KUALA LUMPUR: Kehadiran pemandu bas dan teksi warga asing yang berleluasa sekitar ibu negara dikhuatiri bertambah parah disebabkan ‘perlindungan’ oleh rakyat tempatan yang bukan saja menjadi tonto, malah turut bersekongkol setiap kali pihak berkuasa menjalankan operasi.
LICIK...deretan bas yang diletakkan di bahu jalan akan bergerak ke lokasi lain sebelum penguat kuasa tiba.
Malah, katanya, pemandu tempatan bertukar tempat duduk dengan warga asing bagi mengaburi pihak penguat kuasa yang membuat pemeriksaan ke atas permit bas dan lesen memandu.
“Mereka berhubung antara satu dengan lain dan berkongsi maklumat secara meluas di kalangan pemandu bagi mengelakkan dicekup.
“Kita dapati ketika operasi, terdapat pembabitan warga tempatan termasuk wanita yang menjadi pembekal maklumat lokasi penguat kuasa,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Ketika Operasi Halang DBKL Siri ke-11, baru-baru ini, terdapat bas tanpa pemandu yang diletakkan di bahu jalan apabila pegawai penguat kuasa Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) membuat pemeriksaan.
Ia dipercayai dipandu warga asing yang melarikan diri kerana takut ditahan pihak berkuasa.
Warga asing yang melarikan diri itu difahamkan cuba mencari rakan warga tempatan untuk mengaku sebagai pemandu bas bagi mengelak permit bas ditahan penguat kuasa LPKP.
Sementara itu, pemandu teksi, Hamdan Rahmat, 54, mendakwa kehadiran pemandu warga asing memberi imej negatif kepada pemandu tempatan.
“Kejadian samun dan rogol membabitkan pemandu teksi kebanyakannya dilakukan oleh golongan itu. Secara tidak langsung, imej pemandu tempatan turut tercalar,” katanya yang sudah 10 tahun menjadi pemandu teksi.
Beliau mendakwa individu tidak bertanggungjawab yang memiliki permit dan lesen sah menyewakan teksi mereka kepada warga asing dengan bayaran dua kali ganda daripada harga sewa asal.Presiden Persatuan Pengusaha Teksi dan Kereta Sewa Wilayah Persekutuan dan Selangor, Datuk Aslah Abdullah, mendakwa kebanyakan pemandu haram ini hanya keluar pada sebelah malam atau lewat petang.
“Mereka beroperasi di pinggir bandar bagi mengelak dicekup pihak berkuasa khususnya Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
“Masalah ini berpunca sikap pemilik permit teksi yang tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan untuk mencari keuntungan lebih,” katanya ketika dihubungi.
Menurutnya, penguat kuasa JPJ perlu meningkatkan rondaan di kawasan pinggiran bandar seperti Sungai Buloh, Sungai Besi dan Gombak yang didakwanya menjadi lubuk pemandu teksi warga asing.
“Walaupun masalah ini belum mencapai tahap serius, saya amat berharap pihak berkuasa dapat mengambil tindakan segera sebelum lambakan pemandu warga asing menjadi semakin parah” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: