Saturday, July 16, 2011

Kayuh 'fixie' di tengah malam


PARA remaja ini memastikan lampu belakang menyala sebagai langkah keselamatan sepanjang melakukan aktiviti berbasikal malam di Kota Bharu, Kelantan.


KETIKA kebanyakan penghuni Kota Bharu, Kelantan sudah tidur dan berada di rumah masing-masing, suasana tengah malam di ibu negeri Kelantan itu mula diisi dengan kemunculan ramai anak muda yang kadangkala jumlahnya mencecah ratusan orang.

Di mana-mana sahaja tempat yang menjadi tumpuan orang ramai seperti Wakaf Che Yeh dan beberapa kedai makan di tepi Sungai Kelantan, mereka muncul dengan basikal fixie yang berwarna-warni.

Kemunculan anak-anak muda tidak kira lelaki atau perempuan bersiar-siar di sekitar bandar dengan menunggang basikal pada waktu malam kini menjadi satu senario yang baharu di Kelantan.

Tidak dapat dipastikan siapa yang memulakannya, namun memiliki sebuah basikal fixie kini seolah-olah menjadi satu kemestian kepada remaja di Kota Bharu.

Ketika ditemui S2 baru-baru ini, anak-anak muda ini memilih waktu malam untuk berbasikal di sekitar bandar sebagai salah satu aktiviti riadah terutama ketika jalan raya agak lengang.

Badrul Hisham, 19, dari Pantai Cahaya Bulan berkata, setiap malam bermula pukul 10 malam dia bersama rakan-rakannya akan berbasikal ke mana sahaja sekitar bandar ini.

"Memang bagus berbasikal pada waktu malam sebab ia menyihatkan badan, selain dapat menghirup udara sejuk pada waktu malam dan meluangkan masa bersama rakan-rakan.

"Setiap malam, kalau ada kelapangan, saya akan keluar berbasikal. Kadang kala pada cuti hujung minggu, saya hanya balik ke rumah sekitar pukul 2 pagi," katanya.

Ketika pertemuan kira-kira pukul 12 tengah malam itu, Badrul yang bekerja di sebuah pusat beli-belah di sini bersama lebih 10 rakannya yang masing-masing mempunyai basikal fixie sendiri, sedang berlegar-legar di hadapan Istana Balai Besar kerana kawasannya luas dan sesuai untuk aktiviti berbasikal secara berkumpulan.

Seorang rakannya, Epy Rozi, 17, berkata, ada kalanya mereka sanggup berbasikal dari Pengkalan Chepa sehingga ke Pantai Cahaya Bulan yang jaraknya hampir 20 kilometer semata-mata mahukan kepuasan.

"Memang seronok sebab dapat tengok keadaan sekitar pada waktu malam dan kereta juga tidak banyak. Saya sudah buat aktiviti ini sejak empat bulan lalu.

"Selalunya, kami akan pergi ke kawasan sekitar pusat beli-belah Tesco terlebih dahulu dan selepas itu, barulah kami akan berkumpul bersama kumpulan lain di belakang Hotel Grand Riverview," katanya.

Menurut Epy yang masih belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pintu Geng, dia sanggup mengumpul wang sendiri sehingga cukup untuk membeli sebuah basikal fixie yang berharga RM480.

Sementara itu, jika dilihat dari sudut positif, aktiviti mengayuh basikal fixie pada waktu malam sekurang-kurangnya dapat mengelak remaja-remaja ini daripada terjebak dengan gejala lumba haram yang semakin menjadi ketagihan segelintir golongan muda.

Beberapa remaja yang ditemui mengaku pernah terjebak dengan lumba haram sebelum ini sehinggalah mereka beralih kepada aktiviti berbasikal yang lebih santai dan menyihatkan.

Muhammad Aslam Che Muhammad Nasir, 17, berkata, selain menyihatkan badan, menunggang basikal melatih dirinya untuk lebih berhati-hati dan ia sangat berbeza dengan aktiviti bermotosikal yang pernah dilakukannya.

"Dahulu, saya memang suka berlumba. Kalau dapat bawa motor keluar waktu malam memang mahu berlumba dengan rakan-rakan sehingga membahayakan diri sendiri dan orang lain.

"Tetapi bila ada basikal, ia jadi lain. Saya kini sudah tak minat berlumba haram, sebaliknya setiap malam saya akan cari masa untuk keluar berbasikal dengan rakan-rakan kerana ia lebih kepada gaya hidup sihat," kata pelajar SMK Kota itu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: