INDUSTRI teh Malaysia yang telah berabad lamanya bertapak di Cameron Highlands kini sedang berhadapan dengan ancaman kepupusan ekoran kekurangan pekerja dan tenaga buruh.
Hakikatnya, dua buah syarikat di Cameron Highlands telahpun gulung tikar akibat ketiadaan pekerja dan kesukaran mendapatkan tenaga buruh yang memahami selok belok industri teh.
Kini dua lagi syarikat yang masih bertahan hanya beroperasi pada tahap 20 peratus di bawah kapasiti sebenar, kata Pengerusi Persatuan Pengeluar Teh Malaysia, Datuk Kesav Kumar Agarwal.
Katanya, ladang teh yang seluas 2,400 hektar memerlukan 1,800 pekerja pada satu-satu masa.
Jika jumlah itu tidak dapat dikekalkan, adalah dikhuatiri industri teh Malaysia akan pupus dalam tempoh satu dekad atau mungkin lebih cepat dari itu.
Malah katanya, industri teh Malaysia menyediakan perkhidmatan sokongan kepada beribu orang sama ada secara langsung atau tidak langsung melalui aktiviti hiliran seperti pembungkusan, logistik, dagangan, pemasaran dan peruncitan.
Tambah Kesav lagi, tanpa industri teh tempatan, rakyat Malaysia akan terpaksa membayar harga yang lebih tinggi untuk jenama teh impot.
“Kerajaan dapat membantu menyelamatkan industri ini dengan memberikan kelulusan permit pekerjaan kepada pekerja Bangladesh yang sanggup untuk bekerja dalam sektor perladangan,” ujarnya lagi.
Buat masa ini kata Kesav, kerajaan hanya meluluskan pemberian permit kepada pekerja-pekerja dari Kazakhstan, Uzbekisthan, Pakistan dan India tetapi kebanyakkannya tidak berminat bekerja dalam sektor perladangan.
Kerajaan telah membekukan pengambilan pekerja dari Bangladesh pada Oktober 2007.
Menurut Kesav lagi, adalah mustahil untuk mendapatkan pekerja tempatan untuk industri ini apatah lagi tidak ada penganggur di Cameron Highlands.
Sehubungan dengan itu beliau meminta kerajaan memberi pertimbangan khas agar tempoh permit pekerja Bangladesh dipanjangkan lagi dari lima tahun kepada 10 tahun.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: