Tuesday, July 5, 2011

Brahim’s lancar nasi beriani dua minit

Dewina Food Industries Sdn Bhd (Dewina), pengeluar produk jenama Brahim’s memperkenalkan dua produk terbaru berasas nasi sempena ulang tahun ke-25 syarikat itu.

Pengarah Eksekutif Kumpulan, Nur Fatin Ibrahim berkata, kedua-dua produk itu berasaskan nasi, memberi penjimatan masa kepada pengguna menikmati hidangan nasi dalam masa singkat menjelang Ramadan.

“Antara produk diperkenalkan, nasi beriani kambing dan nasi tomato yang hanya memerlukan masa dua minit dengan kaedah penggunaan ketuhar gelombang mikro.

“Kandungan nasi beriani kambing, dilengkapi daging kambing dan nasi tomato disertakan dengan kismis serta gajus sebagai penambah perasa,” katanya pada majlis pelancaran produk terbaru itu.

Nur Fatin berkata, produk keluaran syarikat tidak menggunakan sebarang bahan monosodium glutamate (MSG), perasa tiruan atau pengawet.

“Produk terbaru ini dapat membantu pengguna yang mempunyai masa terhad menyediakan makanan terutama ketika bersahur. Produk ini akan berada di pasaran penghujung Julai ini,” katanya sambil memberitahu syarikat menyasarkan pasaran jualan di Lembah Klang, Johor Bahru dan Pulau Pinang.

Terdahulu, Brahim’s t melancarkan pes nasi tomato, tandoori dan beriani serta sos percik, tiga rasa dan tandoori di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: