NAJIB mencuba bakat menggoreng cucur udang di gerai pameran Maggi selepas merasmikan MIHAS 2010 di MATRADE, Kuala Lumpur, semalam.
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak berkata, jenayah ekonomi yang boleh menjejaskan ekonomi dan keselamatan negara, hanya dapat dikawal secara berkesan melalui usaha bersepadu di kalangan agensi penyiasat dan penguat kuasa. Sehubungan itu, Perdana Menteri berkata, penubuhan pasukan bertindak khas yang diterajui Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, bersama Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Datuk Azmi Ariffin, adalah selaras dengan matlamat untuk mempergiatkan usaha membanteras jenayah ekonomi di syarikat awam dan swasta di negara ini.Sejak penubuhan pasukan berkenaan pada Mac lalu, beliau berkata, sebanyak empat kes disiasat dengan dua daripadanya sudah dibawa ke mahkamah.
“Saya yakin pasukan bertindak khas ini akan memberi sokongan signifikan kepada kerajaan untuk memerangi jenayah kolar putih dan menambah keyakinan pelabur bagi meningkatkan daya saing Malaysia.
“Ia sekali gus menaikkan reputasi dan kedudukan negara pada peringkat dunia,” katanya pada perasmian Simposium Antarabangsa Cambridge Serantau Mengenai Jenayah Ekonomi di sini, semalam.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Ismail Sabri. Hadir sama Ketua Hakim Negara, Tun Zaki Azmi serta Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Tan Lian Hoe.
Dalam konteks berkaitan, Najib berkata, kerajaan komited untuk terus memerangi rasuah secara agresif, termasuk memperkenalkan Whistle Blower Act 2010 yang akan memberi perlindungan kepada pemberi maklumat bagi menggalakkan orang ramai mendedahkan penyelewengan tanpa risiko atau perasaan takut.
Perdana Menteri berkata, akta baru itu memberi kuasa kepada agensi penguat kuasa untuk memfailkan permohonan mahkamah bagi pihak pemberi maklumat untuk menuntut pampasan, injuksi atau relief yang difikirkan sesuai oleh mahkamah, di samping peruntukan berkaitan penempatan semula pemberi maklumat atau pihak berhubung kait dengan mereka atas permintaan agensi penguat kuasa.
“Agensi penguat kuasa juga boleh membayar pampasan kepada pemberi maklumat yang menanggung kerugian akibat daripada pende-dahan dilakukan oleh mereka,” katanya.
Sementara itu, Ismail Sabri ketika ditemui wartawan selepas majlis itu berkata, tiada negara di dunia, termasuk yang miskin, mengambil langkah mengawal harga barangan seperti yang dilaksanakan Kerajaan Malaysia demi menjaga kepentingan rakyat, sebaliknya ia akan naik dan turun mengikut keadaan pasaran.
Namun, katanya, kerajaan tidak mungkin boleh mewartakan semua barangan di bawah kawalan harga walaupun pengguna mengeluh dan merungut mengenai kenaikan harga sesetengah produk, khususnya barangan keperluan harian, sehingga membebankan mereka.
Beliau berkata, orang ramai tidak boleh menyalahkan kerajaan apabila harga barangan tertentu naik akibat pelbagai faktor dalam pasaran semasa berikutan ketika ini kerajaan hanya mengawal harga empat barangan, iaitu gula, tepung gandum, minyak masak dan juga beras ST15.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: