Wednesday, July 20, 2011

Hati terpaut di Pulau Banding


Keriangan jelas terpancar di wajah para selebriti yang berpeluang melihat bunga Rafflesia secara dekat di Pulau Banding.


KETIKA warga kota lain kecoh dengan perhimpunan haram pada 9 Julai lalu, 11 orang selebriti pula diulit kedamaian di Belum Rainforest Resort, Pulau Banding, Perak.

Kehadiran mereka ke situ selama tiga hari, sejak Jumaat (8 Julai), adalah bagi menjayakan program Artis Pencinta Alam (APA) anjuran Yayasan Pulau Banding dengan sokongan Yayasan Emkay.

Program sempena Tahun Perhutanan Antarabangsa 2011 yang dilancarkan oleh Persekutuan Perhutana Dunia itu disertai Fauziah Latiff, Ezlynn Ariffin, Farah Asyikin Zulkifli, Sabhi Saddhi, Amanda Imani, Hasnul Rahmat, Yasmin Hani Richardson, Rafidah Ibrahim, Isma Halil Hamzah, Angkasawan Malaysia, Mejar Dr. Faiz Khaleed dan Miss Universe Malaysia 2010, Nadine Ann Thomas.

Objektif utama para selebriti berada di sana selama tiga hari, dua malam adalah untuk mendedahkan mereka kepada kehidupan alam semulajadi yang terdapat di Kompleks Hutan Hujan Belum-Temenggor.

Sebaik tiba, rombongan seramai 63 orang termasuk pihak media yang bertolak dari Kuala Lumpur kira-kira pukul 9.30 pagi disambut dengan tarian sewang dan chantung oleh Orang Asli di Belum Rainforest Resort.

Kemudian ahli rombongan diberi penerangan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Pulau Banding, Dr. Daniel Baskaran tentang peri pentingnya melestarikan kehijauan dan kesegaran khazanah alam sekeliling.

Selepas mendengar penerangan, ramai yang tidak sabar untuk melihat dan meneroka keindahan alam semulajadi yang terdapat di Kompleks Hutan Hujan Belum-Temenggor, milik Emkay Group itu.

Bagi Farah, apa yang dilalui selama tiga hari, dua malam di situ adalah satu pengalaman yang sangat berharga kerana sebagai orang bandar dia tidak berpeluang berjalan di waktu malam.

Katanya, kalau di kampung pun tidaklah segelap sewaktu berjalan dalam hutan yang hanya berbekalkan lampu picit.

Kenangan paling menyeronokkan ketika melawat Orang Asli di Sungai Tiang.

“Tak sangka Farah berpeluang melihat kehidupan Orang Asli yang benar-benar asli, kerana selama ini asyik tengok di televisyen atau bahan bacaan sahaja. Bila tengok mereka, Farah rasa diri amat beruntung kerana hidup dalam 'kemewahan'.

“Namun kalau sesekali berpeluang hidup di kawasan pedalaman macam ini seronok

juga sebab tidak ada pencemaran udara atau bunyi bising kenderaan,” katanya.

Farah berkata, sewaktu singgah di i-Play Toy Library kampung tersebut, hatinya teringin untuk berkongsi segala ilmu dengan anak-anak Orang Asli.

Dalam pada itu penyiar radio internet Bapaku.fm., Isma Halil Hamzah, yang sempat membuat rakaman untuk siarannya dari dalam hutan itu berkata, keindahan alam yang ada perlu dijaga.

Katanya, keindahan semula jadi anugerah Allah itu boleh dijadikan daya tarikan untuk pelancong.

“Aku memang suka duduk dalam hutan begini. Fikiran tenang sebab dapat dengar bunyi unggas dan burung.

“Udaranya pula bersih dan sejuk. Sebab itulah Orang Asli, walaupun tidak ada kemudahan macam kita tapi sihat sahaja," katanya.

Sementara itu Sabhi Saddhi yang berasal dari Sabah tidak dapat menyembunyikan perasaan gembira apabila berpeluang melihat bunga Rafflesia secara langsung.

Selain melihat bunga raksaksa itu, Sabhi juga amat teruja sewaktu melihat air terjun yang sejuk itu.

"Ooii kawan-kawan, marilah mandi. Best tau, airnya sejuk. Boleh buat urutan, kalau duduk bawah air terjun ni," ajaknya.

Bagi Ezlynn, kesempatan berada di dalam hutan amat berharga kerana inilah masa untuknya bersantai daripada memikirkan hal kerjaya.

“Warna hijau amat menenangkan, begitu juga dengan derauan air terjun. Lynn paling suka bila dapat tengok bunga Rafflesia dan berjalan pada waktu malam," katanya terus terang.

Kalau artis lain ada kenangan manis ketika berada di dalam hutan hujan tropika yang tertua di dunia berbanding Hutan Amazon dan Hutan Congo itu, Amanda Imani pula ada cerita lain.

Daripada ramai artis yang masuk hutan, hanya Amanda yang menjadi pilihan pacat ketika berjalan di waktu malam.

"Kenapalah pacat ini pilih saya. Ramai lagi yang ada. Hah! Rugi darah saya disedekah kepada pacat yang suka melata ni," katanya.

Walaupun masing-masing keletihan kerana dibawa melawat beberapa tempat, namun berpuas hati kerana berpeluang melihat hutan hujan yang kaya dengan flora dan fauna serta kehidupan lain yang semakin pupus itu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: