
KEM COPE Adventure yang terletak di Pusat Pelancongan Menara Tinjau Ampang meriah dengan kehadiran 55 peserta bengkel Dare to Dream yang datang dari serata Malaysia. Peserta-peserta yang berusia antara 17 sehingga 24 tahun itu menjalani bengkel tersebut selama lima hari pada 8 Jun hingga 12 Jun lalu.
Pengisian program sepanjang bengkel itu menjurus kepada pembentukan karakter peserta-peserta dengan menerapkan elemen-elemen kerjasama dan semangat setiakawan.
Salah satu aktiviti yang digemari oleh peserta bengkel tersebut ialah Amazing Race. Dalam aktiviti ini mereka perlu menyelesaikan tugasan yang diberikan di setiap lokasi yang telah ditetapkan di sekitar Menara Tinjau tersebut.
Tindak-tanduk dan cara mereka menangani masalah dalam tugasan tersebut akan dinilai bagi menentukan siapakah yang layak tersenarai dalam 20 penerima biasiswa.
Impian para peserta
“Kita tidak hanya menilai daripada aspek akademik dan kebijaksanaan sahaja, bahkan nilai-nilai murni dalam diri mereka juga penting.
“Sepanjang bengkel ini berlangsung, kita akan perhatikan setiap peserta berdasarkan personaliti mereka daripada segi kerjasama dan komunikasi bersama peserta-peserta lain,” jelas Ketua Perhubungan Awam Honda Malaysia, Monique Low.
Seorang peserta masalah penglihatan, Loke Weng Hang, dari Port Dickson, Negeri Sembilan memberitahu, dia bercita-cita untuk menjadi pengaturcara komputer.
“Saya ingin mencipta perisian yang memudahkan individu seperti saya mengendalikan komputer dengan lebih mudah,” kata anak kedua daripada tiga beradik itu.

Sementara itu Mok Yi-Lin, 19, mempunyai alasan bersifat peribadi mengapa dia memilih peguam sebagai kerjayanya.
Remaja dari Ipoh, Perak itu berhajat untuk membantu mereka yang tidak mendapat keadilan di mahkamah terutama berhubung kes perceraian.
Kesan perceraian ibu bapanya ketika dia baru berusia lapan tahun telah menyemarakkan semangat anak sulung itu untuk membela nasib insan seperti ibunya yang berdepan kesukaran membesarkannya dan adik lelakinya.
Salah seorang peserta dari Sabah, Nor Syafiqah Saliza Saripuddin pula menanam cita-cita untuk bergelar mekanik wanita berikutan kebiasaan pergaulannya yang cenderung bersama lelaki.
Walaupun kerjaya tersebut dimonopoli kaum Adam, Syafiqah tidak menganggap ia sesuatu yang mustahil lebih-lebih lagi selepas kakaknya bergelar mekanik.
Biasiswa Honda Dreams diperuntukkan buat mereka yang berasal daripada keluarga yang mempunyai pendapatan isi rumah RM1,500 dan ke bawah serta lulus Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) ataupun Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).
Penerima biasiswa tersebut boleh dikatakan bertuah kerana mereka bebas memilih institusi pilihan yang diingini untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang yang diminati. Pengajian mereka ditaja sepenuhnya oleh Honda Malaysia.
Selepas lima tahun menyumbang kepada masyarakat, usaha Honda Malaysia itu nyata berhasil apabila majoriti penerima biasiswa mereka berjaya mencapai impian masing-masing.
Bekas penerima biasiswa tersebut, Wong Eddron memberitahu, biasiswa yang diterimanya pada 2007 membuka peluang buat dirinya bergelar seorang pereka grafik dan kartunis.

“Saya telah menamatkan diploma dalam bidang Ilustrasi di The One Academy dan kini bekerja sebagai pelukis bebas. Tawaran melukis juga semakin banyak dan saya selesa bekerja sebegini tanpa terikat dengan mana-mana syarikat,” luahnya yang tidak bercadang untuk bekerja di mana-mana syarikat.
Seramai 20 penerima biasiswa tersebut dipilih secara adil berdasar penilaian oleh wakil daripada Honda Malaysia dan empat organisasi lain. Empat organisasi tersebut ialah Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP), Program Persatuan Tindakan Wanita (Awam), Majlis Belia Malaysia (MYC) dan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam).
Sebanyak 1,700 permohonan diterima sejak ia dibuka sepanjang bulan Januari sehingga Mac lalu yang kemudiannya disenarai pendek kepada 60 orang peserta sahaja.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: