Tuesday, June 15, 2010

Teman tapi mesra



Hubungan mereka berdua dikatakan bermula sejak dalam Akademi Fantasia 8 (AF8) lagi. Bermula sekadar teman biasa, hubungan Adira dan Shahir dilihat akrab dan serasi. Sehingga kini, mereka berdua sering kali digandingkan bersama dalam apa juga sesi fotografi.

Bermula dengan pesanan kakaknya, Emma yang meminta Shahir menjaga adiknya ketika berada di akademi, keakraban mereka menarik perhatian sehinggakan peminat setia mengikuti perkembangan dua pendatang baru dunia hiburan ini memberikan nama baru kepada pasangan ini iaitu ‘Shahira’. Ketika soalan itu diajukan kepadanya, gadis manis yang berasal dari Sabah ini hanya tersenyum.

“Memang kakak saya ada pesan begitu kepada Shahir, kerana sewaktu di sana (akademi), Shahir tu macam abang kepada kami semua. Dia jugalah ustaz dan selalu baca doa. Jadi, mungkin kerana itu kakak saya berpesan macam tu kepadanya. Tapi, sebenarnya kami hanya kawan seperti biasa sahaja.

“Mengenai gandingan nama tu memang saya tak tahu apa-apa. Shahir sangat baik dengan kami semua. Mungkin kerana itu orang lihat kami rapat dan seperti ada apa-apa, sedangkan kami hanya berkawan sahaja,” katanya ketika ditemui pada majlis Bola Fever Bersama Media 2010 anjuran Suria.fm baru-baru ini.

Namun, bagi anak bongsu daripada lapan beradik ini tidak menafikan ada perasaan sayang terhadap juara AF8 itu. Walaupun sayang sebagai abang dan juga sebagai kawan, Adira juga kagum dengan Shahir yang tidak pernah sombong dan berbangga diri.

“Mungkin kerana sikapnya yang sentiasa merendah diri dan menghormati orang lain membuatkan saya senang bersamanya. Semakin hari semakin selesa saya berkawan dengannya. Apatah lagi kami sering digandingkan di dalam sesi fotografi.

“Jadi hubungan kami bertambah akrab. Dia juga selalu memberi nasihat kepada saya. Saya harap kami akan dapat terus berkawan,” katanya lagi.

Bagai sesuai dengan tajuk lagunya Ku Ada Kamu, Adira hanya tersenyum apabila dikatakan lagu itu ditujukan buat Shahir.

“Lagu itu memang bererti untuk saya. Tapi, bukan khas buat Shahir, ia untuk semua orang yang berada di sekeliling saya yang tidak jemu menyokong saya. Saya harap mereka akan terus menyokong saya sampai bila-bila.

“Saya masih baru lagi, banyak perkara yang perlu saya belajar. Saya mahu jadi artis yang berjaya. Saya datang daripada keluarga yang sederhana saja. Jadi, saya mahu bantu keluarga saya. Dengan bakat nyanyian saya ini, saya harap dapat membantu keluarga saya.

“Buat masa ini, soal cinta saya tolak ke tepi dulu. Biarlah saya tumpukan pada kerjaya dahulu. Tapi kalau sudah ditentukan jodoh saya pada usia yang muda, apakan daya saya untuk menolaknya. Cuma saya harapkan kalau saya berkahwin pada usia muda, ia akan kekal selamanya,” katanya.

Bagi duta bakat Innershine ini, perjalanan kerjaya seninya yang baru bermula akan dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya agar tidak dilupakan peminat.

“Saya akan bekerja keras untuk memantapkan diri saya. Saya sentiasa membawa pesanan ibu saya agar tidak mudah lupa diri dan sentiasa berusaha keras untuk mencapai kejayaan.

“Saya bukan sahaja membawa nama saya tetapi nama keluarga saya. Jadi saya perlu menjaga nama mereka agar tidak mudah lupa diri apabila berada berjauhan daripada keluarga. Saya juga tidak mahu dikatakan ‘kejutan budaya’ hingga boleh memberi padah terhadap diri sendiri,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: