Sunday, July 10, 2011

Janji rock Que-Pekin




DI ukur daripada penglihatan yang kasar, daripada jurus yang terpisah-pisah dan lekuk-lekuk perjalanan yang dilalui, dua lelaki berfizikal sederhana atas nama Que Haidar dan Pekin Ibrahim ini ternyata berbeza. Ibarat lahir dari pergunungan berlainan, seorang dari Banjaran Titiwangsa dan seorang lagi dari pergunungan Himalaya, namun kedua-duanya sedang berpaksikan tulang-belulang yang sama.

Mereka hidup dan bernafas, berkampung dan berpeluang mencorakkan karakter bertunjangkan seorang tukang cerita. Si tukang cerita itu ialah Mamat Khalid.

Bawah tukang cerita yang sama, inilah kali pertama Que dan Pekin disatukan dalam sebuah filem. Mungkin terlalu besar untuk diistilahkan sebagai keajaiban, tetapi keputusan Que untuk kembali beraksi di layar filem setelah hampir dua tahun ‘bersara’, ternyata memberi nyawa kepada jenama Rock yang memasuki siri kedua itu.

Pekin ibarat orang mengantuk disorongkan bantal. Perhitungannya mencari kiblat dan kitab sebagai rujukan api seni dalam diri semakin menunjukkan arah.

Ibarat bertemu guru yang tepat bagi memperbetulkan hukum tajwid dalam bacaan surah-surah lazim, pertembungan bersama Que, Mamat Khalid serta nama yang jelas pemburuannya seperti Soffi Jikan dan Khir Rahman membuahkan metamorfosis yang bukan sedikit ke atas Pekin.

Que Haidar menangis

Sudah dilukiskan watak Amy Mat Piah itu milik Que, tanpanya Rock Ooo tidak akan berhasil. Itu kata kunci daripada sutradara prolifik, Mamat Khalid ketika ditanya kebarangkalian khalayak untuk menyaksikan Rock Ooo jika Que masih membatu dengan prinsip untuk berhenti daripada lakonan.

“Saya cuma tidak mahu derhaka kepada skrip. Rock Ooo berkisarkan perjalanan Amy, Rimba Bara dan rock itu sendiri, tentang kasihannya Rimba Bara dan penghujungnya pula menggambarkan industri rock ketika itu,” rumus Mamat saat Sensasi Bintang bertandang ke lokasi penggambaran filem terkininya itu di Ipoh, Perak, Rabu lepas.

Diangkat sebegitu penting oleh sang sutradaranya, Que seperti hilang kata-kata kerana sebenarnya, dia terjebak tanpa sengaja. Misi mengembalikan Que ke gelanggang lakonan bukan dilakukan Mamat seorang, sebaliknya pujian harus diberikan kepada Khir Rahman.

Dia yang bertindak sebagai orang tengah dan entah apa retorik Khir sehingga Que termakan oleh rayuannya.

“Untuk kali pertamanya, Khir telefon saya dan ajak datang untuk lepak-lepak di kafe Istana Budaya. Tanpa tahu apa-apa, saya datang dan sedar, rupa-rupanya itu mesyuarat tentang filem ini.

“Saya jadi gemuruh sampai tangan saya kesejukan. Benda itu berlarutan sehinggalah saya diberikan separuh daripada skrip. Semua ini kerana skrip, kerana naskhah Rock itu sendiri. Skrip yang terlebih dahulu khatam di tangan isteri saya Linda Jasmine.


REKAAN karakter membentuk stail Que dan Pekin saling tak tumpah seperti penyanyi dan gitaris rock zaman 90-an, begitu juga pelakon yang lain.


“Kemudian berjam-jam, Khir dan saya berborak dalam kereta, macam-macam kami bincang,” Que menceritakan rentetan keterbukaannya untuk kembali ke gelanggang filem.

Air muka Que penuh keseronokan. Ghairahnya kepada lakonan kembali. Semua yang memacu keluar dari bibirnya tentang Rock 0oo, tentang pengalaman masuk set seperti budak baharu belajar berlakon, tentang insiden lucu dalam setiap babak penggambaran yang selesai dijayakan.

Mujarab sungguh penangan Rock Ooo sehingga ‘rajuk’ dan kebencian Que terhadap ‘industri’ seakan-akan terubat. Seperti kata Mamat, jiwa Que itu sangat rapuh.

“Hari pertama masuk set, saya berlakon macam kayu, rasa jiwa Que yang dulu telah hilang, saya tak jumpa. Saya takut tengok cara Soffi dan Khir, saya rasa kecil tak sebaris dengan mereka.

“Hari kedua, saya menangis di lokasi. Saya rasa tak boleh berlakon, masa itulah saya hantar mesej mengadu kepada Khir. Saya dah kata saya tak nak berlakon, tapi Khir yang suruh juga,” mengekek-ngekek ketawa Que seiring bercerita.

Masih berbaki sebuah filem yang belum ditayangkan, Misteri Jalan Lima yang akan berada di pawagam tidak lama lagi, Que berkongsi dilema yang pernah menyelubung kecintaannya.

Pekin jumpa ‘kiblat’

“Saya pernah benci dengan lakonan, saya langsung tidak menonton drama atau filem Melayu kecuali filem Hantu Kak Limah Balik Rumah.

“Ini filem ketiga saya bersama Mamat. Bagi saya, Rock Ooo skrip terbaik yang pernah Mamat hasilkan setakat ini. Saya berlakon bukan atas perancangan, tapi kerana skrip, pengarah, pelakon serta team produksi ini.

“Untuk berlakon lagi pada masa akan datang, saya tak pasti dan tak tahu lagi,” kata Que yang diperhatikan Mamat.

Ujar sang sutradara, usahlah rajuk itu dipanjangkan cerita tetapi sebaliknya raikan semula cinta Que kepada lapangan kepakarannya ini.

Nama Pekin tidak pernah lekang daripada bibir seorang Mamat Khalid. Nama yang sering disebut-sebut sebagai anak muda jiwa seni yang bakal membawa sinar dalam lakonan.

Pekin sedar ‘tanggungjawab’ besar itu. Tidak mahu larut lama dengan awalan langkah ke alam seni yang mempunyai suntikan pengaruh glamor, dia kini bertemu mukim yang tepat.

“Jujurnya, saya berjumpa dengan kroni yang tepat. Abang Mamat, Bront, Khir, Soffi dan inilah tajwid saya. Saya jumpa dan saya jatuh cinta,” ujarnya yang mengaku dulu mahu menjadi artis dan kini menamakan profesionnya sebagai pelakon.

“Bukan mudah untuk saya berada dalam kelompok ini. Saya hantar filem pendek sebulan satu kepada Abang Mamat dan minta komen dia.

“Begitu juga dengan Soffi, saya tunggu ajakan ke gudang miliknya dan apabila dia mempelawa, saya bertandang hari-hari,” Pekin bercerita tanpa malu.

Demi bergelar pelakon yang punya isi, dia sempat mengembara ke Yogyakarta, kota seni untuk menggali kedalaman bidang lakonan. Berjuang mencari ilmu di negara orang, Pekin bakal menggenggam Diploma Perfileman dari Institut Seni Indonesia.

Tautan masa berjalan, kini anak muda dengan nama sebenar Mohd. Iznan ini berjalan membawa watak Slash atau nama rasminya Wan Sulaiman dalam naskhah Rock Ooo. Kata Mamat, Pekin tampak seperti Johnny Depp dalam filem ini.

“Slash sedikit advance daripada rockers yang lain. Bergaya dan waktu itu sudah pakai kasut Doc Mart. Dia adalah gitaris Rimba Bara menggantikan tempat yang ditinggalkan oleh Zack, lakonan Hasnol dalam Rock terdahulu,” ujar peminat Daniel Day Lewis ini.

Tampil sebagai cameo dalam filem Hantu Kak Limah Balik Rumah sebelum ini, Pekin merasakan tugas dalam filem kali ini terkandung cabaran.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: