Wednesday, July 20, 2011

Kalah bukan tanda penamat


(Dari kiri) kapten Ray, shazrul hudson ashley durai, Sarah Diana Michele durai dan koreografer acid bersama hadiah kemenanan mereka.


BIARPUN tewas pada saingan terakhir sebelum penentuan juara, ia sedikit pun tidak mematahkan semangat Norny Yusnita Jening (Nita) dan adiknya Umar Ali Jening (Umar) untuk menggapai impian bergelar bintang di lantai tari.

Bagi mereka kekalahan untuk meraih gelaran juara Mari Menari musim kedua (MM2), malam Ahad lalu bukanlah penanda berakhirnya langkah untuk menjadi penari profesional.

Malah kesempatan beraksi di pentas MM2 itu dianggap sebagai pembuka jalan untuk terus mengorak langkah dan berdiri sebagai seorang penari yang disegani.

Namun jelas pasangan Nita itu, soal menang atau kalah bukanlah agenda yang menjadi percaturan mereka sepanjang menyertai rancangan itu.

"Setiap apa yang terjadi semamangnya sudah tertulis dan adatlah di dalam pertanding semestinya ada yang menang atau kalah.

"Mungkin bukan rezeki kami untuk menjadi juara, namun ia tidak mematahkan semangat kami untuk terus mengorak langkah dalam menjengah dunia tarian.

"Walaupun tidak menang, kami tetap gembira kerana berjaya bertahan sehingga ke peringkat akhir dalam menunjukkan bakat menari yang ada dalam diri kami," jelas Nita ketika ditemui selepas berakhirnya siaran MM2, baru-baru ini.

Sependapat dengan kakaknya, Umar yang menunjukkan peningkatan ketara pada saingan akhir itu beranggapan segala pengalaman dan ilmu yang diperolehi sepanjang menyertai MM2 merupakan harta yang tidak ternilai.

Jelasnya, apa yang penting mereka sudah membuat yang terbaik bagi menghiburkan semua penonton dan pengundi yang setia menyokong perjalanan mereka di MM2.

"Biarpun kalah kami tetap berpuas hati kerana sudah melakukan yang terbaik untuk menonjolkan kebolehan dan kekuatan gerak tari kami.

"Lagipun, kami berpegang pada prisip yang ditekankan oleh Kapten Belalang agar kemunculan di pentas mestilah jujur dan ikhlas untuk menghiburkan penonton.

"Jadi sepanjang beraksi di pentas, kami langsung tidak memikirkan soal menang atau kalah sebaliknya fokus untuk memberikan yang terbaik.

"Tetapi nasib tidak menyebelahi kami, insya-Allah kami akan terus berusaha untuk membaiki kelemahan yang ada," ujar Umar yang menyimpan cita-cita untuk menjadi seorang koreografer.

Melihat kepada persembahan dua beradik kelahiran Kota Kinabalu itu, persembahan mereka pada malam kemuncak dilihat lebih menyerlah dan bertenaga berbanding dengan pasangan Sarah yang dinobatkan sebagai juara MM2 dengan membawa pulang wang tunai RM150,000 dan pakej bercuti ke Bali, Indonesia untuk dua orang yang ditaja Mustwin Sdn. Bhd. dan trofi.

Ditanya sama ada mereka kecewa dengan keputusan yang diumumkan oleh pengacara Awal Ashaari dan Lisa Surihani, mereka menafikan sambil berkata;.

" Kami tidak kecewa kerana yang penting dapat menimba ilmu yang dicurahkan oleh kapten dan guru tari. Itu sudah cukup menggembirakan kami.

"Itulah hadiah yang cukup bernilai untuk kami sebenarnya," tambah Umar sambil disokong oleh Nita.

Sarah bawa keluarga tunai umrah

Berkongsi kegembiraan setelah berjaya dinobatkan sebagai juara MM2, pasangan Sarah merancang untuk membawa ahli keluarganya mengerjakan umrah.

Bagi Sarah atau nama sebenarnya Sarah Diana Michele Durai, 32, dia ingin berkongsi kegembiraan itu bersama dengan insan-insan istimewa dalam hidupnya.

Jelasnya, rancangan untuk membawa ahli keluarga menjejakkan kaki ke Tanah Suci itu merupakan niat mereka sebelum melangkah ke pertandingan akhir MM2.

"Saya sudah berniat untuk membawa ayah, ibu dan dua orang adik saya yang lain untuk menunaikan umrah sekiranya berjaya menjuari rancangan ini.

"Saya mahu berkongsi kemenangan ini dengan keluarga kerana merekalah tidak jemu-jemu menyokong saya," kata Sarah yang nyata tidak dapat menyembunyikan kegembiraan yang jelas terpancar di raut wajahnya.

Bagaimanapun, tambah Sarah, dia masih belum menetapkan tarikh untuk mengerjakan umrah seperti yang telah dirancangkan.

"Saya masih belum berbincang dengan keluarga berkenaan dengan tarikh yang sesuai untuk berlepas mengerjakan umrah.

"Insya-Allah, apabila sampai ke Sabah saya akan berbincang dengan keluarga untuk menentukan tarikh yang sesuai untuk kami mengerjakan ibadat umrah," kata Sarah.

Sarah yang tidak pernah menduga akan menang dalam MM2 menganggap kemenangan itu merupakan rezeki dan peluang untuk terus memahat nama dalam persada seni tarian.

"Kami tidak menjangka akan menang kerana saingan kami merupakan pasangan yang hebat dan peluang untuk menang tipis.

"Bagaimanapun kami amat berterima kasih kepada pengundi yang tidak jemu-jemu mengundi kami termasuk kapten dan guru tari yang banyak menurunkan ilmu mereka kepada kami," jelas Sarah yang mengakui terpaksa memujuk adiknya Shazrul Hudson Ashley Durai untuk bersama menyertai MM2.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: