Monday, July 18, 2011

Sofistikated nuansa putih


KUMPULAN model jejaka memperagakan koleksi fesyen D&G yang mengekalkan tradisi palet warna putih.


SEDAR atau tidak, selain merah jambu, kuning, biru ataupun hijau, rona putih antara palet warna yang sentiasa menghiasi koleksi fesyen bagi musim bunga/panas. Warna putih bukan saja melambangkan kesucian malah, mempamerkan sisi feminin, ceria, damai dan santai.

Mengambil kira faktor berkenaan kebanyakan kumpulan pereka antarabangsa mahupun tempatan cenderung menghasilkan koleksi busana berasaskan warna tersebut. Penampilan seseorang tampak lebih menyerlah dan sofistikated apabila pakaian warna putih digayakan bersama item fesyen warna kontra dan terang.

Secara tidak langsung, trend tersebut membuktikan bahawa warna putih bukan warna vintaj atau warna klasik yang tidak relevan dipraktikkan pada zaman moden. Sebaliknya, jenama fesyen di seluruh dunia sentiasa berusaha menghasilkan rekaan busana warna putih yang seiring dengan perkembangan fesyen semasa.

Lihat saja kreativiti dan inovatif rangkaian jenama Dolce & Gabbana (D&G) yang diterajui Domenico Dolce dan Stefano Gabbana. Mereka bukan saja bijak bermain fabrik dan menampilkan potongan seksi dalam ciptaan busana wanita malah, turut menitikberatkan cita rasa dan kepelbagaian fesyen jejaka.

Enggan membiarkan jejaka selesa berpakaian warna selamat seperti hitam atau kelabu, Dolce dan Gabbana, meneruskan misi mereka dengan menghasilkan koleksi fesyen nuansa putih potongan kemas dan maskulin.

Menurut pereka muda, Mohammad Zarrieff Nasir, 23, pakaian warna putih sama ada baju-T, blaus, dres mahu pun jaket wajar dimiliki oleh setiap individu tanpa mengira jantina dan usia. Ini disebabkan pakaian warna putih sesuai digayakan ke pejabat, bersantai, kasual atau pun menghadiri jamuan minum petang.

“Warna putih sentiasa trendy sepanjang zaman sama seperti warna hitam, kelabu dan coklat. Bagi mengelakkan penampilan kelihatan polos atau suram, individu perlu bijak mempraktikkan konsep suai dan padan.


PELAKON Bollywood Simone Singh memperagakan sari rona putih pada satu pertunjukan kempen kanser di Mumbai, India.


“Selain dipadankan bersama aksesori, kasut atau beg warna kontra, penampilan juga dapat diserikan dengan kombinasi seluar, skirt atau jaket warna ceria dan terang,” jelas Zarrieff yang merupakan graduan Ijazah Rekaan Fesyen dari Universiti Middlesex, London.

Menyentuh mengenai sesetengah individu yang kurang selesa menyarungkan busana rona suci itu, Zarrieff memberitahu faktor utama adalah disebabkan warna tersebut tidak membantu ilusi potongan badan yang menawan.

“Golongan wanita khususnya kurang gemar memakai pakaian berwarna putih kerana bimbang kononnya bentuk badan tampak besar, baju mudah terkena kotoran atau kurang sesuai dengan acara yang dihadiri serta aplikasi konsep solekan.

“Persepsi sedemikian ternyata salah. Usah prejudis pada warna kerana setiap warna itu memainkan peranan penting dalam menyuntik penampilan seseorang. Jika enggan sosok kelihatan gempal, gayakan blaus atau baju-T warna putih bersama kardigan atau jaket mini rona gelap,” tutur Zarrieff yang tidak ketinggalan menceritakan trend fesyen jejaka dan wanita di London.

Bicara pereka yang berasal dari Gombak, Selangor itu, kebanyakan anak-anak muda di sana gemar berfesyen dengan blaus atau baju-T nuansa putih. Namun menariknya, mereka akan memadankan bersama seluar atau skirt warna hitam, coklat dan biru laut. Ini termasuklah menyarungkan seluar denim, legging atau baju dan seluar selanjar (jumpsut).

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: