Saturday, July 16, 2011

Chef Liza perturun petua buat kek, biskut


CHEF LIZA (kanan) menunjukkan hasil kek dan biskut selepas bengkel memasak yang disertai lapan finalis Cabaran Daisy Sehebat Chef 2011 di Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR – Seramai lapan finalis Cabaran Daisy Sehebat Chef 2011 dari Zon Timur, Tengah, Utara dan Selatan menyifatkan bengkel membuat kek dan biskut bersama Chef Liza Zainol di sini semalam amat bermanfaat sebagai persediaan menghadapi persaingan di peringkat akhir esok. Seorang finalis, Faisal Baharom, 36, berkata, bengkel itu banyak mendedahkan mengenai teknik dan petua untuk menghasilkan kek dan biskut dengan kaedah yang betul.

“Banyak ilmu yang kami pelajari sepanjang menyertai bengkel ini. Salah satunya kami diajar cara-cara menggunakan peralatan membuat kek dengan betul. “Sebagai contoh, saya diajar memegang piping ising beg dengan betul. Kita bukan sekadar perlu memegang piping ising beg di bahagian atas malah perlu meletakkan satu jari di tengah-tengah piping untuk mengelakkan pembuat kek bergerak,” katanya ketika ditemui di Laman Chef Liza, Jalan Ipoh di sini semalam.

Sepanjang bengkel tersebut para peserta antara lain didedahkan dengan teknik membuat Biskut Kacang Hijau Daisy, Biskut Coklat Zebra Daisy, Kek Roll Jagung Daisy dan Apam Gula Merah.

Cabaran Daisy Sehebat Chef 2011 peringkat akhir di Plaza Shah Alam, Selangor esok bakal menampilkan persaingan sengit antara lapan juara peringkat zon untuk merebut hadiah keseluruhan bernilai RM50,000 kepada pemenang yang mencipta resipi kek dan biskut terbaik. Selain itu, kata Faisal, mereka yang terlibat dalam bengkel tersebut turut diajar beberapa petua lain seperti mencatat masa, cara-cara mengaul adunan dengan betul, uli tepung, penggunaan kadar minyak dan pelbagai panduan lain.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: