Wednesday, June 2, 2010

Umur Rosyam seperti 25 tahun


DUTA... Elaine Kang (kiri) juga merupakan salah seorang duta produk Zell-V selain Rosyam Nor.


SECARA zahirnya, raut wajah dan sosok tubuh aktor terkenal, Rosyam Nor cukup tegap dan kacak walaupun hakikatnya usia beliau semakin menghampiri setengah abad.

Namun, kehadiran garis-garis halus di permukaan kulit muka beliau membuatkan aktor itu mula runsing kerana dia takut kelihatan tua.

Atas faktor itu, Rosyam berhasrat untuk mengambil inisiatif awal bagi mengelak kedutan itu daripada terus bermaharajalela di wajahnya.

Seperti kata pepatah pucuk dicita, ulam mendatang, ia cukup relevan buat pelakon popular ini apabila hasratnya itu tercapai setelah jirannya yang merupakan bos syarikat pengeluar produk kesihatan dan kecantikan, Zell-V bertemu dengannya dan menawarkan peluang keemasan.

Pada mulanya, Pengarah Urusan Ruyi Holdings, Sharon Foong memperkenalkan produk kesihatan tersebut kepada Rosyam untuk dicubanya sendiri.

"Katanya, produk ini mengandungi sel plasenta biri-biri yang direka khusus profesional perubatan dalam bidang terapi selular dan sains anti penuaan di Switzerland dan Jerman," jelas Rosyam.

Setelah beberapa bulan mencuba, Rosyam dapat merasakan perubahan di wajahnya dan semakin cergas untuk melakukan aktiviti seninya.

"Kemudian, barulah saya mendapat tawaran untuk menjadi duta kepada produk ini memandangkan syarikat ini pada masa yang sama ingin meluaskan pasaran di kalangan pengguna Melayu," katanya yang ditemui pada majlis pelantikan secara rasmi produk tersebut di Hotel Royale Chulan, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Menurut Rosyam, sebelum mencuba Zell-V, pernah terlintas di benak fikirannya untuk melakukan suntikan botox ke atas wajahnya atau pun memakan vitamin tambahan seperti yang diamalkan oleh kebanyakan artis tempatan.

"Tetapi, lebih merisaukan apabila kesan sampingan yang dikhuatiri akan timbul sekiranya saya mengamalkan tabiat itu.

"Namun, selepas menggunakan Zell-V, saya yakin ia cukup berkesan untuk memberi kecergasan optimum dan melambatkan proses penuaan," katanya.

Sibuk dengan aktiviti seni

Sementara itu, Rosyam baru sahaja pulang dari London dan Paris untuk penggambaran sebuah drama lakonan dan terbitannya, Isabella yang diarahkan oleh Amy Maziah.

"Drama itu diilhamkan melalui lagu Isabella yang dipopularkan kumpulan Search.

"Selain faktor sinematografi yang mempersonakan, kedua-dua buah lokasi tersebut dipilih kerana ingin membawa kelainan berbanding drama lain yang pernah diterbitkan sebelum ini," kata pemilik syarikat produksi Suhan Movies Trading (M) Sdn. Bhd. itu.

Selain Rosyam, drama 26 episod yang bakal disiarkan bermula Julai ini di saluran Astro Prima itu membariskan pelakon seperti Vanidah Imran, Corrine, Kartina Aziz dan Raja Nor Baizura.

Dalam perkembangan lain, Rosyam memberitahu, beliau kini mulai sibuk dengan persiapan untuk menerbitkan musim kedua rancangan realitinya, Pilih Kasih.

Katanya, rancangan tersebut akan mula mencari 'pelakonnya' pada bulan Jun ini dan bakal bersiaran selepas Aidilfitri.

Menurut Rosyam, tiga buah filem lakonannya bakal ditayangkan pada tahun ini iaitu, Estet, Libas dan CE1. Selain itu, dia juga baru sahaja mendapat tawaran untuk berlakon dalam filem KL Gangster dan Zaiton.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: