Saturday, May 7, 2011

Penuhi kehendak 180 pasaran seluruh dunia




SEGMEN trak pikap satu tan mengalami revolusi yang pantas. Jentera yang sebelum ini merupakan pilihan golongan kontraktor atau bos-bos estet, kini dilihat sudah beralih ke tangan kepada mereka yang gemarkan gaya hidup aktif. Walaupun tidak semeriah pasaran Thailand, pengeluar menyedari minat yang ditunjukkan oleh pengguna terhadap trak pikap di Malaysia. Ford, Isuzu, Mazda, Misubishi, Toyota dan Ssangyong masing-masing menawarkan trak pikap yang memiliki pelbagai kelebihan tersendiri. Disebabkan oleh peralihan minat itu juga, trak pikap mula menerima pelbagai elemen yang lebih mesra pemandu dan penumpangnya. Sebagai contoh, kualiti pemanduannya tidak lagi sekasar dahulu. Malah anda boleh mengharapkan mudahnya membawa trak seperti memandu sebuah sedan, kecuali dari segi saiznya.

Tidak cukup? Rekaan dalamannya juga semakin maju. Kalau dahulu, fungsi pada papan pemukanya cukup asas, kini hampir semua aspek yang ada pada kereta sedan boleh diperolehi dalam trak pikap. Sebut sahaja, sistem audio dengan skrin sentuh atau navigasi GPS semuanya sudah dipasang di kilang. Reka bentuk luaran tidak terkecuali. Kurang sudah rekaan yang berkotak-kotak. Lihat sahaja model Mitsubishi Triton atau Ssangyong Actyon Sports rekaannya begitu menarik dan lari daripada kebiasaan. Menyentuh soal trak pikap, kita memang tidak boleh lupa kepada trak keluaran Ford. Apa lagi kalau bukan model Ranger.

Inspirasi Pikap F - Series


REKABENTUK dan teknologi yang ada pada Ranger membuatkannya berada dalam liganya tersendiri.


Sebenarnya, Ford Ranger terhasil daripada cubaan Ford Motor Company untuk bersaing dengan model trak pikap dari Jepun pada tahun 1983. Ia menggantikan model Courier yang pada asasnya sebuah pikap keluaran Mazda yang ditambah dengan gaya daripada Ford. Bermula dengan varian pacuan dua roda, Ranger dibina melalui inspirasi trak pikap Ford yang lebih besar iaitu F-Series. Persamaan paling ketara antara kedua-duanya boleh dilihat pada garis sisi tubuh dan rekaan grilnya. Walaupun baru memasuki generasi ketiga, Ranger tetap boleh dianggap matang kerana banyak pembaharuan dialaminya sepanjang perjalanannya sehingga kini. Pembaharuan meliputi segala segi. Rekabentuk, teknologi, kuasa enjin dan fungsi. Semuanya demi memenuhi kehendak pengguna, selain tidak mahu ketinggalan dalam trend trak pikap semasa.

Debut ASEAN Ranger serba baru dibuat pada acara Bangkok International Motor Show (BIMS) ke-32 yang berlangsung pada Mac lalu. Ditawarkan dengan tiga gayaan cab iaitu Regular, Super dan Double, ia pasti memberikan pengguna pilihan yang lebih luas.

Satu platform global

Direka dan dibangunkan di Australia, Ranger baru ini adalah sebahagian dan merupakan trak pertama yang termasuk dalam strategi One Ford. One Ford adalah program menyatukan semua kepakaran kejuruteraan Ford ke dalam satu produk untuk pasara global. Ini juga bermakna Ranger akan dibangunkan di atas satu platform global, sekali gus menggantikan dua platform untuk trak pikap sedia ada. “Dengan strategi One Ford, kami mampu menghasilkan sebuah trak yang tiada kompromi dari aspek kualiti dan teknologinya.

Pasukan jurutera di Australia mempunyai akses sepenuhnya ke atas kemampuan global Ford, kemudahan ujian serta pengetahuan berkaitan penghantaran trak pikap Ford di peringkat global,” jelas Pengarah Kejuruteraan, Pembangunan Produk, Ford Asia Pasifik dan Afrika, Jim Baumbick. Ranger dikilangkan di tiga buah kilang iaitu di Thailand, Afrika Selatan dan Argentina mulai pertengahan tahun ini untuk 180 pasaran di seluruh dunia. Malaysia dijangka menerima Ranger yang dihasilkan di kilang AutoAlliance Thailand (ATT) milik Ford di Rayong Thailand pada awal tahun 2012.

Tiga enjin baru


RUANG kabin yang menggabungkan aspek praktikaliti dan gaya.


Pikap kebanggaan Ford itu dikuasakan tiga unit enjin baru. Dua enjin diesel yang dikenali sebagai Duratorq TDCi dan satu enjin petrol Durateq. Varian petrol ditawarkan untuk memenuhi permintaan terutama di pasaran Asia Barat. Lebih penting lagi, enjin yang menjimatkan minyak itu dipadankan dengan transmisi manual atau automatik enam kelajuan. Berbeza dengan pengeluar trak yang lain, Ranger hadir bersama enjin diesel bersesaran 2.2 liter. Namun, enjin tersebut masih mampu menjana sehingga 150PS dan 375Nm tork. Lebih baik berbanding output beberapa enjin diesel berkapasiti 2.5 liter di pasaran sekarang.

Satu lagi enjin diesel bersesaran 3.2 liter. Enjin lima silinder ini didakwa dapat menghasilkan kuasa 200 PS dengan tork maksimum 270Nm. Sementara enjin petrol pula (berkemungkinan besar tidak sampai ke pasaran Malaysia) berupaya menyalurkan kuasa sebanyak 166PS dan tork 226Nm. Ranger mahu memastikan setiap penumpangnya berada dalam keadaan selamat pada setiap masa. Mahu mencipta satu penanda aras baru dalam aspek keselamatan, Ranger dilengkapi dengan beg udara sisi, Electronic Stability Program (ESP), ABS, Emergency Brake Assist dan banyak lagi.

“Ranger ini berada dalam liganya yang tersendiri. Ia unik kerana mampu menepati apa jua ekspektasi bakal pemiliknya. Jadi, pelanggan bukan hanya memiliki trak yang berkemampuan dari segi membawa beban, malah jimat bahan api, kabin yang luas dan aplikasi teknologi terkini,” jelas pengarah pengeluaran kenderaan untuk Ford Australia, Gary Boes.

21st Century Tough


RANGER dilengkapi dengan beg udara sisi untuk keselamatan para penumpangnya.


Sebagaimana yang dijangka, konotasi 'tough' pada Ranger tidak pernah hilang. Untuk model kali ini, ia memiliki kemampuan menarik beban sehingga 3.35 tan dan kapasiti muatan sebanyak 1,500 kilogram pada beberapa variannya. Harus tahu bahawa Ranger ialah antara pikap kompak satu tan yang paling canggih. Teknologi pintar seperti Bluetooh dengan ciri kawalan suara dan sistem kamera yang membolehkan pemandu melihat imej pada cermin pandang belakang membuatkannya lebih premium berbanding para pesaingnya.

Rekaan Ranger berpaksikan kepada penggayaan “21st Century Tough”. Ketua perekanya, Crag Metros menyatakan pihaknya perlu menghasilkan sebuah trak yang sporty dan dinamik. Pendek kata, trak yang tidak janggal untuk dipandu ke tapak pembinaan dan mungkin kelab malam. Metros juga yakin bahawa hasil rekaan bersama pasukannya akan membawa jenama trak Ford lebih maju ke hadapan. “Kami telah menghasilkan satu rangkaian produk yang menarik dan pelbagai demi memenuhi pasaran global yang kian berkembang. Pada masa yang sama memastikan kami berpegang kepada DNA sebenar trak Ford," kata Metros.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: