
BULAN Julai barangkali tidak membawa sebarang signifikan buat segelintir individu. Namun bukan untuk pengacara Majalah Tiga, Nurul Syuhada Nurul Ain Mohd Zain. Ini kerana pada bulan inilah status solo wanita berusia 27 tahun itu bertukar kepada status isteri orang.
Pada 16 Julai lalu, si cantik manis dan bijaksana ini telah bernikah dengan Raja Amir Syah Raja Azwa, 29. Sementara pada tanggal 23 Julai pula, dia yang menerima mas kahwin sebanyak RM777 dan wang hantaran sebanyak RM20,111 meraikan cintanya bersama Amir dalam sebuah resepsi yang cukup meriah.
Resepsi yang diadakan di Sime Darby Convention Centre, Petaling Jaya, Selangor itu berkonsep moden tradisional. Dihadiri oleh lebih 1,000 tetamu yang terdiri daripada kaum keluarga, sahabat dan rakan sekerja, pasangan mempelai kelihatan cukup anggun dalam busana perkahwinan berwarna putih rekaan Datuk Radzuan Raziwill.
Berkongsi rasa mengenai cinta yang dipupuk bersama Amir, ujar Nurul, ia berputik sekitar tahun 2009 yang lalu. Perkenalan secara tidak sengaja di sebuah majlis pertunangan sahabat mereka rupa-rupanya telah membuka pintu hati masing-masing untuk menjadi pasangan kekasih.
Tempoh dua tahun mengenali hati budi masing-masing kemudian mahu diakhiri dengan ikatan sah. Bagi Nurul, tiada apa yang perlu ditunggu lagi saat hatinya telah yakin bahawa Amir akan menjadi pelindung dan payung terbaik untuknya berteduh sebagai seorang isteri.
Perbezaan persekitaran dan kerjaya antara mereka, Amir, seorang eksekutif di sebuah bank, manakala Nurul sentiasa sibuk mencari berita menarik untuk disajikan di dalam program Majalah Tiga yang sudah menjadi nadi buatnya bukan penghalang cinta mereka. Perbezaan seperti itulah yang menjadi kekuatan untuk mereka saling tertarik antara satu sama lain.
Lebih daripada itu, hati Nurul terpaut kepada Amir kerana sikap merendah diri dan baik.
"Kami begitu serasi bersama. Dia menyokong kerjaya saya, begitu juga sebaliknya. Alhamdulillah kerana akhirnya kami selamat bersatu," ujar Nurul.

Menurut Amir pula, hatinya begitu tertarik dengan Nurul bukan kerana kejelitaannya atau populariti yang dimiliki wanita tersebut. Sebaliknya yang penting bagi jejaka kacukan Melayu-Australia itu adalah sikap Nurul yang sangat memahami dan bijak.
"Dia mempunyai terlalu banyak keistimewaan di mata saya. Cantik dan bijak, malah dia juga merendah diri dan kami sangat serasi bersama," ujar Amir yang menghantar rombongan merisik dan meminang pujaan hatinya itu pada Januari lalu.
Bercakap tentang perancangan mereka selepas menjadi suami isteri, Nurul memberitahu, mereka akan berbulan madu ke Paris sekitar bulan Oktober nanti.
Katanya yang tidak mengambil cuti panjang dan sudah kembali bekerja, sengaja mereka melambatkan agenda berbulan madu kerana mahu menggunakan bulan Ramadan dan Aidilfitri nanti sebagai bulan mereka berkenalan dengan keluarga masing-masing.
"Kami mahu menggunakan bulan Ramadan dan Aidilfitri nanti sebagai bulan terbaik mengenali kaum keluarga baharu kami selain menumpukan ibadat puasa sebagai suami isteri buat pertama kali. Kemudian pada bulan Oktober nanti baru kami akan pergi berbulan madu ke Paris," ujar Nurul lagi.
Malah dia juga merancang untuk mengadakan sebuah lagi majlis di kampungnya, Rembau, Negeri Sembilan buat sanak-saudara yang tidak dapat hadir meraikan perkahwinan mereka baru-baru ini.
Ditanya tentang perancangan keluarga, Nurul pantas memberitahu: "Kami memang tidak merancang untuk menimang cahaya mata. Kami menerima jika Tuhan memberi rezeki, tidak kira ia bayi lelaki atau perempuan."
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: