Monday, July 4, 2011

Industri francais tumbuh 220%

ISMAIL...pelbagaikan skop
ISMAIL...pelbagaikan skop

INDUSTRI francais negara dilihat semakin berkembang apabila sepanjang tahun lalu saja sebanyak 96 syarikat francais sudah berdaftar dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) berbanding hanya 30 syarikat pada 2009.

Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, peningkatan sebanyak 220 peratus itu amat memberangsangkan dan daripada Januari hingga Jun tahun ini, kementerian meluluskan 46 syarikat francais menjadikan keseluruhan pendaftaran setakat ini kepada 538 syarikat.


Beliau berkata, pihaknya turut menyasarkan 80 syarikat francais lagi akan didaftarkan menjelang akhir tahun ini.

“Ini menunjukkan industri francais mempunyai potensi cerah untuk terus mencatat kejayaan seterusnya mengembangkan perniagaan ini ke peringkat antarabangsa.


“Setakat ini, sebanyak 35 syarikat francais negara kita sudah berjaya mengembangkan perniagaan mereka ke 53 negara asing termasuk negara Asia dan Timur Tengah. “Kita juga adalah negara pendahulu daripada jumlah francaisor di China (16 francaisor) dan Indonesia (18 francaisor),” katanya.


Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan sesi dialog bersama francaisor dan francaisi di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Ismail Sabri berkata, sektor pendidikan dan pembelajaran seperti pusat asuhan kanak-kanak serta taska kini dilihat sektor yang paling berpotensi untuk berjaya selain pusat rawatan kecantikan.


“Usahawan paling banyak membabitkan diri dalam perniagaan makanan dan minuman di mana 32 peratus (174 usahawan) daripada 538 francaisi berdaftar memilih bidang itu.“Ia diikuti dengan sektor pakaian dan aksesori (14 peratus), pusat pembelajaran dan asuhan kanak-kanak (11 peratus), perkhidmatan dan penyelenggaraan (10 peratus), pusat rawatan kecantikan (10 peratus), teknologi maklumat dan komunikasi (5 peratus) dan kedai serbaneka atau pasar raya (3 peratus),” katanya.


Beliau turut menasihati peniaga yang berminat dan usahawan sedia ada agar mempelbagaikan skop perniagaan mereka selain daripada makanan dan minuman saja supaya mampu bersaing dengan francaisi lain di dalam mahupun luar negara.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: