Monday, July 18, 2011

Kanvas wajah dengan Shu Uemura




AMBER CHIA membuka tirai persembahan solekan Ethno Color Scope dalam pentas peragaan Koleksi Tokyo Lash Bar 2011 di Mid Valley, Kuala Lumpur daripada Shu Uemura dengan langkah catwalk penuh pesona.

Pentas peragaan hari itu itu mempertaruhkan kecantikan dekorasi solekan rumit menggunakan pelbagai corak bulu mata palsu yang unik dalam menyerlahkan kejelitaan dan keunikan wanita.

Amber tampil dengan solekan yang diberi nama Specks of Black yang dicipta jurusolek Lisa Yap.

Menggunakan bulu mata palsu Mini Fancy Bonbon dan contengan maskara Ultimate Expression di kiri dan kanan mata, ia mencipta tarikan kelembutan yang luar biasa.

Menurut Lisa, aplikasi penggaris mata M Brown turut menjadi elemen penting kerana ia tidak digunakan secara konvensional, sebaliknya ia digariskan di sempadan soket mata untuk mencipta efek kedalaman.

“Bulu mata palsu dipasang di atas garisan yang telah dibuat dalam kedudukan terbalik tetapi masih menghasilkan ekspresi naif yang merupakan refleksi lirikan kumpulan etnik yang saya temui,” katanya.

Solekan Courting the Chinese Culture pula dihasilkan oleh jurusolek Jayce Liew. Dia terpesona dengan keindahan lDgenda sejarah purba China, justeru menampilkan elemen tersebut dalam solekannya.

Menggunakan warna utama merah dan hitam, ia menggambarkan kekuatan dan kuasa kumpulan teknik China. Untuk menghasilkannya, bulu mata Mini Fringe rona merah dipasang secara bertingkat di hujung mata yang terlebih dahulu dirias dengan pembayang mata Cream Eyeshadow Black.


BARISAN jurusolek profesional (barisan depan) yang menjayakan Koleksi Tokyo Lash Bar 2011 di Mid Valley, Kuala Lumpur daripada Shu Uemura.


Kontras warna diperhebatkan lagi dengan penggunakan lipstik merah terang Rouge Unlimited Supreme Shine RD165 untuk menghidupkan kuasa solekan hitam merah.

Sementara itu, jurusolek Peggie Ng mempertaruhkan solekan The Whimsical Bird yang menggunakan warna-warna terang sebagai simbolik burung dari syurga, sekali gus meletakkannya sebagai burung paling dramatik dan menarik di dunia.

Ia juga melambangkan kebudayaan Papua New Guinea yang menggunakan bulu-bulu burung sebagai sebahagian dekorasi kebudayaan mereka.

“Solekan ini menggunakan bulu mata Green Folklore dan penggaris mata cecair untuk menghidupkan solekan serta mewujudkan dimensi berbeza kepada mata.

“Justeru, penggaris mata digariskan di atas soket mata dan melebihi panjang bulu mata serta menghala ke atas,” katanya.

Untuk solekan ini, pemerah pipi warna lembut iaitu Glow On P Soft Orange 540 digunakan untuk melengkapkan solekan.

Meticulous Creation merupakan taruhan jurusolek Chufan yang sering diasyikkan dengan kerja tangan kompleks dalam menghasilkan solekannya. Dia menggunakan penggaris mata rona putih Painting Liner M White, sebagai gambaran gaya solekan suku kaum purba.

“Bulu mata Vibrant Partial dan Illuminating Mosture Fluid Foundation menjadi elemen penting bagi menghasilkan solekan ini, manakala bedak asas pula disapukan di bahagian tertentu wajah bagi membentuk semula kontur wajah yang dimahukan,” katanya.


SOLEKAN wajah yang eksotik.


Jurusolek Deric Lim pula mempertaruhkan solekan Exotic Ethnic Art yang turut menggunakan bulu mata Green Folklore. Terlebih dahulu, dia menggunakan UV Under Base Mousse yang mencipta permukaan wajah tanpa cela dan kompleksi natural.

“Penggaris mata cecair digunakan secara berbeza iaitu digariskan di bawah mata. Ia adalah elemen yang paling kuat untuk solekan ini.

“Bulu mata Green Folklore juga dipasang di bawah mata bagi mencipta kelainan,” katanya.

Jurusolek Surya Zainol pula menggunakan bulu kening 3D dan bulu mata Ethnic Charm dalam solekan Laced with Aboriginal Style bagi menggambarkan gaya suku Afrika yang gemarkan warna-warna eksotik dan aksesori buatan tangan.

“Fesyen rambut Afrika yang kini menjadi salah satu fesyen ikutan, saya ekspresikan melalui solekan. Garisan mata yang tebal dan penataan pemerah pipi yang menonjolkan bentuk tulang pipi yang tajam merupakan elemen penting solekan ini,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: