Monday, July 11, 2011

Keajaiban alam sekitar FRIM


Penolong Penyelidik Komposit Kayu FRIM, Jalali Salleh memberi penerangan mengenai kegunaan pokok mahang merah kepada sebahagian murid-murid Tadika Alimm Kids, Selayang yang turut serta dalam acara Nature Walk pada Sambutan Hari Alam Sekitar Sedunia Peringkat FRIM 2011, di Kepong baru-baru ini.


MELALUI kawasan Kepong tidak lengkap rasanya jika tidak singgah ke hutan yang terdapat di situ dan menikmati keindahan alam semula jadinya.

Kita mungkin teringat dengan Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), yang terletak di kawasan Kepong, sebagai jantung alam sekitar Lembah Klang

Sempena sambutan Hari Alam Sekitar Sedunia 11 Jun lalu, FRIM menganjurkan aktiviti meneroka denai paling popular di institut tersebut - Denai Keruing.

Bersama juru pandu alam semula jadi terlatih, Farhad, hentian pertama kumpulan yang menyertai aktiviti ini ialah sungai kecil yang menjadi tempat tinggal tiga ekor Arapaima gigas.

Dikatakan, ikan itu agak kecil iaitu sekitar dua meter dan lebih jinak berbanding saudaranya di habitat asal di Amerika Selatan.

Menurut Farhad, arapaima liar di Sungai Amazon lebih ganas malah boleh melompat tinggi sehingga lima kaki untuk menangkap monyet dan burung sebagai makanan.

Di FRIM, kecantikan ekor karnivor itu yang hitam berkilat dengan bintik-bintik oren terang boleh dilihat jelas. Justeru tidak hairanlah ikan yang gagah itu disangkakan sebagai naga hingga mewujudkan kisah tempatan Legenda Naga Tasik Chini.

Bagi masyarakat Orang Asli tempatan, lidah ikan air tawar terbesar dunia itu digunakan sebagai pengasah pisau kerana ia sangat keras dan kasar.

''Ikan ini tidak boleh membiak di sini, kerana sungai ini tidak mempunyai pasir," katanya sambil menjelaskan bahawa kehadiran spesies luar boleh menyebabkan spesies tempatan atau endemik diancam risiko kepupusan.

Kira-kira 10 meter dari lokasi ikan itu, pelawat tiba di pintu masuk denai dan diperkenalkan dengan dua rimbunan pokok yang sangat besar dan mempunyai sejarah tersendiri iaitu pokok ara dan pokok buluh gergasi.

Buluh gergasi itu asalnya ditanam pada 1927, dengan tujuan menggunakan ruas-ruas buluh sebagai tabung semaian anak pokok. Ini adalah sebelum kewujudan tabung beg politena hitam.

Menariknya, rumpun buluh itu berjaya membesar dengan subur hingga panjangnya mencecah 25 meter dengan lebar garis pusat 16.8 sentimeter (sm).

Tetapi spesies yang sama di daerah Peradiniya, Sri Lanka, boleh tumbuh sehingga ketinggian 36 meter dengan garis pusat sebatang buluh menjangkau 25 sm.

Malah, rumpunnya juga sangat besar mempunyai antara 300 hingga 400 batang.

Buluh gergasi itu juga boleh berbunga, walaupun mengambil selang waktu yang sangat panjang, biasanya di antara 50 hingga 120 tahun.

Rumpun istimewa di FRIM pernah berbunga pada tahun 1951 dan berbunga semula sekitar tahun 1988 dan 1995.

Denai itu juga mempunyai 'pokok kulim' dan pokok simpoh gajah. Pokok kulim misalnya mempunyai daun yang berbau seakan-akan bawang putih dan pucuknya enak dimakan sebagai ulam.

Meskipun pokok kayu itu kurang berpotensi untuk dikomersialkan sebagai balak, buahnya masih digunakan dalam masakan tradisional, terutama oleh masyarakat pribumi yang menggunakannya sebagai bahan tumis.

Pokok simpoh gajah yang ditemui bersebelahan mempunyai posisi akar jangkang yang benar-benar kelihatan seperti gajah!

Kehadiran akar jangkang menunjukkan spesies itu berasal daripada keluarga bakau Rhizophora, dengan ciri utama batang yang sedikit berongga menjadikannya amat sesuai digunakan sebagai kayu arang atau rakit.

Kurang 10 minit menyusuri Denai Keruing, langkah kaki terhenti sebentar ekoran terpesona dengan pemandangan hutan menakjubkan di lembah bukit yang sedikit terbuka.

Panorama The View itu juga dikenali sebagai Avatar View kerana ia kelihatan seperti latar belakang filem grafik Avatar tetapi lebih cantik, hidup dengan warna terang dan semula jadi.

Hakikatnya, ia sebenarnya sebahagian daripada kelompok pokok spesies tertentu yang ditanam sejak tahun 1929 lagi. Kelompok yang membentuk The Avatar View ialah pokok kapur.

Kira-kira 10 langkah dari lokasi tontonan tersebut, Farhad menunjukkan dua batang pokok besar yang terkenal dengan nilai ekonomi iaitu merbau dan karas.

Merbau yang merupakan balak kayu keras sukar didapati kerana pertumbuhannya yang terlalu perlahan, menyebabkan kayunya sangat keras, kukuh dan mahal sehingga mencecah harga RM900 sekilogram.

Karas pula menghasilkan resin gaharu yang sangat penting di dalam dunia kecantikan yang mana resin paling berkualiti bergantung kepada kepekatan boleh mencecah harga RM100,000 sekilogram.

Mendapatkan resin gaharu bagaimanapun tidak mudah, sekiranya tersalah cara, kualiti resin yang terhasil akan merosot.

Di laluan Denai Keruing juga, pelawat diperkenalkan dengan pokok akar beluru atau Liana sp., tumbuhan bercirikan simpulan batang seakan-akan skulptur dalam landskap semula jadi.

Menariknya, akar ini sangat berguna untuk mereka yang sesat dalam hutan. Seperti di dalam filem-filem aksi hutan ala-Rambo, terdapat spesies tertentu pokok liana yang mengandungi air.

Farhad menjelaskan bahawa sebahagian daripada spesies pokok itu sebenarnya mempunyai air yang beracun.

"Jangan minum air yang tidak cukup jernih atau pun uji terlebih dahulu dengan menyapu sedikit di bibir dan hanya minum jika ia tidak menyebabkan kegatalan atau alahan," tegasnya.

Secara tradisi, kulit batang liana digunakan sebagai syampu dan masih digunakan oleh masyarakat Orang Asli kini.

Selepas meninggalkan juntaian pokok Liana, kami berjalan lagi menyusuri denai sambil menikmati keindahan hutan matang dengan nyanyian cengkerik, riang-riang, burung serta katak.

Ketika melalui lereng bukit yang agak sempit, Farhad menghentikan kami di sebatang pokok besar yang mempunyai banyak cecair kental putih iaitu pokok jelutong.

Aliran cecair itu ialah getah jelutong yang terhasil apabila batangnya dilukakan. Menariknya, ia telah lama digunakan oleh masyarakat Orang Asli sebagai gula-gula getah (chewing gum).

Sedang leka mencungkil dan merasa getah jelutong, beliau memanggil kami untuk melihat beberapa helaian dedaun kering di atas tanah, sambil mencangkung untuk mencari daun-daun kering yang serupa dan menderaikannya dengan tangan.

Nyata daun kering itu menghasilkan bau yang segar dan kuat.

Ketika menerangkan ciri fizikal pokok itu, iaitu kulit kelihatan mengelupas bak pokok 'eucaliptus' dan batang yang lurus menegak tanpa cabang bak payung, barulah kami menyedari bahawa inilah titik FRIM Wow Spot' yang terkenal serata dunia.

Di titik ini, sesiapa yang mendongak ke atas pasti akan teruja keseronokan ekoran terpegun dengan keindahan kanopi yang mana pucuk dedaunan dari sebatang pokok tidak menyentuh pucuk pokok yang lain.

Justeru, pengunjung dapat melihat bentuk langit seakan-akan rekahan tanah liat yang kering ataupun sayur brokoli.

Terdapat banyak teori yang cuba menjelaskan fenomena itu, termasuk, sejenis gas yang terhasil apabila dedaunan itu bersentuhan ketika angin kencang akan membunuh pucuk jirannya.

Apapun, fenomena itu hanya berlaku di hutan matang terancang seperti di FRIM, iaitu yang hutan mana pokoknya ditanam dengan syarat spesies yang ditanam mesti sama, pada waktu yang sama dan jarak yang seragam.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: