Monday, July 25, 2011

Lubang 100 meter ancam murid

 Faudzi  meninjau  lubang yang ditimbus secara tidak sempurna  di depan Sekolah Kebangsaan Kedai Tanjung.
Faudzi meninjau lubang yang ditimbus secara tidak sempurna di depan Sekolah Kebangsaan Kedai Tanjung.
Kontraktor tidak turap kawasan selenggara depan SK Kedai Tanjung

PASIR MAS: Tindakan kontraktor membiarkan lubang sepanjang kira-kira 100 meter di hadapan Sekolah Kebangsaan Kedai Tanjung, di sini tidak berturap selepas melakukan kerja penyelenggaraan boleh mengundang bahaya kepada 890 murid sekolah itu.

Lubang berkenaan yang dibiarkan sejak tiga minggu lalu menyebabkan ibu bapa berasa bimbang keselamatan anak mereka kerana khuatir sesuatu yang tidak diingini berlaku.
Lebih memburukkan keadaan apabila terdapat kes ibu bapa yang menunggang motosikal terbalik selepas termasuk dalam lubang itu, manakala tayar sebuah kereta pecah.
Faudzi Mahamood, 49, berkata kontraktor perlu menimbus kembali lubang dan meratakan jalan untuk memastikan keselamatan pengguna jalan raya.

“Langkah ini perlu dilakukan segera bagi mengelak kemalangan membabitkan murid sekolah dan orang ramai,” katanya.

Peniaga, Syukri Mustafa, 31, yang berniaga bersebelahan sekolah itu berkata kontraktor berjanji akan menimbus kembali lubang digali sebaik saja kerja penanaman kabel itu selesai.

“Pada mulanya, saya kurang bersetuju untuk membenarkan mereka menggali lubang di hadapan gerai saya, tetapi akhirnya membenarkannya kerana mereka berjanji tidak akan membiarkan keadaan seperti ini,” katanya.
Sehubungan itu, beliau mengharapkan pihak berkenaan dapat menyelesaikan permasalahan ini dengan segera bagi mengelakkan kejadian lebih buruk berlaku.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: