|
|
PENYANYI genit kelahiran program Akademi Fantasia musim kedua ini tidak pernah berdepan cerita panas. Wajah naif dan kadangkala pucat itu sering menghadirkan rasa yang tenang dan terkadang kasihan.
Nurul atau nama berdaftar Nurullah Zawawi, 29, baru-baru ini membikin gempar apabila bernikah di Narathiwat, Thailand.
Lokasi itu sering dipilih oleh pasangan apabila menghadapi masalah di negara sendiri. Narathiwat tidak asing bagi lelaki yang tidak mendapat restu isteri pertama tetapi kes Nurul sedikit berbeza. Dia tidak mendapat restu keluarga.
Muncul dalam satu sidang akhbar pada Rabu lalu di pejabat Global Advisory Consultancy Sdn. Bhd., Nurul dan suami, Mohd. Munzil Muhamad tampil memberi penjelasan tentang gempar yang mereka lakukan.
Mereka memberi penjelasan setelah ada hati yang terluka melihat pasangan ini berkahwin tanpa sebarang pemberitahuan. Lebih tepat lagi pasangan yang berkahwin pada 23 April ini tidak mendapat restu wali pengantin perempuan.
Kontroversi timbul selepas keluarga kandung Nurul di Sarawak memberikan kenyataan bahawa penyanyi berusia 29 tahun itu tidak menjemput mereka ke majlis perkahwinannya termasuklah bapa kandungnya, Zawawi Ali.
Membuka mulut mewakili isteri yang menjadi mangsa fitnah di Internet, Munzil bersuara:
“Saya tahu Nurul anak angkat ketika kami bertunang pada 4 Februari lalu. Sebelum kami bernikah, ada usaha dilakukan bagi menjejaki keluarga kandungnya di Sarawak dengan bantuan Jabatan Agama Islam Sarawak.
“Selepas percubaan itu gagal, saya serta isteri dan kedua-dua ibu bapa saya terbang ke Kuching untuk mencari keluarga Nurul dan ada berjumpa dengan penghulu tempat tinggal keluarganya namun, percubaan itu juga gagal atas sebab-sebab tertentu,” ujar Munzil yang membuat empat laporan polis berhubung laporan berunsur fitnah sebuah portal berita Internet.
Sebagai ketua keluarga, Munzil banyak bersuara menghadapi masalah yang datang menerjah pada awal perkahwinan mereka.
Katanya, mereka mengambil keputusan bernikah di Narathiwat dan menggunakan seorang lelaki Thailand, Wan Husin Wan Ab. Rahman sebagai wali hakim berikutan usaha untuk mendapatkan kerjasama keluarga kandung Nurul gagal.
Nurul dan Munzil tertekan berikutan hari bahagia mereka sudah dekat tetapi isu nikah masih tersimpul.
“Bukan kami tidak berusaha untuk mendapatkan kerjasama mereka tetapi percubaan kami gagal. Saya tidak mahu masalah keluarga diperbesarkan, apa yang penting pernikahan kami telah disahkan oleh Mahkamah Rendah Syariah Hulu Langat,” kata Munzil lagi.
Nurul yang setia mendengar di samping suami yang membuka mulut memberitahu bahawa dia kini bersedia bertemu keluarga sebenar dan amat menghormati mereka sebagai keluarga kandung.
Niatnya ikhlas iaitu mahu menjernihkan suasana yang kelihatan keruh di mata khalayak dan di jiwa keluarganya.
“Saya memang tidak pernah berjumpa dengan mereka dan hanya mengenali wajah kedua-dua ibu bapa kandung ketika disiarkan sebuah saluran gosip televisyen.
“Ini masalah keluarga dan bapa angkat yang banyak mengetahui cerita sebenar pula sudah meninggal dunia,” ujar Nurul yang menafikan dia menukar nama sebenarnya Nurullah Zawawi kepada Nurullah Abdul Hamid dalam setiap urusan rasminya.
“Saya dan suami akan berjumpa mereka kerana mereka tetap keluarga saya,” kata Nurul lagi.
Tidak pernah berdendam dengan keluarga kandung dan tidak menyalahkan mana-mana pihak dalam polemik ini, dia berharap agar tidak timbul sebarang persoalan berhubung status perkahwinannya.
“Apa yang penting sekarang, majlis perkahwinan saya sudah berjalan dengan lancar dan sempurna,” tambah Nurul.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: