SEPANG: Kegagalan menawan Gunung McKinley di Alaska, Amerika Syarikat (AS) pada awal bulan ini tidak melemahkan semangat Muhamad Muqharabbin Mokhtaruddin untuk meneruskan misi 'Ekspedisi 7 Puncak 7 Benua 7 Nilai'.
Lebih dikenali sebagai Qobin, anak muda berusia 28 tahun itu sebaliknya berazam untuk menawan puncak setinggi 6,000 meter tersebut tahun depan apabila musim mendaki dibuka semula pada Mei.
Beliau yang menguasai puncak Everest enam tahun lepas juga menyifatkan pendakian McKinley lebih mencabar berikutan keadaan gunung yang lebih sejuk dan rekahan salji yang banyak.
"Suhu di McKinley jauh lebih rendah berbanding Everest, dan pada hari kedua serta ketiga pendakian kaki saya mula melecet dengan teruk dan menjadi lebih buruk apabila saya tiba di kem 4.
"Keadaan itu menyebabkan pasukan perubatan menasihatkan saya agar tidak meneruskan pendakian," katanya kepada Bernama ketika ditemui selepas tiba dari AS di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, di sini hari ini.
Qobin berkata dia memulakan pendakian pada 3 Jun lepas namun terpaksa turun selepas lima hari mendaki.
"Waktu saya mendaki memang ramai pendaki yang gagal sampai ke puncak. Kalau ada pun yang sampai, mereka terpaksa turun kembali dengan segera tanpa berpeluang mengabadikan keindahan di atas puncak kerana cuaca yang buruk, malah ada dua pendaki yang terkorban awal bulan lepas dan semasa saya mendaki," katanya.
Keadaan cuaca sejuk juga menyebabkan pendakian puncak McKinley hanya dibuka pada bulan Mei sehingga pertengahan Jun.
Qobin yang turut mengalami pereputan salji pada beberapa jari tangan berkata beliau akan mendapatkan rawatan susulan di hospital sebelum meneruskan latihan untuk menawan puncak Kilimanjaro di benua Afrika yang dijadual bulan depan.
"Insya-Allah, saya yakin mampu melaksanakan misi ini kerana keadaan di Kilimanjaro tidak sesukar McKinley. Kilimanjaro bukan gunung bersalji dengan senario seperti Gunung Kinabalu, cuma tempoh pendakian lebih panjang," katanya.
Qobin juga yakin dapat menyelesaikan ekspedisi menawan tujuh puncak itu memandangkan beliau mempunyai masa sehingga 2012.
Selain McKinley dan Kilimanjaro, lima puncak lain yang perlu ditawan ialah Gunung Vinson Massif (benua Antartika), Gunung Aconcagua (benua Amerika Selatan), Everest (benua Asia, pendakian dari arah Tibet), Gunung Elbrus, Russia (benua Eropah) dan Gunung Cartzen Pyramid (benua Australasia).
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: