Saturday, June 12, 2010

Ekspedisi 125 tahun KTMB




USIA Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) kini menginjak 125 tahun. Namun, apa yang istimewa pengendali kereta api utama di Semenanjung Malaysia itu kini diteraju orang-orang muda yang bersemangat waja.

Merekalah generasi harapan yang meneruskan kegemilangan KTMB biarpun ia dimamah usia. Sejarahnya yang bermula sejak sistem gerabak asalnya yang dibina untuk mengangkut timah sewaktu zaman penjajahan British telah mengalami transformasi menjadikannya sebagai pengangkutan pelbagai guna.

Tempoh 125 tahun membawa makna yang cukup besar kepada kakitangannya. Kepentingan mereka bukan lagi tertumpu kepada pembangunan organisasi semata-mata, tetapi pembangunan modal insan yang bersemangat waja dan mengamalkan gaya hidup sihat.

Justeru, simbolik ulang tahun ke-125 yang dijayakan pada Mei lalu agak berbeza berbanding dengan tahun-tahun sebelumnya. KTMB mencabar kakitangannya mendaki puncak Gunung Ledang menerusi satu ekspedisi mengibarkan bendera KTMB pada ketinggian 1,276 meter dari paras laut.

Di puncak Gunung Ledang, mereka bukan hanya mengibarkan bendera tetapi pengisian ekspedisi secara keseluruhan.


ZAINAL peserta paling tua dalam ekspedisi ke Gunung Ledang yang berjaya sampai ke puncak gunung itu.


"Peserta ekspedisi seramai 60 orang terdiri daripada kakitangan KTMB di seluruh Semenanjung. Mereka menyertai ekspedisi ini secara sukarela biarpun 70 peratus daripadanya tidak berpengalaman mendaki gunung.

"KTMB mahu menerapkan gaya hidup sihat di dalam organisasi bukan sahaja pada sambutan ulang tahun kali ini tetapi menjadikannya budaya kakitangan untuk masa- masa akan datang," kata Pengurus Komunikasi Korporat KTMB, Mohd. Fazil Ismail mengenai ekspedisi yang bermula seawal pukul 8 pagi itu.

Pada permulaan ekspedisi berkenaan, para peserta bertolak dari Stesen Sentral Kuala Lumpur menaiki kereta api menuju ke stesen Segamat. Perjalanan diteruskan dengan menaiki bas menuju ke Kem Legenda Gunung Ledang. Perjalanan dengan kereta api dan bas yang bermula dari pukul 10 malam tiba pada pukul 4 pagi keesokan hari.

Kesemua peserta berkumpul dan diberi taklimat mengenai laluan pendakian oleh jurupandu pendakian sebelum melakukan senaman regangan. Cabaran pertama adalah mendaki kira-kira 700 anak tangga menuju ke check point pertama (CP1) iaitu Bukit Semput.

Pendakian diteruskan ke CP2 iaitu Legenda Trail dan CP3 iaitu Batu Orkid. Walaupun ada peserta yang tidak dapat meneruskan pendakian ke CP4 iaitu Sungai Tiga Segi, kira-kira 95 peratus peserta berjaya meneruskan pendakian sehingga ke CP seterusnya.


KIBARAN bendera KTMB sebagai simbolik kejayaan menamatkan pendakian ke Gunung Ledang.


Peserta berhenti beberapa kali untuk berehat dan membasahkan tekak. Mereka juga mengambil kesempatan menyegarkan badan dengan meruapkan air sungai yang sejuk ke muka dan tangan. Setelah itu, peserta yang tinggal meneruskan pendakian ke CP6 iaitu batu hampar yang mempunyai banyak halangan.

Halangan tidak kurang hebatnya di CP7 iaitu Bukit Botak yang memerlukan para peserta mendaki banyak tangga yang dipasang bagi memudahkan pendakian dinding-dinding batu. Ia adalah check point terakhir sebelum kesemua peserta sampai ke puncak Gunung Ledang pada pukul 4 petang.

Menurut Fazil, ekspedisi kali ini mempunyai pengisian yang baik kerana ia bukan sahaja dapat menggalakkan gaya hidup sihat, tetapi pada masa sama mengeratkan silaturahim antara kakitangan.

"Dalam ekspedisi ini, tiada jurang pangkat antara kakitangan kerana semuanya bekerjasama dan saling membantu menghadapi kesukaran dan kegembiraan," katanya.

Pengalaman berharga


HAMPIR tiba ke puncak... Peserta melepasi ketinggian 1,200 meter Gunung Ledang.


Ekspedisi mendaki Gunung Ledang anjuran KTMB membuktikan semangat juang peserta yang tinggi kerana bukan sahaja membabitkan peserta muda, malah golongan warga emas turut tidak ketinggalan mengambil bahagian.

Kamsiah Hussin, 54, berkata, tujuannya menyertai ekspedisi berkenaan adalah bagi melawan perasaan takut dengan melakukan aktiviti ekstrem walaupun tidak mempunyai sebarang pengalaman mendaki.

"Ini merupakan pertama saya menyertai aktiviti sebegini kerana sebelum ini saya amat takut untuk menyertai sebarang aktiviti luar. Keluarga juga memberi galakan supaya saya menyertai pendakian ini.

"Pengalaman yang paling tidak dapat saya lupakan ialah apabila terpaksa mendaki dinding batu setinggi sepuluh meter. Pada masa itu saya berasa amat takut tetapi saya kuatkan semangat dan tidak mahu ketinggalan di belakang apatah lagi melihat kaki gunung yang sayup-sayup di bawah," katanya.

Tambah Kamsiah, dia seolah-olah tidak percaya di atas kemampuannya mendaki hingga ke puncak gunung tambahan pula dengan usianya yang boleh dikategorikan sebagai warga emas.

"Namun, dengan keazaman yang tinggi dan nekad untuk menghabiskan pendakian akhirnya saya berjaya juga,'' katanya.

Norashikin Tajudin Noor, 33, pula berkata, sebelum pendakian bermula dia banyak memikirkan tentang serangga dan haiwan yang menggelikan seperti pacat namun dia tidak menyangka aktiviti yang begitu mencabar.

"Selepas berada di puncak Ledang perasaan pada ketika itu tidak dapat digambarkan. Terbit satu perasaan yang bebas, puas dan pelbagai lagi," katanya yang tidak serik untuk menyertai aktiviti seumpamanya pada masa akan datang.

Dalam pada itu, Izahirah Ibrahim, 27, berkata, dia amat meminati aktiviti lasak dan pernah menyertai pelbagai aktiviti luar sebelum ini.

"Sebelum ini saya biasa menyertai latihan ketenteraan namun cabaran mendaki gunung amat berbeza dengan latihan ketenteraan. Mendaki gunung memerlukan kesabaran dan keazaman yang tinggi.


PESERTA ekspedisi melepaskan lelah di sebatang anak sungai.


"Saya juga merupakan salah seorang anggota sukarelawan Rejimen Askar Wataniah selama tiga tahun," tambahnya.

Mohd. Fauzi Mohd. Yusop, 27, yang merupakan polis bantuan KTMB juga pernah mendaki Gunung Ledang tetapi cabaran yang harus ditempuhnya kali ini ialah dia bertanggungjawab ke atas keselamatan kakitangan KTMB.

"Saya bersyukur kerana tiada kejadian buruk berlaku walaupun ramai peserta yang keletihan dan ada yang tidak mampu untuk meneruskan pendakian dan terpaksa berpatah balik," katanya.

Peserta paling tua yang juga seorang penulis sambilan, Zainal Abidin Ahmad, 55, berkata, dia banyak mencari maklumat di Internet mengenai Gunung Ledang sebelum menyertai ekspedisi. Dia tidak terkejut dengan perjalanan ekspedisi berkenaan.

"Penat jerih, laluan berliku ketika pendakian sepanjang ekspedisi kembara ini amat menepati visi KTMB sempena 125 tahun perkhidmatannya," jelas Zainal Abidin yang tidak dapat melupakan cabaran di Gua Kambing kerana laluan tersebut yang amat curam.

Sementara itu, Loh Li Hoon, 26, yang cedera di kaki ketika pendakian turut merasakan perasaan yang sama apabila sampai di puncak. Biarpun penat dan mencabar, dia berasa seronok dengan pengalaman pertamanya mendaki gunung.

Ekspedisi berakhir apabila peserta berjaya turun ke kaki Gunung Ledang menggunakan laluan trek kira-kira pukul 10 malam.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: