SEMPENA meraikan ulang tahun ke-26, stesen televisyen TV3 mengharapkan drama bersiri Dendam Orang Minyak yang disiarkan sejak 7 Jun lalu akan mendapat sambutan menggalakkan daripada penonton.
Drama terbitan Suhan Movies yang disiarkan menerusi slot Lagenda arahan Haris Kadir itu mempunyai 20 episod. Penulis skrip drama itu ialah Zaidi Ahmad Tajudin.
Ia membariskan pelakon popular seperti Aqasha, Azhan Rani dan Melissa Maureen Rizal yang ternyata berkesan dalam memikat para penonton supaya terus mengikuti perkembangan jalan cerita yang mencemaskan.
Dendam Orang Minyak yang telah memasuki episod ketujuh menyaksikan kebingungan Fendi (Aqasha), seorang wartawan jenayah yang terlibat dalam siri pembunuhan gadis-gadis tanpa kerelaan diri.
Kehidupannya berubah setelah menjumpai dan menyarungkan sebuah cincin permata hitam dalam laci arwah ayahnya.
Setelah diberikan amaran oleh ibunya, Fendi cuba menanggalkan cincin tersebut tetapi gagal. Malah dia langsung tidak sedar apa yang telah berlaku.
Fendi telah dipergunakan oleh Wak Man untuk mencapai tujuannya dan dirasuk oleh Orang Minyak iaitu Lamin (Azhan Rani) yang mahu membalas dendam terhadap generasi musuh-musuhnya.
Aina (Melissa Maureen Rizal) selaku pegawai penyiasat kes tersebut gagal menemui apa-apa maklumat dalam penyiasatan kes pembunuhan tersebut.
Fendi mula mengesyaki tujuan sebenar Wak Man yang memandikannya dengan minyak hitam dan mahukan penjelasan daripadanya.
Wak Man cuma mentertawakan Fendi dan menyatakan bahawa dia tidak mampu melarikan diri daripada keturunannya.
Dalam mimpi aneh yang dialami oleh Fendi, dia sebenarnya mengimbas kembali kehidupan Lamin sebelum bergurukan Joyo.
Setelah isteri Lamin, Melati diperkosa dan dibunuh dengan kejam, Lamin mahu menuntut bela daripada Semandan rakan-rakannya namun dihalang oleh Pak Guru Anding.
Seman telah bersumpah bahawa dia tidak membunuh Melati tetapi mengesyaki bayang gelap yang sering merayau di kampung pada waktu malam.
Lamin meninggalkan kampung dengan dendam dan bergurukan Joyo. Demi mencapai kekebalan dan kesaktian seperti Joyo, Lamin perlu memenuhi syarat-syarat tertentu.
Lantas, adik-adik perempuan musuhnya menjadi mangsa Lamin. Meskipun Lamin berjaya dibunuh oleh Bakar dengan buluh kuning tetapi malangnya, dendam Lamin tidak berakhir di situ.
Walaupun tidak berdaya untuk melawan Lamin yang kini berjaya menguasai dirinya, Fendi tekad melepaskan diri daripada rasukan tersebut termasuk sanggup memotong jarinya.
Aina pula berusaha untuk menjejaki pembunuh sebenar di samping mengambil berat tentang perubahan yang berlaku pada Fendi.
Dapatkah Fendi menyelamatkan diri daripada rasukan orang minyak tersebut? Apakah Aina berjaya membongkarkan rahsia Fendi dan apakah tindakan yang akan diambil kemudian?
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: