ANAK-ANAK itu pembawa rezeki, mungkin ini adalah salah satu faktor mengapa wanita cantik, Angelina Jolie menjadi aktres Hollywood dengan bayaran termahal.
Biarpun tidak kerap muncul di layar lebar akibat kesibukan menjaga keenam-enam orang anaknya, namun bayaran untuk Angelina masih di tangga teratas. Wanita dampingan Brad Pitt ini dikatakan memiliki pendapatan tidak kurang AS$30 juta (RM90 juta) bagi tempoh Mei 2010 hingga Mei 2011.
Salah sebuah filem yang mempamerkan versatiliti Angelina ialah filem Salt yang ditayangkan di saluran HBO malam ini.
Dalam filem arahan Phillip Noyce tersebut, Angelina membawakan watak pegawai Agensi Perisikan Pusat (CIA) bernama Evelyn Salt yang amat cantik serta dipercayai. Namun dia menjadi buruan agensi Amerika Syarikat (AS) itu kerana dituduh pembelot. Salt difitnah sebagai pengintip Rusia yang ditugaskan untuk membunuh Presiden AS.
Ketika dalam pelarian, Salt menggunakan semua kemahiran dan pengalaman sebagai seorang ejen rahsia untuk melindungi keluarga dan mencari pengkhianat sebenar sebelum dia dibunuh dan bukti kewujudannya dimusnahkan.
Ujar Angelina, filem tersebut memberinya cabaran dalam menggambarkan bahawa karakter Evelyn Salt tidak bergantung kepada seksualiti.
“Ia sangat penting buat saya kerana saya memikirkan Salt jauh lebih baik daripada itu (seksualiti) dan dia tidak perlu mempamerkan sisi itu.
“Terdapat perbincangan tentang penambahan adegan yang mahu mempamerkan sisi glamor Salt dan kami sependapat untuk tidak melakukannya. Saya menjadi Salt yang lebih mentah dan kuat,” ujar Angelina yang bersetuju untuk memegang watak Salt kerana anak-anak perempuannya.
Walaupun tidak menang besar dalam mengaut keuntungan namun pihak Relativity Media dan Di Bonaventura Pictures yang menerbitkan filem itu akan keluar dengan sekuel Salt. Bagaimanapun Angelina dikatakan belum menandatangani kontrak untuk menjiwai semula kegigihan Salt.
Ibu kepada Maddox, 9, Pax, 7, Zahara 6, Shiloh 4, dan si kembar Knox dan Vivienne 2, ini baru sahaja muncul dengan filem Kung Fu Panda 2 yang dianggap sebagai filem paling santai yang dikerjakannya.
“Ini adalah pekerjaan paling santai di dunia. Saya dapat membawa anak-anak dan pergi kerja dengan hanya mengenakan baju tidur,” katanya yang menganggap filem animasi memang mempunyai tingkat kesulitan sendiri buat para pengisi suaranya.
Sibuk dengan jadual filem, mengulit anak-anak ke serata lokasi, wanita berusia 36 tahun ini sempat mengarahkan filem In The Land Of Blood and Honey yang secara khususnya bercerita perihal Perang Bosnia.
“Secara spesifik, filem ini tentang Perang Bosnia, tetapi juga boleh menjadi universal. Saya ingin menceritakan hubungan manusia dan tindak-tanduk mereka sangat dipengaruhi oleh peperangan,” ujar Angelina.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: