Sunday, July 24, 2011

Fathia tolak provokasi


MAHU tinggalkan karakter wanita bertudung. Itu antara misi Fathia jika mahu terus muncul menghiasi kaca televisyen mahupun filem.


SEBABAK demi sebabak bertukar sifat, suara-suara berjelaga hitam yang bercerita tentang keperibadian yang bukan-bukan tentang dirinya tidak mampu disekat. Secara harfiah, dia sedar perkara itu semakin menjadi santapan harian. Jika tiada pilihan mengalihkan untuk perhatian, pastinya dia harus menggandakan benteng di jiwa, biar kebal dan nista yang menerjah segera pantul keluar.

"Nasib baik saya masih belajar, setidak-tidaknya, saya ada pilihan untuk mengenepikan semua ini apabila tamat cuti semester pada September ini," ada nada keluhan bersimpul dalam mukadimah bicaranya. Nur Fathia Abdul Latif menghitung-hitung semula butiran peribadinya yang semakin diperkatakan. Kisah dari belakang tabir, datang lambat ke lokasi penggambaran serta adegan membaling telefon bimbit kepada sang sutradara antara faktor penolak yang meletakkan namanya dalam carta kontroversi. Ketika segala-galanya sudah bertemu penjelasan, wanita kelahiran Pulau Mutiara itu disogokkan pula dengan isu bersara.

Nah, sekali lagi perasaan kurang senang terbangkit di hati banyak pihak. Masakan pada usia semuda 24 tahun, si dramatis yang baru lekat dalam beberapa drama di kaca televisyen itu sudah pantas berundur? Ada juga sedang membuat andaian, isu bersara itu kononnya sekadar menggugah perhatian murahan. "Itu tandanya apa sahaja yang ditulis oleh akhbar sangat memberi impak kepada orang ramai. Orang akan betul-betul termakan walaupun belum pasti perkara itu betul. Kalau begitulah anggapan orang, sedihnya saya. Sudahlah saya ini baru berlakon. "Nanti apa pula kata orang, tak laratlah, apa sahajalah. Terfikir juga, bagaimanalah artis senior yang lebih hebat berdepan kontroversi menangani soal sebegitu. Nampaknya, apa yang berlaku kepada saya ini sekadar permulaan. Lepas ini saya kena biasa-biasakan diri," kata Fathia yang banyak terkena limpahan publisiti semenjak drama bersiri Stanza Cinta menjadi ikutan.

Nafi mahu bersara

Jadi wujudkah istilah bersara dalam nota harian Fathia? Tebak penulis meneka hatinya. "Tak wujudlah. Saya tak cakap pasal bersara tetapi saya ada bercerita untuk bercuti seminggu dua. Alasannya, sebab saya rasa sangat penat sepanjang dua bulan di lokasi penggambaran Stanza Cinta. Sudahlah kisah air mata, watak yang agak berat, saya pula tak ada masa untuk keluarga, pergi bercuti dan keluar dengan kawan-kawan. Saya anggap itu sekadar salah faham," getusnya sambil memikirkan impak negatif yang sedang dimamah. Tambah Fathia: "Cuma sekarang, terasa macamlah negatif sangat perangai saya ini, macam bermasalah sangatlah saya ini. Lepas satu, datang lagi satu hal lain. Walhal, masa saya berlakon drama lain, tak ada pula cerita sebegini. Mungkin silap saya juga, sebab awal-awal lagi saya sudah tanamkan dalam fikiran, bahawa kerja lakonan hanyalah kerja sambilan sebab saya masih belajar. Dulu saya seronok, tiba-tiba begini pula jadinya." Tidak menyalahkan keadaan kerana bukan senang untuk memuaskan hati semua pihak, Fathia juga tidak mahu semua itu mengekang dirinya untuk bertingkah seperti biasa. Lebih jauh lagi, walaupun kerja lakonan yang dilakukan ketika cuti semester, dia kembali menginginkan tawaran filem.

Lihat direktori lakonannya, Fathia pernah muncul dalam drama bersiri Nur Kasih, Dea Sofea, Laila Asyikin, Hani, Hotel Hasanah dan termasuklah Stanza Cinta. Satu sahaja persamaan, semuanya menuntut pelajar jurusan undang-undang Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam itu tampil bertudung. "Sekarang saya teringin untuk buat filem. Bukan bosan dengan drama, tapi mahukan watak yang lebih dinamik, lebih agresif dan kalau boleh nak lari daripada watak bertudung," kata yang bimbang 'tersangkut' dalam karakter bertudung untuk tempoh yang lama. Tidak mahu khalayak salah faham, sekali lagi dia bertegas, karakter bertudung hanyalah dalam lakonan. Dalam kehidupan sehari-harian, dia juga seperti selebriti yang lain.

"Watak wanita muslimah pun bagus, mencerminkan keperibadian yang tinggi dan saya sedang membuktikan saya boleh melakonkan watak sebegitu. Cuma ada pro dan kontra. Apa yang tidak bagusnya, saya takut orang nampak stereotaip dan hanya watak sebegitu yang ditawarkan kepada saya sedangkan saya juga boleh memainkan watak berlainan," tuntut Fathia yang bakal muncul dengan filem sulungnya Hijab, pada Oktober nanti.

Merenung ke matanya, anak sulung daripada empat beradik itu tidak kekok untuk berterus-terang. Pintanya, usah bertapis jika ada persoalan yang mahu diutarakan. Air mukanya pula, sesekali kusut dan sesekali ketawa dek dipinta banyak penjelasan. Di situ, ada kejujuran yang cuba disampaikan.

Cuba kawal diri

Di sebalik keterujaan mengisi diari sebagai selebriti, pelakon yang dikatakan antara yang menyerlah untuk 2011 ini berkongsi citra dirinya. Biarpun percubaan masuk ke dunia seni sedang menampakkan ruang, dia masih berpegang dengan untuk kekal sebagai Fathia yang bergelar pelajar dan tidak mahu hipokrasi populariti mengaburkan haluannya. "Saya pegang kata-kata ibu saya, dia mahu saya habiskan pelajaran dan jangan terlalu lara dengan dunia hiburan. Saya juga, setakat ini, rasanya saya belum lara," katanya. Tertarik dengan satu ungkapan 'lara' yang berbutir dari bibirnya, istilah itu minta diperjelaskan. "Saya maksudkan lara itu sebagai terlalu mengejar keseronokan atau ambil apa sahaja peluang yang datang tanpa memikirkan baik atau buruknya. Setakat ini saya masih mengawal diri, saya tahu, bila sesi pengajian dibuka, kerja lakonan saya berhenti dulu buat sementara," ujar sambil memberikan pandangan terhadap provokasi yang kerap berlaku depan mata.

Bagi Fathia, dia melihat kadangkala, ada di kalangan selebriti sendiri yang sengaja mencetuskan provokasi terutamanya di laman Twitter. "Memanglah kita tweet untuk meluahkan pandangan, komentar atau apa sahaja yang mahu dikongsikan tetapi apabila ada artis yang menjadikan Twitter sebagai tempat untuk meluahkan keburukan orang lain, rasanya itu tidak sesuai. Itu yang sedang berlaku dan saya bercakap soal ini secara umum, tidak menjuruskan kepada mana-mana pihak," katanya. Sebelum mengangkat kaki, penulis bisikkan ke telinganya. Ada seperkara lagi yang mahu diusulkan. Bukan soal kekasih hati tetapi soal permintaan melampaunya (demand). Fathia dikatakan menolak permintaan fotografi selain fotografi sebagai penghias muka depan.

"Sumpah saya tak pernah nak minta itu atau ini, saya tahu bagaimana desas-desus itu tercetus. Betul saya tidak memilih dalam bab fotografi, saya terima semua tawaran dengan hati terbuka, tak kira surat khabar atau majalah apa pun," katanya seraya menutup pertemuan dengan berbagai rasa. Fathia sedang sudah melepasi era permulaan, pertengahan sedang bermula untuk sampai ke tahap mana, sesiapapun tidak dapat untuk mempastikan. Jalan terbentang ada untuknya, terpulanglah.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: