MUSIM Piala Dunia membuatkan stesen penyiaran terulung negara, Radio Televisyen Malaysia (RTM) kembali mendapat perhatian.
JADI TUMPUAN...peminat bola sepak Piala Dunia tidak melepaskan peluang menyaksikan perlawanan di skrin besar.
Ramai menghantar kiriman emel kepada Arena Metro menyatakan rasa tidak puas hati mereka terhadap RTM berikutan kegagalan menyiarkan semua perlawanan Piala Dunia secara langsung.
“RTM membohongi kami. Daripada promosi di televisyen, mereka cakap macam siarkan semua perlawanan secara langsung, tapi banyak yang tidak. Malah perlawanan secara langsung yang disiarkan pula kebanyakannya tidak menarik,” kata seorang pembaca.
Seorang lagi pengirim berkata: “Saya berasa sungguh dukacita dengan RTM kerana tidak menyiarkan siaran perlawanan bola sepak Piala Dunia sebagaimana diiklankan yang mengatakan RTM1 dan RTM2 sebagai penyiar berlesen untuk siaran langsung. Kalau tidak mampu, mungkin lebih baik berikan kepada stesen televisyen lain. Jangan sampai RTM dicop pembohong.” Diminta mengulas, Ketua Pengarah Penyiaran, Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK), Datuk Ibrahim Yahya menjelaskan RTM sebagai penyiar berlesen cuma diberikan hak menyiarkan siaran secara langsung hanya untuk 35 daripada 64 perlawanan keseluruhan.
“RTM bukan penipu. Kami sudah memaklumkan kepada masyarakat lebih awal mengenai perlawanan yang akan disiarkan sepanjang Piala Dunia. Kami lakukan promosi menerusi siaran radio RTM, TV1 dan TV2 serta iklan di akhbar. Tapi mungkin ramai peminat tidak tahu kerana mereka tidak mengikuti perkembangan,” kata Ibrahim.
“Kami hanya mendapat hak siaran berlesen untuk 35 perlawanan, 24 daripadanya disiarkan secara langsung, manakala 11 lagi siaran ulangan. Bagi mengatasi isu ini, kami memohon kepada peminat bola sepak agar merujuk kepada promosi di radio RTM, TV1 dan TV2 untuk mengetahui perlawanan mana yang kami siarkan.
“Kami mohon maaf atas kesulitan yang timbul, terutama bagi peminat pasukan tertentu kerana tidak dapat menyaksikan pasukan kesayangan mereka beraksi. “Kami tiada hak memilih perlawanan mana yang mahu disiarkan, sebaliknya ketika undian dilakukan di Astro, kami tidak bernasib baik kerana banyak perlawanan berkualiti tidak dapat kami siarkan,” katanya sambil memberi jaminan RTM tidak akan terlepas siaran separuh akhir dan akhir Piala Dunia.
Menurut beliau, RTM memperoleh dua juta penonton pada upacara pembukaan dan perlawanan pertama, manakala aksi yang disiarkan pada hari kedua pula ditonton hampir 600,000 orang.
Dalam pada itu, Penerbit Penyelaras Piala Dunia RTM, Kamal Roslin meminta peminat melayari laman web www.rtm.gov.my/pialaduniafifa2010 untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai jadual siaran perlawanan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: