Kontroversi yang melanda hidupnya sedikit masa lalu, hanya sebahagian asam garam hidup yang terpaksa dilalui walau pahit. Namun sayap Farawahida terus berkembang mekar walau lumpur masih terpalit pada perjalanan kariernya. Tiada apa yang perlu disesalkan, tidak mahu berpaling ke belakang, dia kini aktif melahirkan single terbaru dan menjinakkan diri dalam dunia lakonan. "Fara harap terima sokongan terbaik dari peminat. Kalau boleh Fara tak mahu dibayangi kisah dulu yang penuh kontroversi. Lupakan kisah lalu dan Fara nak bermula kembali, tapi kalau boleh tak mahulah perubahan itu terlalu jauh dengan diri Fara yang dulu.
"Fara nak orang terima bakat selari dengan penampilan. Kalau dulu Fara akan ikut apa yang orang nak tanpa memikirkan kesesuaian, namun sekarang biarlah Fara ikut apa yang selesa dengan diri. Susah untuk puaskan hati semua orang.
Walaupun telah lama menjadi anak seni, namun kerjaya seninya seperti tersekat di tengah-tengah. Peminat muzik masih mengenali penyanyi hitam manis ini, namun pelantun lagu Tanpamu ini masih belum berupaya mengangkat dirinya berada pada satu kelas tersendiri.
"Orang masih tak nampak bakat Fara. Walaupun tidak popular, namun Fara masih dikenali dan itu sudah cukup memadai sebenarnya. Fara simpan hasrat untuk lebih berjaya dan masih menanti peluang. Harap segalanya berjalan lancar dan Fara laburkan duit hasil titik peluh sendiri untuk single terbaru ciptaan Audi Mok," ujar gadis peramah ini.
Seronok Berlakon
Ketika ditemui di lokasi penggambaran Baik Giler di Melaka, Fara menyatakan keterujaannya menimba pengalaman berlakon filem komedi terbitan Layar Dimensi Sdn. Bhd. sebagai heroin di samping Zizan Raja Lawak. Bakal disatukan sebagai pasangan kekasih dalam filem ini.
"Fara pernah berlakon teater sebelum ini dan ambil pengalaman dari situ untuk filem ini. Tapi Fara tak terlalu ikut skrip kerana berlakon ni kita kena bersahaja. Fara pegang watak gadis kampung dan Zizan banyak membantu untuk hidupkan watak. Fara bukanlah seorang yang kelakar tapi bila selalu lepak dengan Zizan, boleh tersampuk juga perangai gila-gila dia," ujarnya yang pertama kali muncul di layar perak.
Sekadar mengusik Fara yang selalu bersama Zizan sepanjang penggambaran ini, tidak wujudkah cinta lokasi bagi kedua-dua pasangan ini. Maklumlah masing-masing solo, namun Fara pantas menangkis soalan panas yang diajukan. Baginya Zizan bukanlah lelaki yang mempunyai ciri idamannya.
"Fara tak bolehlah dengan orang yang terlalu kelakar ni. Kadang kala kita tak tahu sama ada dia serius atau tidak. Boleh makan hati juga kalau masa kita sedih dia masih nak buat kelakar, macam tak kena tempat," tambahnya yang masih mengutamakan karier nyanyian berbanding lakonan. |
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: