KEPELBAGAIAN...pelbagai fesyen boleh digayakan warga kampus namun biarlah tidak melanggar etika berpakaian ditetapkan.
SOPAN...bukankah manis jika mahasiswa IPT bergaya begini?
MUNGKIN sebahagian besar daripada kita pernah mendengar kata-kata seperti ‘Eh! Rambut dia macam jambul ayamlah’ atau ‘Apalah fesyen budak-budak sekarang ini, mengarut sungguh.’
Suka atau tidak, itulah antara kemungkinan cakap belakang dilontarkan masyarakat yang pening melihat fesyen yang digilai golongan remaja masa kini termasuk warga institusi pengajian tinggi (IPT).
Ketaksuban terhadap fesyen lebih berani, sofistikated dan futuristik menjadikannya seolah-olah satu revolusi baru dalam cetusan emosi serta ekspresi individu.
Meskipun tidak salah, namun tetap mengundang persoalan apakah ia sesuai dengan kehendak budaya dan norma masyarakat atau menjadikan individu terbabit sebagai mangsa fesyen?
Bagi warga IPT pula, tidakkah berbuat demikian melanggar peraturan institusi atau sebenarnya mereka sekadar memenuhi tuntutan peribadi semata-mata?Ketua Program Fesyen, Fakulti Seni Reka Fesyen Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam, Anas Musavir, berkata fesyen adalah subjektif dan tertakluk kepada individu mentafsirkannya mengikut definisi masing-masing.
Melarang, mengecam atau menghentam aliran perubahan fesyen tidak boleh menghentikannya daripada terus berkembang kerana ia sebahagian proses kehidupan.
“Fesyen sentiasa hidup kerana masyarakat sendiri yang menjadikannya satu kemestian selain penggerak kepada satu budaya baru secara global.
“Mengkritik, berpandangan serong dan sebagainya tidak menjejaskan aliran atau perkembangannya kerana selagi ada permintaan dan pengaruh, fesyen terus subur.
“Sebenarnya tidak salah jika ingin menggayakan sebarang fesyen namun masalahnya apabila gagal disesuaikan me–ngikut keadaan tertentu pastinya mewujudkan pelbagai persepsi,” katanya.
Apatah lagi jika fesyen pelik dan ‘berwarna-warni’ digayakan di kampus yang menggariskan peraturan tertentu mengenai etika berpakaian, secara tidak langsung mengundang pertikaian.
Beliau berkata, individu berhak menggayakan fesyen disukai namun pada masa sama perlu pandai belajar menghormati, menilai persekitaran serta bertanggungjawab menjaga keselesaan orang lain.
Sebagai pelajar di institusi, katanya, mereka tidak seharusnya menggunakan alasan hak dan keinginan untuk ‘menghalalkan’ sebarang fesyen diingini.
“Sesiapa saja boleh bergaya namun janganlah menggunakan alasan ini untuk melanggar peraturan kerana institusi masih lagi tertakluk dengan etika berpakaian.
“Perlu ingat, di situ bukan tempat untuk menonjolkan ‘siapa hebat, siapa bergaya’ namun tempat untuk menimba ilmu, tidak sesuai sekiranya fesyen berlebihan.
“Lebih elok jika bersederhana kerana bukan saja mengundang keselesaan orang lain, malah mencerminkan diri sebagai individu intelektual dan lebih dihormati,” katanya mengakui tidak ramai pelajar institusi menjadi mangsa fesyen namun ada yang berani berlebihan atas alasan tertentu.
“Mereka ini boleh dikategorikan sebagai kelompok taksub atau tegar fesyen kerana berani kelihatan berbeza daripada rakan lain.
“Ada juga beranggapan, dengan berbuat demikian boleh mencetuskan keyakinan serta kepuasan diri biarpun janggal pada penglihatan orang lain.
“Pelbagai alasan boleh diberikan namun yang penting, jangan keterlaluan kerana masanya tidak sesuai selain boleh mencetuskan implikasi buruk kepada institusi juga warga kampus lain,” katanya.
Mengulas adakah pelajar yang berfesyen ‘sakit mata memandang’ boleh dianggap sebagai ‘pelajar bermasalah’, beliau menafikannya kerana ada kalanya mereka bijak.
“Cuma mereka kelihatan berbeza akibat fesyen yang dipakai, mungkin selekeh dan selamba tapi sebenarnya bijak. Hakikatnya mereka sama seperti kebanyakan pelajar lain.
“Menjatuhkan hukuman dengan sekilas pandang bukan saja tidak adil, bahkan mewujudkan persepsi buruk. Bagaimanapun tidak juga boleh menyalahkan masyarakat kerana mereka bersuara hasil pemerhatian,” katanya.
Gaya golongan muda, akuinya, banyak dicorakkan dengan perkembangan fesyen digayakan oleh pencetus budaya seperti artis dan model.
Menurutnya, mudah bagi golongan muda menjadikan mereka sebagai ikon dan beranggapan penggayaan itu sebagai ‘pembaharuan terkini’ yang jika ditolak menunjukkan ketinggalan zaman.
“Kebanyakannya berfesyen kerana mudah terikut-ikut dan terpengaruh dengan ikon padahal mereka tidak tahu secara mendalam perkembangan fesyen sedia ada.
“Ini bukan satu kesalahan namun perlu pengawalan dan pemantauan supaya golongan ini tidak menjadi mangsa fesyen seterusnya boleh menggugat kehidupan normal.
“Bagaimanapun, secara asasnya, apabila mereka sudah melepasi tahap tertentu, ikutan terhadap fesyen juga akan berubah namun sebelum sampai tahap itu, lakukanlah pengawasan.
“Bagi pelajar institusi, tekankan bahawa tanpa berfesyen canggih pun mereka pasti boleh menjalani hidup. Bukankah itu lebih baik daripada disisih atau dipandang serong hanya kerana mahu bergaya tidak seperti orang lain,” katanya.
Pelajar Management & Science University (MSU), �Mohd Khuzair Hayat Abd Kharar, 18, berkata dia berfesyen kerana mengikut keinginan hati dan keselesaan diri.
Menurutnya, dia juga tidak kisah apabila ada rakan memandang dan menganggapnya perkara normal.
“Saya memang suka berfesyen dan menganggapnya sebagai hak individu. Apa yang saya gayakan ini untuk kepuasan diri.
“Biarpun ada yang memandang, tapi saya anggap itu perkara biasa dan tidak mendatangkan masalah besar bergaul bersama rakan-rakan lain. Sebagai remaja, sudah tentu saya sukakan sesuatu yang baru,” katanya.
Rakannya, Nursheela Yahaya, 23, berkata dia suka bergaya asalkan tidak melanggar peraturan institusi.
“Saya selesa begini kerana boleh membangkitkan keyakinan diri. Bagaimanapun saya pastikan ia tidak melanggar peraturan ditetapkan kerana pada masa sama bertanggungjawab menjaga maruah institusi,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: