
PADA majlis pelancaran Hentian Puduraya pada pertengahan bulan April lalu, Pengarah Urusan UDA Holdings Bhd. Datuk Jaafar Abu Hassan memberitahu, Hentian Puduraya akan menjadi identiti hab pengangkutan yang segar bagi perjalanan menuju ke utara Malaysia.
"Usaha menaik taraf ini bertujuan untuk menampung bilangan para pengguna yang kian meningkat.
"Pengubahsuaiannya menekankan kepada aspek keselamatan ruang menunggu di tingkat bawah dan tingkat mezanin, penambahan mobiliti untuk para pengguna melalui peningkatan lif dan eksalator, penambahan dua unit walkalator, laluan pejalan kaki, sistem-sistem siar raya, penambahan tandas awam yang turut melibatkan kemudahan mesra pengguna orang kurang upaya," katanya.
Kini dengan 245 lot tapak, Hentian Puduraya menyediakan kaunter tiket, mesin-mesin ATM, kios, gerai runcit dan restoran. Daripada tinjauan Kosmo!, tiket-tiket kaunter juga mendapati berada dalam kedaaan yang lebih sistematik di tingkat satu dan medan selera di tingkat atas bumbung dengan pengubahsuaian kipas eksos.
Ditanya tentang masalah ulat, wakil pegawai dari Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Mohd. Fuad Ahmad memberitahu, pihaknya bersama-sama pihak penguatkuasa yang lain akan memastikan operasi ulat dibanteras.
"Penumpang yang mahu membeli tiket, perlu terus ke kaunter tiket. Semua kaunter di bawah syarikat yang sama telah diselaraskan dan diberikan satu kaunter sahaja. Kami juga diberitahu, pihak UDA sedang dan telah berusaha untuk menjalankan sistem e-Tiket bagi memudahkan lagi pembelian tiket bas. Ini sekali gus dapat membanteras masalah ulat," katanya. Di samping semua itu, pihak UDA juga menempatkan lebih 40 orang pegawai keselamatan dan kaunter khas bagi SPAD dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) serta polis bagi pengawasan keselamatan yang maksimum.
Selain itu, Jaafar turut memberi jaminan bahawa, sistem laluan bas yang diatur pihak pengurusannya turut mengambil kira isu kesesa kan yang banyak menjadi isu sebelum ini.
"Kami akan menempatkan bas di depoh berhampiran. Hanya beberapa minit sebelum masa berlepas, bas akan ke platform. Ia bagi mengelakkan bas menunggu lama di platform menyebabkan bas-bas lain menunggu di jalan raya dan mengakibatkan kesesakan trafik,'' katanya.
Dengan hampir 600 bas setiap hari dan 1,000 bas pada hujung minggu, UDA Holdings memberikan jaminan untuk melakukan yang terbaik dari segi kelancaran pengangkutan di kawasan sekitar.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: