PNB diminta bantu Bumiputera bangunkan Kampung Baru
KUALA LUMPUR: Permodalan Nasional Bhd (PNB) dicadang memperkenalkan Skim Amanah Pelaburan Hartanah bagi membolehkan pelabur Bumiputera menyertai sama pembangunan semula Kampung Baru yang diramal bakal muncul sebagai ikon hartanah terunggul di Lembah Klang. Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar (KWPKB), Datuk Raja Nong Chik Zainal Abidin berkata, skim itu tidak sama sekali menjejaskan hak pemilik dan pewaris hartanah di kawasan berkenaan, sebaliknya bermatlamat memberi pulangan kepada semua Bumiputera di seluruh negara.“Kementerian sudah menemui PNB bulan lalu dan mengadakan perbincangan mengenai bentuk pembangunan Kampung Baru dan ia termasuk cadangan penubuhan skim amanah yang kini sedang diperhalusi dalam kajian mereka.
“Ia supaya manfaat pembangunan semula Kampung Baru boleh diperluaskan bukan saja kepada pemilik dan pewarisnya seramai 4,500 orang, malah dimanfaatkan Bumiputera seluruh Malaysia.
“Skim itu tidak akan sama sekali menjejaskan hak pemilik dan pewaris kerana hak mereka tetap terpelihara. Skim itu lebih menjurus kepada bentuk pelaburan untuk menjana modal bagi PNB melaksanakan pembangunan semula Kampung Baru,” katanya kepada Berita Harian, semalam.
PNB, pengurus dana amanah terbesar negara diberi tanggungjawab oleh kerajaan untuk menjadi pemaju utama pembangunan semula Kampung Baru. Selain PNB, kerajaan menawarkan kepada dua lagi syarikat berkaitan kerajaan (GLC) iaitu Lembaga Tabung Haji dan Pemodalan Hartanah Bhd.
Raja Nong Chik berkata, secara prinsipnya, PNB bersetuju dengan cadangan yang dikemukakan dan akan diperhalusi dalam mesyuarat Lembaga Pengarah.
“Menerusi cara ini, ia bukan saja membantu kerajaan mengeluarkan modal untuk pembangunan, malah membantu PNB meraih dana pelaburan yang mencukupi. PNB tidak perlu membuat pembiayaan dari mana-mana institusi kewangan sekali gus mengurangkan risiko peningkatan jumlah hutang,” katanya sambil menambah PNB dilihat berminat mengenai cadangan skim berkenaan dan yakin dapat menerima maklum balas dalam tempoh dua bulan lagi.
Sementara itu, PNB dalam sidang media selepas mengumumkan agihan pendapatan untuk Amanah Saham Nasional 2 (ASN 2) bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2010, semalam mengesahkan sedang menjalankan kajian terperinci cadangan membangunkan semula Kampung Baru.
Presiden dan Ketua Eksekutifnya, Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman, berkata kajian itu bagi menentukan sama ada pembangunan semula berupaya memberi pulangan kompetitif untuk pemegang amanah serta pewaris dan pemilik Kampung Baru.
Difahamkan, cadangan yang akan dilaksanakan PNB itu antara lain merangkumi pengenalan kepada Skim Amanah Pelaburan Hartanah berkenaan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: