Saturday, June 12, 2010

SUV berenjin turbo


DIKELASKAN sebagai sebuah SUV di Malaysia, 3008 mendapat sambutan luar biasa apabila 100 unit terawalnya sudah ditempah.


PADA tahun 2010, pembuat kenderaan dari Perancis, Peugeot menyambut ulang tahun ke-200 penubuhannya. Setelah melalui pelbagai pahit getir, Peugeot mampu terus berdiri megah dengan pelbagai jenis produk keluarannya.

Bermula dengan barangan seperti mesin jahit, gergaji, pengisar kopi, basikal, sebelum menghasilkan motosikal, skuter dan kereta, jenama yang mengangkat singa sebagai logonya itu telah meletakkan sasaran jelas menjelang tahun 2015.

Peugeot mahu menduduki tempat ketiga dalam ranking pembuat kereta global selain memposisikan dirinya sebagai penanda aras dalam aspek reka bentuk dan menjadi peneraju perkhidmatan mobiliti.

Di Malaysia, sambutan itu diraikan dengan pelancaran model SUV terbarunya, Peugeot 3008.

Sekumpulan wartawan dijemput untuk merasai sendiri pengalaman memandu 3008 dalam perjalanan menuju ke Kuantan pada hujung minggu lalu. Berlepas dari pusat beli-belah di Sunway, Selangor laluan pandu uji turut meliputi jalan kampung iaitu di Semenyih, Selangor dan Kuala Klawang, Negeri Sembilan sebelum masuk ke Lebuh Raya Pantai Timur (LPT).

Crossover atau SUV

Di pasaran Eropah, jentera 3008 itu dikategorikan sebagai crossover. Ini kerana jika dilihat dari aspek mekanikalnya, 3008 tidak cukup syarat untuk diangkat sebagai sebuah SUV.

Contoh paling ketara ialah 3008 tidak mengaplikasikan sistem pacuan empat roda (4x4). Malah, tahap kelegaan tanahnya (ground clearance) hanya setinggi 16sm (150mm). Ukuran yang tidak jauh bezanya dengan model sedan seperti Proton Gen2.


KEMASAN krom digunakan pada tombol gear.


"Namun, orang Malaysia lebih mudah menerima istilah SUV berbanding crossover. Sebab itu kami kelaskan 3008 sebagai SUV sahaja," jelas seorang jurucakap Nasim Sdn. Bhd., entiti yang bertanggungjawab mengedar kenderaan Peugeot di Malaysia.

Tidak kisahlah apa pun kelasnya, 3008 memang sebuah kenderaan yang mampu memberi pengalaman baru kepada setiap pemiliknya. Bukan sahaja dari aspek reka bentuk luaran yang elegan, mewah dan bercirikan Eropah. Malah, anda pasti berpuas hati dengan kualiti pemanduan yang ditawarkannya.

Itulah yang saya rasakan ketika memegang stereng 3008 buat kali pertama. Mengambil giliran memandu daripada seorang rakan di satu empangan di tepi jalan, laluan berselirat sewaktu menaiki dan menuruni bukit di sepanjang jalan Kuala Klawang itu ternyata menjadi medan ujian terbaik.

Enjin turbo bersesaran 1.6 liter atau lebih spesifiknya Twin High Pressure (THP) dengan suntikan terus bahan api itu langsung tidak mengecewakan. Berupaya menjana kuasa sehingga 156 hp dan tork maksimum 240 Nm jentera itu tidak terasa malas ketika berada di atas jalan raya.

Saya juga boleh katakan bahawa kotak gear adaptif enam kelajuan Tiptronic dengan ciri sport mode yang dipadankan dengan enjin THP itu 'hidup'. Ini kerana setiap kali gearnya ditukar secara manual, tujahan kuasanya dapat dirasai dengan ketara. Jadi, memotong kenderaan atau menaiki bukit bukan satu masalah besar.

Titik graviti yang rendah membolehkan 3008 memberikan karakteristik pemanduan seperti sebuah sedan. Kawalan sterengnya tepat, membuatkan sesiapa sahaja yakin untuk meneroka kemampuan sebenarnya.

Kestabilan 3008 mengambil selekoh-selekoh tajam sebenarnya banyak dibantu oleh ciri Dynamic Roll Control (DRC) yang berfungsi mengawal tahap olengan tubuhnya. Hasilnya, rasa terhoyong-hayang dapat diminimumkan ketika melalui jalan bengkang-bengkok.


JENTERA 3008 menjadi penyambung legasi jenama Peugeot dalam pasaran automotif.


Padanan aplikasi sistem suspensi bebas topang MacPherson dengan bar antioleng pada roda hadapan dan torsion beam pada roda belakang menambah rasa jitu ketika memandu 3008. Di atas lebuh raya, 3008 menawarkan pemanduan yang stabil dan tahap NVH memuaskan walaupun kelajuan sudah jauh menjangkaui had laju kebangsaan.

Berada di dalam kabin 3008, ada sesuatu yang membuatkan 3008 lebih canggih berbanding para pesaingnya. Head Up Display (HUD) yang terdiri daripada sekeping kaca nipis itu diinspirasikan daripada paparan pada jet pejuang.

Ia memaparkan tahap kelajuan kenderaan tanpa perlu membuatkan pemandu mengalihkan pandangan daripada jalan raya. Tidak berminat? Tidak mengapa. Dengan menekan satu butang, HUD yang boleh dilaras tahap kejelasannya itu dapat disimpan.

Disebabkan 3008 pada asalnya dicipta bagi pemanduan sebelah kiri, ada beberapa perkara yang memerlukan pemandu mengambil masa untuk menyesuaikan diri. Antaranya tempat penyimpanan barang pada perehat tangan yang dibuka dari arah kiri. Selain itu, butang-butang seperti untuk HUD terletak agak jauh daripada butang jangkauan.

Sementara itu, penggunaan warna hitam dengan kemasan krom pada tombol gear, perumah meter dan corong pendingin hawa memberikan rasa mewah pada ruang kokpitnya. Tempat duduknya pula dibalut dengan kulit berwarna cerah.

Duduk di belakang, anda akan merasa tempat duduknya sedikit keras, manakala tempat meletak botol minuman pada konsol tengahnya pula agak cetek. Jadi botol minuman mudah terjatuh. Biarpun begitu, anda boleh menikmati keindahan langit dan bintang pada waktu malam apabila pelindung bumbung panoramiknya yang bersaiz 1.57 meter persegi itu dibuka.

Jentera 3008 juga boleh berbangga dengan ciri keselamatan yang terpasang pada tubuhnya. Memperoleh penarafan lima bintang dalam piawaian Euro NCAP, kerangka 3008 telah diperkukuh untuk memberikan perlindungan maksimum kepada setiap penumpangnya.

Ia turut dilengkapi dengan enam beg udara, program kestabilan elektronik (ESP), penyerap impak BOGE, ABS, EBD, EBA, ASR dan banyak lagi.

Pada harga hanya RM143,888 seunit di atas jalan, ramai yang percaya 3008 mampu menggugat model-model SUV sedia ada di pasaran. Apatah lagi, ia hadir bersama pelbagai ciri menarik yang sebelum ini tidak pernah ada pada model sekelasnya.


RUANG kabin yang luas memberi keselesaan untuk mengembara.


Untuk makluman, 100 unit 3008 yang diimport sepenuhnya (CBU) sudah pun ditempah. Jangan sedih, kerana Nasim memberitahu pihaknya akan memastikan bahawa anda tidak perlu menunggu lama untuk memiliki 3008.

Dapat merasakan populariti 3008 yang kian meningkat, Nasim merancang program CKD (pemasangan tempatan) di kilangnya di Gurun, Kedah. Dijangka dimulakan pada suku terakhir tahun ini, Nasim menjanjikan kualiti terbaik tanpa ada sebarang pertambahan atau pengurangan pada harganya. Selain untuk memenuhi permintaan tempatan, inisiatif tersebut dilaksanakan bagi menjadikan Malaysia sebagai hab Peugeot di Asia.

Saya tidak hairan jika masih ada yang skeptikal dengan jenama ini. Namun, anda harus tahu bahawa sejak Peugeot diperkenalkan semula ke pasaran tempatan secara lebih agresif pada tahun 2008, jenama itu ternyata sangat sukses.

Angka jualannya meningkat mendadak. Jika pada tahun 2008 hanya 772 unit yang terjual, setahun kemudian jualannya melonjak kepada 3,766 unit. Sekali gus meletakkan Peugeot berada di tempat kedua dalam aspek jualan kenderaan berjenama Eropah selepas Mercedes- Benz.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: