare Berhad (KPJ) dengan usaha sama Yayasan Islam Perlis (YIP) akan membangunkan Perlis Specialist Hospital dengan kos keseluruhan mencecah RM47 juta dan dijangka siap sepenuhnya pada Disember 2013.
Pengarah Urusan KPJ, Datin Paduka Siti Sa’diah Sheikh Bakir berkata, kos diperuntukkan itu melibatkan dua fasa bagi melaksanakan pembangunan hospital terbabit.
“Fasa pertama dijangka menelan belanja RM32 juta merangkumi kos pembinaan dan peralatan. Fasa ini menyediakan 60 katil selain menawarkan peralatan diagnostik, 64 pengimbas komputer tomografi (CT Scanner), bilik bedah dan peralatan perubatan terkini lain.
“Manakala fasa kedua akan melengkapkan segala keperluan dan perala-tan pada fasa pertama. Kami akan menambah 30 katil atau lebih berdasarkan permintaan, dengan tambahan kos kira-kira RM10 juta,” katanya pada sidang media ketika majlis menandatangani perjanjian usaha sama antara KPJ dan YIP, di Kuala Lumpur, semalam.
Usaha sama ini turut menyaksikan sumbangan sebanyak 40 peratus dari YIP terhadap pembangunan hospital pakar ini.
Selain itu, YIP akan menyediakan tanah seluas 1.72 hektar di Pengkalan Asam, Mukim Seriab, Kangar, Perlis, sementara KPJ akan menyediakan kepakarannya dalam bidang kesihatan sesuai pengala-mannya selama 30 tahun.
Pembukaan hospital ini dijangka membuka peluang perniagaan dan pekerjaan di mana ia memerlukan 400 pekerja bagi memenuhkan perkhidmatan pakar dan sokongan.
Sementara itu, KPJ memperoleh pe-rolehan lebih RM1 bilion sejak 2007 dengan perolehan RM1.7 bilion untuk tahun lalu. Bagi modal pasaran, KPJ mencapai lebih RM2 bilion, sekali gus meletakkannya antara 100 syarikat yang tersenarai di dalam Bursa Malaysia dengan nilai pasaran bernilai RM2.6 bilion sehingga 30 Jun lalu.
Hadir sama, Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Md Isa Sabu; Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri merangkap Timbalan Pengerusi YIP, Jafperi Othman, dan Pegawai Eksekutif Johor Corporation (JCorp) merangkap Pengerusi KPJ Healthcare Berhad, Kamaruzzaman Abu Kassim.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: