Lagu-lagu seperti Tiada Lagi Aku, Tercipta Kasihku dan Pertama dan Terakhir merupakan antara lagu popular kumpulan Rusty Blade. Menyebut nama kumpulan, pasti ada yang menganggap mereka ini terlalu ganas ketika beraksi di pentas.
Bukan hanya nama, malah muzik mereka juga sememangnya agak keras. Mempertaruhkan irama 'heavy metal', Rusty Blade telah membawa dimensi baru dalam persada muzik tempatan.
Ditubuhkan pada 1980, semua lima anggota Rusty blade berasal dari Kota Singa. Diketuai oleh Khalid Mobin (gitar utama), Izad (gitar utama), Razak(Bass), Azizan Abu Bakar (Drum) dan J.Yantzen (vokalis).
Mereka juga dikenali dengan gelaran Iron Maiden Singapura apabila zaman kegemilangan mereka sama seperti gemilangnya Iron Maiden ketika itu. Kewujudan mereka memberi impak terhadap persada muzik tempatan. Kehadiran mereka menyemarakkan lagi semangat pencinta muzik rock ketika itu. Album pertama mereka berjudul 786 Ikrar perwira telah meledak di pasaran muzik tempatan.
Uniknya mereka ini, bukan hanya pada nama tetapi mesej yang mereka sampaikan menerusi lagu-lagu mereka. Lebih gemarkan kepada perjuangan khalifah serta mereka yang berjuang sebelum ini, dimasukkan ke dalam setiap lirik lagu mereka.
Pertemuan dengan dua anggota kumpulan ini iaitu Khalid Mobin dan Md Noor Henrick mengimbau kenangan mereka dalam arena muzik pada era 80an.
Khalid Mobin yang merupakan ahli dari awal hingga kini menceritakan detik nama mereka diperolehi.
“Sebenarnya, kami memilih nama ini kerana ia sangat bersesuaian dengan imej kami.
“Kami memang suka kepada muzik yang agak keras. Rusty Blade adalah nama yang kami bincangkan bersama dan setuju dengan nama ini.
“Ia agak simbolik dan berharap nama ini menjadi kenangan buat kami semua,” katanya.
Katanya lagi, ternyata percubaan mereka ke Malaysia tidak sia-sia apabila peminat di sini, boleh menerima diri dan muzik mereka.
“Segala muzik, lagu dan lirik adalah hasil nukilan kami sendiri. Ia menggambarkan perjuangan kami orang terdahulu daripada kami.
“Jadi, lagu-lagu seperti Jasa Tok Janggut, Taming Sari dan Ikrar Perwira adalah simbolik kepada niat kami,” katanya lagi.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: