Saturday, July 16, 2011

Enaknya itik golek MekQ


ITIK dan ayam golek yang telah diperap akan dimasukkan ke dalam alat ini untuk dipanggang sehingga masak.


ADA dalam kalangan kita yang gemar menikmati daging itik mengeluh kerana sukar mendapatkan hidangan yang halal. Ini kerana sajian berasaskan itik terutama itik golek banyak ditemui di kedai makan Cina, kecuali di restoran di hotel-hotel yang mengadakan promosi masakan berasaskan itik.

Namun 'kesusahan' itu berakhir kini apabila sebuah restoran berkonsepkan makanan segera, MekQ dibuka di pasar raya Giant, Kota Damansara, Selangor.

Set itik golek yang dihidangkan itu meliputi nasi berwarna-warni yang dinamakan Mountain Rice, jagung, coleslaw dan dua jenis sambal iaitu sambal hijau dan sambal merah.

Kenapa dinamakan nasi berwarna-warni itu Mountain Rice? Ia kerana pemiliknya, Muhamad Muqharabbin Mokthtaruddin atau lebih dikenali Qobin mahu mengabadikan segala kenangan mendaki gunung termasuk gunung tertinggi dunia, Gunung Everest pada restoran tersebut.

S2 yang meninjau hiasan dalaman restoran itu turut tertarik melihat dekorasi yang ringkas tetapi mempunyai cerita di sebalik aktiviti yang digemarinya itu.

Mengulas lanjut tentang sajian itik golek, katanya, ia dipilih bagi memberi peluang kepada penggemar itik Muslim menikmatinya tanpa was-was.

"Saya ingin mencuba sesuatu yang berbeza dan alhamdulillah, pertaruhan ini berjaya apabila semakin ramai yang datang ke MekQ meminta hidangan itik golek," katanya.

MekQ dibuka kerana tapak gerai asalnya di Pantai Dalam bakal diruntuhkan dalam masa dua bulan ini. Menurutnya, gerai di Pantai Dalam itu dimiliki ibu angkatnya dan gerai itu pernah mencatatkan rekod jualan sebanyak 1,600 ekor ayam sehari.

"Semasa saya belajar di Universiti Teknologi Mara (UiTM), saya membantu ibu angkat menjual ayam golek di Pantai Dalam. Saya melihat adunan rempah yang digunakan untuk memerap ayam, berapa lama tempoh perap dan lain-lain.

"Saya minta ibu angkat memberitahu rahsia ramuan tersebut. Syukur ibu angkat mahu berkongsi resipi walaupun tidak semua yang diberi," ujarnya.

Dengan pengetahuan itu, beliau mencuba beberapa kali dengan mengubah suai resipi yang diberi termasuk memasukkan ramuan yang dibawa khas dari Thailand.

Kini, dengan ramuan sendiri, Qobin berjaya menghasilkan itik dan ayam golek yang lazat. Antara bahan yang digunakan sebagai bahan perap adalah ketumbar, kicap soya, bawang merah, bawang putih, jintan dan lain-lain yang dikisar untuk dijadikan rempah perap.

Tanpa menggunakan minyak, ayam dan itik akan dilumur dengan bahan perap sehingga rata, sebelum diperap antara lima jam sehingga dua hari.

Menurutnya, ayam yang diperap itu akan dimasak menggunakan mesin khas iaitu ia dibiarkan berpusing sendiri sehingga masak.

"Kalau ayam atau itik yang diperap selepas dua hari tidak habis dijual, ia akan dibuang. Ini kerana saya mementingkan kualiti," ujarnya yang dibantu 16 pekerja.

Mengenai minuman istimewa, beliau mempertaruhkan Sjora iaitu jus mangga yang dicampur dengan buah pic.

"MekQ kini dalam perancangan untuk menyediakan set untuk kanak-kanak, selain minuman yang dinamakan Snow Blue Water iaitu minuman segera yang disediakan seperti snoppy," tambahnya penuh yakin.

Untuk mereka yang sekadar mahu menghirup minuman panas atau sejuk tanpa mahu 'makan besar' dan melepak bersama rakan-rakan, MekQ menyediakan biskut rangup dan mufin yang dibuat sendiri oleh ibu mertuanya.

"Kalau susah sangat nak mendapatkan itik golek yang halal, singgah sahaja di MekQ untuk menikmatinya," ujarnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: