|
|
KEHIJAUAN taman hutan seluas hampir 486 hektar itu pasti meninggalkan kesan mendalam kepada pengunjung pertama kali terutama golongan pekerja yang sering terperangkap dengan kesibukan ibu kota.
Ia mudah dilawati lantaran kedudukannya yang cukup hampir dengan ibu kota malah terletak di antara dua laluan utama Kuala Lumpur utara iaitu Jalan Ipoh dan laluan Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2).
Kawasan bekas lombong itu berubah menjadi pusat penyelidikan perhutanan sejak tahun 1929 dan kini merupakan antara santuari tumbuhan hidup tertua dan terpenting dunia.
Ketua Pengarah FRIM, Datuk Dr Abdul Latif Mohmod berkata, FRIM kini memiliki sekitar 15 juta batang pokok daripada 2,500 spesies yang berlainan dan melindungi kira-kira 100 spesies tumbuhan terancam.
Koleksi jutaan batang pokok itu disimpan dalam bentuk pokok hidup atau Arboretum yang menjadi ciri utama membentuk suasana damai FRIM, yang berperanan untuk kajian sains, pemeliharaan sumber genetik serta pameran.
Institut itu mempunyai enam arboreta yang berbeza bergantung kepada kumpulan pokok termasuk Dipterokarp yang ditanam sejak 1939.
Arboreta paling awal ialah non-dipterokarp yang ditanam sejak 1929, manakala arborata yang lain ialah Koniferatum (1949), arboreta buah-buahan (1979), arboreta Monokot (1981) dan Bambusetum (1994).
Sesuai dengan status destinasi pelancongan dan pendidikan alam utama negara, taman hutan dan air terjun FRIM sering menjadi lokasi pilihan aktiviti riadah seperti joging dan berbasikal malah hari keluarga dan kem sekolah.
Malahan FRIM juga amat popular sebagai lokasi pilihan sesi fotografi pasangan bakal berkahwin.
Lain-lain kemudahan termasuk muzium dan galeri, pusat pendidikan alam, tapak perkhemahan dengan kemudahan lengkap dan cawangan restoran 'Tu Dia Pak Tam' yang sangat popular di Selayang.
Pada awal 2008, satu laluan unik sepanjang 400 meter bertemakan Kekayaan Diversiti Tumbuhan Paras Bawah Malaysia (Rich diversity of Malaysian under-storey plants) telah dilancarkan di kawasan Taman Botani Kepong FRIM. Menariknya laluan yang dinamakan Denai Razak itu adalah satu-satunya denai pendidikan alam mesra OKU di Malaysia.
Koleksi unik itu menempatkan sekitar 9,200 tumbuhan renek dan herba tempatan seperti halia, buluh, orkid dan sebagainya yang dikutip dari habitat asal dan ditanam secara sistematik untuk konservasi ex-situ.
Laluan Denai Alam Salleh yang lebih kecil pula menonjolkan sejarah FRIM serta membolehkan pelawat membezakan hutan ladang daripada hutan semula jadi.
Denai Engkabang pula ialah tanah lembab yang diliputi lalang, belukar dan hutan sekunder.
Kawasan ini mempunyai kepelbagaian spesies fauna yang tinggi terutama burung ekoran dikelilingi hutan ladang dan arboreta buah-buahan menjadikannya popular dalam kalangan pemerhati burung.
Jika anda gemar bangun pagi seawal subuh untuk bersenam, Trek Rover yang menawarkan trek larian kira-kira 3.5 kilometer pasti sangat sesuai untuk anda.
Pelari yang bermula dari Masjid Jamek FRIM akan melintasi kawasan air terjun, tapak perkelahan Sungai Kroh, merentasi titian kanopi setinggi 30 meter dan berakhir di tapak perkhemahan Kem Perah.
Denai Sebasah bukan sahaja menonjolkan cara adaptasi unik pelbagai spesies tumbuhan terhadap keadaan basah, malah menampilkan beberapa ekosistem terkaya negara dan popular dengan kehadiran burung migrasi.
Pelawat FRIM masih berpeluang menyaksikan keunikan gaya senibina yang sama. Meskipun tidak sebesar Rumah Pak Ali yang dibina dengan 40 tiang, Rumah Terengganu FRIM dibina sepenuhnya dengan kayu cengal tanpa menggunakan paku.
Bertemakan 'Hutan Untuk Anda' sekitar 400 orang menyertai pelbagai aktiviti menarik seperti Larian Eco Fun, pertandingan mewarna, teroka denai berjuru pandu, sesi bercerita dan jualan but kereta.
Empat hari sebelum itu, FRIM selaku pengerusi Jawatankuasa Teknikal Mengenai R&D (JTRD), program Penanaman Bakau dan Spesies yang Sesuai di Pesisiran Pantai Negara, menjadi tuan rumah seminar kebangsaan Projek Penyelidikan Bagi Hutan Pesisiran Pantai di Malaysia, di Kepong.
Lokasi R&D FRIM yang lain termasuk Stesen Penyelidikan Pasoh di Negeri Sembilan yang memberi tumpuan kepada aspek peranan hutan untuk mitigasi perubahan cuaca serta aspek pendidikan awam yang berkaitan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: