Tuesday, July 12, 2011

Naik taraf ILA setanding IPT


ABU Bakar Abdullah (kanan) melihat buku Pelan Strategik Intan sambil diperhatikan Aminuddin Hassim di Intan Bukit Kiara, Kuala Lumpur, semalam.


KUALA LUMPUR 11 Julai - Jabatan Perkhidmatan Awam bercadang menaikkan taraf institusi latihan awam (ILA) kepada institusi pengajian tinggi (IPT) bagi memberi peluang penjawat awam meneruskan pengajian dan meningkatkan kualiti perkhidmatan mereka.

Ketua Pengarahnya, Tan Sri Abu Bakar Abdullah bagaimanapun berkata, sebelum cadangan itu direalisasikan, beberapa penstrukturan semula ILA akan dilakukan bagi mewujudkan sebuah pentadbiran kewangan yang cekap dan berkesan supaya kursus di peringkat sarjana dan doktor falsafah (PhD) juga dapat ditawarkan di institusi tersebut.

"Bilangan ILA sangat banyak iaitu 364 buah di seluruh negara menyebabkan pelbagai masalah pada pihak kami dan institusi itu sendiri.

"Justeru, sudah tiba masanya ia dikurangkan dan kluster-kluster bersesuaian disusun serta ditempatkan pada kedudukan yang lebih strategik," katanya kepada pemberita pada majlis Wacana Eksklusif Institut Tadbiran Awam Negara (Intan) di Bukit Kiara di sini, hari ini.

Turut hadir Pengarah Intan, Dr. Aminuddin Hassim.

Misalnya, jelas Abu Bakar, sekiranya kumpulan penjawat awam itu berada di Sabah atau Sarawak, mereka tidak perlu datang ke Semenanjung semata-mata untuk berkursus, sebaliknya tenaga pengajar akan pergi ke negeri tersebut.

"Ini akan menjimatkan kos pengangkutan serta meningkatkan keberkesanan modul latihan tersebut," ujarnya.

Kata beliau, penyusunan modul latihan turut akan dilakukan supaya ia memberi kesan kepada golongan itu kerana sebelum ini terdapat banyak rungutan mengatakan modul yang dijalankan institusi tersebut membosankan dan tidak berkesan.

Tambah Abu Bakar, tenaga pengajar sebagai pendukung agenda transformasi golongan itu turut akan menggunakan teknik pengajaran yang lebih kreatif serta mewujudkan suasana pembelajaran yang kondusif.

"Ini adalah hala tujunya, cadangan tersebut dapat direalisasikan melalui penjimatan dan keberkesanan operasi yang mampu menjana dana yang cukup tanpa perlu peruntukan yang lebih daripada kerajaan," kata beliau.

Sebelum itu, pada ucapannya, Abu Bakar menyeru semua pengurusan institusi tersebut supaya memikirkan pendekatan terbaik bagi mengekalkan jaringan kerjasama antara satu sama lain serta meningkatkan budaya kerja perkhidmatan awam sejajar kemahuan rakyat.

"Peranan ILA sebagai jentera perubahan dalam bidang latihan dan pelaksanaan Program Transformasi Kerajaan (GTP) memerlukan perancangan dan perlaksanaan cekap oleh institusi itu demi menjayakan agenda yang dirancang kerajaan," jelasnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: