Monday, July 11, 2011

Kekalutan urbanisasi Dhaka


DHAKA menjadi mangsa kepada kegagalan perancangan bandar Dhaka yang cuba dilaksanakan pada tahun 1995.


KEPESATAN pembangunan sesebuah negara seharusnya memberi rahmat kepada rakyatnya. Namun begitu, realiti tersebut sekadar harapan palsu buat masyarakat kelas pertengahan Dhaka.

Selaku bandar mega paling pantas berkembang di dunia, ibu negara Bangladesh yang menjadi kediaman bagi 13 juta orang itu menyaksikan peningkatan berbanding populasi asal iaitu sebanyak 300,000 pada pada tahun 1971.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menjangkakan peningkatan itu akan terus bertambah sehingga ke angka 20 juta orang menjelang 2025 berikutan migrasi yang tidak terkawal.

Kehidupan selesa yang diimpikan oleh setengah juta penghijrah ke Dhaka ranap apabila mereka terpaksa bersesak-sesak menjadi penghuni kawasan setinggan yang bertempiaran di seluruh pelosok Dhaka.

Seorang suri rumah, Sultana Begum telah terbiasa dengan kehidupan tanpa bekalan gas dan elektrik malah, sudah lali mengharungi jalan yang kerap banjir.

"Perkara yang saya tidak tahan adalah timbunan sampah yang terlampau banyak di kawasan kejiranan saya.

"Pihak bandar raya tidak pernah datang mengutip sampah yang ada dan ia membuatkan sampah yang terkumpul mereput setelah beberapa hari terdedah kepada matahari.

"Bau sampah-sampah tersebut juga mengganggu keselesaan hidup penduduk di kawasan ini," jelasnya yang mendiami pangsapuri di Keraniganj yang terletak di selatan Dhaka.

Luar kawalan

Menurut pakar perancangan bandar, A.K.M. Abul Kalam, masalah yang dihadapi Sultana adalah situasi tipikal buat semua kawasan baru yang dibangunkan secara 'spontan' tanpa perancangan terperinci.

Struktur organisasi pihak bandar raya serta pihak penguat kuasa tempatan yang tidak tersusun mengakibatkan pelan pembangunan Dhaka 1995 gagal dilaksanakan.


SISTEM perparitan yang tidak sempurna menyebabkan Dhaka kerap dilanda banjir.


"Ini merupakan asas kepada kesemua masalah yang timbul, pelan utama tidak dijalankan dan kini kita terpaksa hidup dalam keadaan yang amat sukar," ujarnya yang bertugas sebagai Ketua Jabatan Perancangan Bandar di Universiti Jahangirnagar.

Tambah Kalam, undang-undang tidak lagi diendahkan penduduk memandangkan kesemua kawasan perumahan yang dibina tidak memiliki sistem perparitan yang sempurna mahu pun sistem kumbahan.

Dilema tenaga elektrik serta kekurangan bekalan gas yang kronik telah memaksa kerajaan menyekat jaringan baru pada tahun 2009, menidakkan mereka di kawasan perumahan baru untuk menggunakan kemudahan awam.

Situasi tersebut turut menjejaskan mereka yang dikatakan hidup serba selesa kerana kepesatan pembangunan dan perkembangan ekonomi yang pantas berterusan mencetuskan krisis utiliti.

Dhaka mengalami kekurangan tenaga elektrik sebanyak 2,000 megawatt setiap hari yang bermaksud purata separuh penghasilan tenaga elektrik bagi Bangladesh.

"Kita akan mengalami pemotongan elektrik sebanyak empat hingga lima kali sehari dan ia akan kerap berlaku pada cuaca panas," kata Mahamudal Hasan, penghuni kawasan Keraniganj.


PENDUDUK Dhaka sering keputusan air sehingga memaksa mereka berbaris panjang demi mendapatkan sumber air bersih.


Isu air

Dhaka memerlukan 2.2 bilion liter air sehari akan tetapi, jabatan bekalan air hanya mampu membekalkan setakat 1.9 bilion liter air sahaja. Kebanyakan pam air awam pula beroperasi di bawah kapasiti asal berikutan kekurangan bekalan gas.

"Air paip di rumah saya bertukar menjadi hijau dan berbau busuk. Saya perlu menunggu selama dua jam di perigi semata-mata untuk mendapatkan bekalan air bersih," ujar seorang pekerja syarikat minyak, PetroBangla, Rukia Begum.

Dalam usaha mengatasi krisis bekalan tenaga, kerajaan mencapai persetujuan dengan beberapa firma antarabangsa bagi membina loji jana kuasa baru.

Lembaga Pengarah Pembangunan Tenaga, Alamgir Kabir memberitahu, pihak mereka telah menambah 1,800 megawatt termasuk loji-loji yang masih di peringkat percubaan sejak dua tahun setengah lalu.

"Kita berharap krisis ini akan berakhir menjelang 2013," ujar Kabir lagi.

Berbalik kepada situasi di Keraniganj, jaminan Kabir itu masih tidak memberi kepuasan kepada seorang penghuni kawasan itu, Muhammad Mahub Alam.

"Gangguan elektrik amat teruk dan tingkat bawah bangunan saya akan dibanjiri air setiap kali hujan.

"Masalah ini terjadi kerana pihak penguat kuasa tempatan membina jalan raya utama terlalu tinggi dan tidak membina parit yang sistematik.

"Rumah pula tiada air, kami terpaksa mengharungi air setinggi buku lali untuk keluar rumah. Saya telah mendiami kawasan ini selama 10 tahun dan kami semua sudah muak dengan situasi sebegini," luahnya jujur.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: